Begitu pun, sebuah agensi model dari Rusia dilihat melawan arus apabila hanya mengambil individu berusia 45 tahun dan ke atas sebagai usaha untuk memperagakan pakaian serta beraksi di hadapan kamera.

Agensi yang diberi nama Oldushka itu disertai oleh 18 orang model lelaki dan wanita yang berusia antara 45 hingga 85 tahun.

Menariknya, biarpun sudah memasuki usia emas, model-model agensi tersebut cukup pandai bergaya dan memberikan pose terbaik saat gambar mereka dibidik oleh jurugambar.

Berpangkalan di Moscow, agensi model tersebut mula menjadi sensasi internet pada pertengahan tahun lalu.

Ia diasaskan oleh Igor Gavar yang merupakan bekas seorang jurugambar jalanan di Moscow.

Jadi hobi

Menurut Gavar, dia cukup suka mengambil gambar warga emas di jalanan dan menjadikannya sebagai hobi.

“Setiap kali mempunyai masa terluang, saya akan merakamkan gambar warga emas di jalanan sebagai hobi kerana cukup tertarik melihat bagaimana mereka menjalani kehidupan seharian,” ujarnya dalam satu temu bual bersama majalah Vogue.

Gavar yang sebelum ini hanya memuat naik gambar-gambar model warga emas di blog peribadinya kemudian mengambil langkah untuk mewujudkan sebuah agensi.

“Ketika ini, saya mempunyai 18 orang model daripada pelbagai negeri di Rusia,” ujarnya.

Mengulas lanjut, lelaki berusia 29 tahun itu berkata, dia berasakan bahawa kecantikan tidak luput atau hilang akibat peningkatan usia.

Malah, seseorang itu boleh menjadi semakin cantik atau kacak biarpun pada usia emas.

“Bagi saya, kecantikan merupakan satu kualiti yang semakin dihargai seiring dengan peningkatan usia.

“Sepanjang penglibatan saya dalam dunia fotografi, saya telah berjumpa dengan ramai individu warga emas yang memiliki kecantikan yang luar biasa dan ia harus dipertontonkan kepada dunia,” ujar Gavar.

Salah seorang model Oldushka, Valentina Yassen, 62, berkongsi rasa teruja apabila membabitkan diri dalam dunia peragaan biarpun sudah berusia lebih separuh abad.

“Pada mulanya, saya meragui kebolehan diri. Begitu pun, anak lelaki saya memberikan saya semangat dan berkata bahawa ini mungkin satu peluang yang baik untuk saya mengembangkan kerjaya saya dan mungkin belajar sesuatu yang berharga dalam hidup,” tuturnya.

Diterima baik

Kini, wajah jelita Yassen boleh dilihat di majalah-majalah tempatan di Rusia.

Jenama-jenama terkemuka di negara itu juga mula berminat untuk mempamerkan wajah-wajah model warga emas untuk kempen-kempen mereka.

Antaranya termasuklah Dries Van Noten, Dolce & Gabbana dan Simone Rocha.

Malah, salah seorang model warga emas popular di dunia iaitu Christie Brinkley, 63, dipilih sebagai model pakaian renang daripada jenama Sports Illustrated.

Ujar Gavar, dia berbangga apabila orang ramai mula melihat kecantikan yang dimiliki oleh warga emas.

“Model warga emas ternyata berjaya melawan stereotaip dunia peragaan. Bagi saya, mereka seharusnya tampil sebagai diri sendiri kerana tidak mustahil untuk nampak cantik biarpun sedang meniti usia emas,” ujarnya.

Agensi model Oldushka dari Rusia melawan arus dengan mengetengahkan model-model yang berusia 45 tahun ke atas untuk memperagakan pakaian di pentas peragaan dan menghiasi muka depan majalah.