Di tengah-tengah padang, sekumpulan penduduk yang memakai pakaian tradisional dayak dilihat sedang rancak menari mengikut rentak muzik yang dimainkan.

Masing-masing memegang sebatang pedang berbulu. Riak gembira jelas terpancar pada wajah mereka.

Daripada pandangan mata kasar, kaum dayak di kepulauan tersebut dilihat seperti sedang berpesta. Biarpun begitu, mereka sebenarnya sedang melaksanakan ritual Adat Reba.

Menurut seorang penduduk yang hanya ingin dikenali sebagai Untung Supriyandi, 63, Adat Reba merupakan ritual penghormatan suku dayak terhadap nenek mo­yang terdahulu sebagai tanda terima kasih kerana berjaya mewujudkan perkampungan dayak di Nusa Tenggara Timur.

“Ritual ini merupakan acara tahunan yang wajib dilakukan oleh suku dayak yang mendiami sekitar Nusa Tenggara Timur setiap tahun.

“Lazimnya, Adat Reba dijalankan pada bulan Januari atau Februari mengikut kelapangan masa penduduk setempat.

“Melalui ritual ini, keluarga dan masyarakat setempat akan meminta seorang tokoh adat untuk mendoakan kelancaran hidup pada tahun-tahun akan datang,” jelasnya.

Ubi rebus

Pada kebiasaannya, sehari sebelum ritual berlangsung, masyarakat dayak akan melaksanakan upacara pembukaan yang dikenali sebagai Su’i uwi.

Sebuah rumah yang bertuah akan dipilih setiap tahun untuk menjadi tuan rumah bagi pelaksa­naan ritual tersebut.

“Pada malam Su‘i uwi, masyarakat dayak akan menjamu kesemua suku dayak sementara menunggu pagi.

“Keesokan paginya, sebelum ri­tual Adat Reda dilaksanakan, tuan rumah akan menghidangkan makanan dan minuman tradisional wajib suku dayak kepada semua yang menyertai upacara tersebut.

“Lazimnya, mereka akan dihidangkan dengan ubi rebus,” jelas­nya.

Menurut Untung Supriyandi lagi, ubi merupakan makanan rugi yang dianggap sebagai tuah dalam kalangan masyarakat dayak di Nusa Tenggara Timur.

Disebabkan itu, suku dayak yang menghuni kawasan sekitar Nusa Tenggara Timur, Indonesia kaya dengan tanaman ubi dan tidak pernah mengalami masalah kebuluran atau ketiadaan makanan.

Usai bersarapan, kesemua mereka akan bergerak ke sebuah ge­reja lama dan menganjurkan majlis memohon kesejahteraan yang dinamakan sebagai Misa Inkul Turasi.

Upacara tersebut biasanya akan dipimpin oleh seorang paderi yang digelar sebagai Romo.

Mereka kemudian akan berge­rak ke sebuah padang yang luas dan memulakan tarian ritual.

Tiga hari

Pada waktu itu, kesemua suku da­yak yang terlibat dalam tarian tersebut akan menggenggam sebilah pe­dang panjang dan tongkat warna warni yang hujungnya dihiasi dengan bulu kambing berwarna putih.

Bagi mengiringi tarian tersebut, alat muzik berupa gendang dan juga biola yang diperbuat daripada tempurung kelapa akan dimainkan.

Mereka akan menari dan bersuka ria selama tiga hari berturut-turut.

“Ketika penari-penari sedang asyik menari, ketua adat akan datang memberikan dua gelas arak kepada mana-mana individu yang bertuah.

“Sementara itu, suku dayak yang lain pula akan dihidangkan dengan sajian tradisional wajib mereka iaitu ubi rebus sepanjang tiga hari ritual berlangsung,” jelasnya.

Pada hari terakhir ritual dilaksanakan, orang ramai sekali lagi akan berkumpul di hadapan gereja lama.

Seorang paderi akan membacakan doa kesyukuran dan seterusnya menandakan ritual tamat.

“Walaupun ini merupakan ritual turun-temurun, namun bagi masyarakat lain, mereka menganggap ia merupakan sebuah pesta huru-hara kerana ia menganggu keamanan penduduk sekitar.

“Bagaimanapun, bagi suku dayak pula, ritual tersebut merupakan satu kegembiraan buat mereka dan secara tidak langsung menjaga keharmonian ahli suku yang lain,” jelasnya.

Suku dayak di Nusa Tenggara Timur, Indonesia ucap terima kasih kepada nenek moyang terdahulu setiap bulan Januari atau Februari dengan tarian.