Demikian kata Ahmad Firdauz Abdullah Tahrin, 36, ketika soalan pertama diajukan mengenai perasaannya tatkala dilantik menjadi guru besar ketika berusia 32 tahun, iaitu kira-kira empat tahun lalu.

Bagaimanapun, anak kelahiran Hulu Selangor, Selangor itu bukan mahu melakukan perkara tidak baik sebaliknya mahu menggunakan jawapan bagi persoalan itu untuk memberi peluang kepada guru-guru biasa menggunakan kemahiran dan bakat masing-masing dalam memberi galakan kepada anak-anak murid yang memiliki pelbagai kecenderungan untuk berjaya.

Ahmad Firdauz merupakan guru besar paling muda di Malaysia yang dilantik menggalas tanggungjawab itu buat kali pertama di Sekolah Kebangsaan (SK) Jaya Mulia (Sekolah Kurang Murid), Ayer Baloi, Pontian, Johor pada tahun 2015 sebelum menyandang jawatan sama di SK Pekan Nanas (Sekolah Amanah), Pontian pada tahun 2016 hingga sekarang.

Sebelum menjawat jawatan tersebut, kecemerlangannya dalam bidang perguruan begitu terserlah apabila dirinya meraih Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2011, Kementerian Pendidikan. Terbaharu, Ahmad Firdauz merupakan Ikon Guru Teknologi Pendidikan Negeri Johor dalam Anugerah Pembestarian Sekolah 2017.

Cabaran

Tidak mahu mendabik dada, Ahmad Firdauz yang berulang-alik dari Taman Perling, Johor Bahru ke SK Pekan Nanas berkongsi pengalaman kali pertamanya dilantik menjadi guru besar yang disifatkan sebagai panduan dan pengajaran paling bermakna.

“Pada masa itu, guru-guru biasa yang ada antaranya lebih berusia dan berpengalaman mempunyai perasaan ragu-ragu terhadap kemampuan kita, tetapi kita kena letak perkara itu ke tepi. Kita kena tahu cara mendekati mereka bagi mewujudkan satu rangkaian kerja yang baik.

“Mula-mula saya takut mereka anggap saya sebagai pencabar tetapi apabila kita merendah diri, orang lebih menghormati cara kita bekerja. Paling penting, macam mana cara kita membawa diri dan berkomunikasi dengan mereka,” katanya ketika ditemui K2 pada Seminar Kepemimpinan Siswa Guru Kebangsaan 2019 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Seminar yang dianjurkan Sektor Hal Ehwal Pelajar dan Hubungan Luar Institut Pendidikan Guru (IPG) Malaysia itu diadakan pada 8 hingga 10 April di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras.

Bercerita lanjut, Ahmad Firdauz memberitahu, sebagai pemimpin, seseorang itu juga perlu mempunyai matlamat yang jelas dan jitu agar kita mendapat kepercayaan orang sekeliling supaya mudah menarik mereka untuk ‘sekapal’ dengan kita.

“Bila boleh bekerja dalam suasana harmoni dan kepercayaan juga sudah terbentuk, jadi kita boleh membawa mereka ikut ke hala tuju bagi mencapai matlamat yang sudah kita tetapkan.

“Pada tahun pertama, sudah tentu ada beberapa dugaan yang dihadapi tetapi selepas ia berjaya diatasi, keadaan menjadi bertambah baik dari setahun ke setahun sehingga kini,” ujarnya.

Latar belakang

Menyorot kenangan lalu, anak bongsu daripada tiga beradik itu menambah, penglibatannya dalam dunia pendidikan bermula ketika menjadi guru sandaran hampir setahun di SK Ahmad, Pekan, Pahang selepas tamat menjalani peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Selepas itu, saya melanjutkan pelajaran dalam jurusan seni bina di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tetapi selepas sebulan hati saya berbelah bahagi sebelum membuat keputusan untuk berhenti lalu mengikuti Diploma Perguruan Malaysia (DPM) di Maktab Perguruan Raja Melewar (kini Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar), Seremban, Negeri Sembilan, pada tahun 2002.

“Saya mula bertugas sebagai guru pada tahun 2005 di SK Nong Chik, Johor Bahru. Subjek pertama ialah Bahasa Inggeris dan Sains.

“Selepas lapan tahun menjadi guru, saya dilantik sebagai Guru Penolong Kanan di SK Sungai Danga, Johor Bahru pada November 2013,” katanya mengimbas kenangan menceburi bidang pendidikan.

Berkongsi pendekatan yang digunakan kepada murid-murid, suami kepada Nurul Fazrina Abdul Hamid, 31, itu menambah, SK Pekan Nanas yang mempunyai seramai 633 murid dididik menggunakan sikap positif atau positive behavior support.

Ujarnya, pihaknya bekerjasama dengan Pusat Permata Kurnia, Sentul, Kuala Lumpur bermula Januari lalu bagi memperlengkap guru-guru dan warga sekolah dengan latihan, kepakaran dan input mengenai cara mengendalikan anak-anak murid yang mempunyai kepelbagaian dari segi keupayaan dan minat.

“SK Pekan Nanas merupakan sekolah harian dan tidak mempunyai aliran pendidikan khas tetapi sebelum mana-mana murid didiagnosis sebagai autisme dan sebagainya, takkan kita mahu tolak kemasukan mereka ke sekolah ini.

“Jadi, kita didik kesemua 55 orang guru dan empat staf di sini serta guru-guru di zon Pekan Nanas bagi mewujudkan kesedaran bahawa murid-murid ini boleh mengikuti pelajaran apabila ada cara yang betul,” katanya lagi.

Harapan

Bapa kepada Ammar Mattin, 5, dan Amna Mirza, 3, itu menambah, dia melihat sektor pendidikan bukan semata-mata mengenai tugas sebagai penjawat awam sebaliknya guru-guru merupakan usahawan sosial (social entrepreneur) dan orang yang boleh mempengaruhi individu lain menerusi inspirasi dan perbuatan.

“Pada masa dahulu, kebanyakan pemimpin terdiri dalam kalangan guru seperti Zainal Abidin Ahmad atau Zaaba dan kita mahu kembalikan semangat itu.

“Kita mahu bergerak ke hadapan dan membawa perubahan kerana sebab yang pertama, guru-guru mempunyai ilmu pengetahuan dan jalinan hubungan yang sangat luas,” katanya.

Atas alasan itu, dia berharap agar anak-anak muda tidak melihat kerjaya guru sebagai kerjaya kelas kedua.

“Kerjaya sebagai guru ini sangat mulia yang patut menjadi pilihan utama kerana ia merupakan satu karier yang boleh memberi impak terhadap sosial dan pembangunan negara,” ujarnya.