Suasana hari raya juga dirasakan lebih meriah jika makanan tadisional itu antara juadah yang dihidangkan kepada keluarga dan tetamu semasa sambutan Aidilfitri.

Ketupat palas juga menjadi simbol makanan tradisional yang tidak lapuk dek zaman.

Ketupat ini dilihat masih lagi mengekalkan keasliannya dengan menggunakan daun palas berbeza dengan ketupat daun kelapa atau ketupat nasi dari segi bentuk, saiz dan penggunaan beras pulut.

Ketupat nasi akan dianyam berbentuk empat segi atau pun berbentuk bawang menggunakan daun kelapa, manakala ketupat palas pula berbentuk tiga segi. Penggunaan beras sebagai isi atau inti ketupat juga berbeza.

Menurut seorang pengusaha ketupat palas yang tinggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok Baharu, Gua Musang, Che Som Saamah, 63, rasa ketupat palas lebih enak kerana ia menggunakan santan kelapa.

“Walaupun proses pembuatannya agak rumit jika dibandingkan dengan pembuatan ketupat nasi, namun cara pembuatan juadah tradisi ini telah diperturunkan kepada enam anak perempuan saya.

“Anak saya telah didedahkan dengan cara menganyam ketupat seawal umur mereka 12 tahun. Ketika menjelang musim perayaan anak yang tinggal berjauhan akan pulang ke kampung lebih awal dan berkumpul di rumah bagi membantu saya membuat ketupat,” katanya.

Lepas rindu

Menurut Che Som, dia yang telah membuat ketupat lebih 30 tahun lalu tidak mahu seni anyaman ketupat daun palas dilupakan generasi muda.

“Setiap kali tibanya musim perayaan, saya akan menerima tempahan lebih 2,000 biji ketupat. Kerana cara pembuatan yang renyah serta kekangan waktu membuatkan orang ramai lebih gemar menempah berbanding membuat sendiri.

“Dalam mengekalkan rasanya yang berlemak dan sedap, bagi segantang beras pulut saya akan menggunakan empat biji kelapa atau tiga kilogram santan dan 500 gram kacang mentah.

“Jadi para penggemar ketupat ini, sebelum melakukan pemanduan jauh diingatkan supaya janganlah makan ketupat palas ini kerana dikhuatiri mudah mengantuk,” ujarnya berseloroh.

Selepas penat berpuasa selama sebulan, bulan Syawal adalah waktu bagi masyarakat Melayu untuk melepaskan rindu kepada juadah tradisi yang jarang didapati pada bulan-bulan lain.

Jika masyarakat di Selatan tanah air lebih menggemari lontong, nasi himpit kuah kacang dan ketupat nasi namun masyarakat di Pantai Timur lebih gemar memakan ketupat palas.

Malah ramai yang tidak tahu bahawa teknik serta kepakaran membungkus ketupat palas ditagih bagi membezakan jantinanya.

Seorang pembuat ketupat tersebut, Halimah Awang, 78, berkata, ketupat palas jantan mempunyai isi atau pulut lebih pada bahagian akhir balutan.

“Ikatan dan balutannya juga lebih kemas berbanding ketupat palas betina. Saiz ketupat palas betina lebih kecil dan tidak mempunyai isi atau pulut lebih di bahagian ikatan atau balutan.

“Jadi saya risau jika kepakaran ini tidak diperturunkan kepada generasi kini ia akan dilupakan. Tidak ramai golongan muda yang tahu atau membuat ketupat palas kerana prosesnya rumit,” katanya.

Dibasuh kerap

Jelas Halimah, hanya dua daripada empat orang anak perempuannya pandai membuat ketupat tersebut.

“Orang muda tak pandai buat ketupat. Kalau belajar boleh sebenarnya sebab sangat mudah, namun mungkin kerana kesibukan jadi lebih mudah dengan menempah dengan orang lain.

“Selalunya, beras pulut yang hendak digunakan perlulah dikukus terlebih dahulu dan kemudian diadun dengan santan kelapa. Pulut tersebut akan dibungkus dalam daun palas yang telah dianyam atau dibentuk terlebih dahulu.

“Selepas siap dibungkus, sekali lagi pulut akan dikukus atau direbus,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di Taman Damar, Gua Musang.

Tambahnya, bagi memastikan ketupat palas tahan lama, beras pulut yang ingin digunakan itu haruslah dibasuh kerap sehingga bersih.

“Ketupat palas yang sudah siap biasanya dihidangkan dan dimakan bersama manisan gula melaka, rendang ayam atau daging. Selain itu, ketupat itu juga boleh direbus atau digoreng mengikut citarasa penggemar.

“Di Kelantan banyak jenis ketupat palas yang boleh dipelbagaikan rasanya seperti manis, lemak dan diletakkan serunding ayam atau daging,” katanya.

Ujarnya, sempena hari raya ini dia perlu menyiapkan kira-kira 3,000 biji ketupat palas dan bagi 100 biji ketupat dijual antara harga RM50 hingga RM80.