Sedekah secara umumnya boleh difahami sebagai sesuatu pemberian kepada orang yang memerlukan dengan hati yang ikhlas.

Bagi mereka yang berlumba-lumba untuk menginfakkan harta di jalan Allah, maka ganjaran yang ditawarkan begitu bernilai seperti firman-Nya dalam surah al-Baqarah ayat 265 yang bermaksud:

“Dan perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya untuk mencari reda Allah dan untuk memperteguhkan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi yang disiram hujan lebat, maka kebun itu menghasilkan buah-buahan dua kali ganda. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, maka embun pun sudah memadai. Sesungguhnya Allah melihat setiap apa yang kamu kerjakan.”

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini konsep sedekah itu sering disalah tafsir dan dilakukan tanpa mengikut adab yang dianjurkan Islam.

Keutamaan

Baru-baru ini, netizen khasnya rakyat Sarawak mengecam tindakan seorang usahawan kerana ‘membuang’ wang tunai berjumlah RM10,000 kepada para pengunjung terawal Mood Republik Sarawak di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK).

Video berdurasi 22 saat yang viral di media sosial itu menunjukkan para pengunjung lelaki mahupun wanita berasak-asak dan berebut antara satu sama lain semata-mata mahu mendapatkan wang yang jatuh berterbangan.

Rata-rata netizen berpendapat bahawa adalah lebih baik sekiranya wang tersebut didermakan kepada golongan yang memerlukan berbanding diberikan kepada mereka yang mampu.

Pencetus Ummah (PU) musim ketiga, Mohd. Amirul Amin Maula Lokman Hakim berkata, Islam menyusun keutamaan bersedekah kepada golongan yang memerlukan.

“Apabila kita bersedekah, hendaklah kita mendahulukan orang yang dekat dengan kita termasuk adik-beradik dan jiran tetangga sebelum menghulur bantuan kepada orang lain.

“Hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad antara lain ia menyusun keutamaan bersedekah kepada diri sendiri, isteri, anak, orang gaji dan sekiranya masih ada sedekahlah kepada sesiapa yang memerlukan di sekeliling kita,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai PU Amin menambah, Islam menggariskan beberapa adab dalam bersedekah supaya amalan tersebut diterima Allah antaranya tangan di atas (memberi) lebih baik daripada tangan di bawah (menerima), ikhlas dalam bersedekah, mendahulukan sedekah yang wajib, bersedekah dengan harta yang halal dan tidak mengungkit–ungkit sedekah mereka.

“Berikan sedekah dengan seikhlas hati bukan kerana terpaksa ataupun ingin dipuji dan dilihat oleh manusia kerana jika kita mempunyai sifat sedemikian, ia akan merosakkan pahala amalan bersedekah,” katanya.

Sementara itu, penceramah dan penulis buku terkemuka, Ustaz Pahrol Mohamad Juoi berkata, bersedekah secara sembunyi adalah lebih utama, namun bergantung kepada keadaan.

“Menyembunyikannya adalah lebih utama tetapi dalam konteks tertentu ia perlu ditonjolkan bagi mengelakkan prasangka atau menjadi contoh teladan kepada orang lain untuk bersedekah.

“Dalam konteks ini, zakat sekiranya dilakukan secara sembunyi boleh menimbulkan prasangka buruk dalam kalangan orang sekeliling dan ia perlu dilakukan secara terang-terangan,” katanya.

Beramal

Menurut Pahrol, sekiranya dengan bersedekah itu dapat menjadi contoh kepada orang lain, maka ia mendapat pahala yang berlipat ganda seperti dalam sebuah hadis yang bermaksud

“Barang siapa yang membuat contoh yang baik, maka dia akan mendapatkan pahala dan pahala orang yang beramal dengannya sehingga hari kiamat.” (Riwayat Muslim).

Pahrol berkata, pemberian sedekah tidak boleh dikotori dengan tindakan yang menyakiti hati penerima sedekah.

“Islam melarang seseorang itu mengungkit dan menceritakan sedekah yang diberikan kepada orang lain dan ia akan menghilangkan nilai sedekah tersebut.

“Gunakanlah tangan kanan agar penerima berasakan keikhlasan pemberi dan bersalam setelah selesai menyerahkan sedekah bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim,” katanya.

Pahrol memberitahu cara hidup Rasulullah dan para sahabat menjadi contoh terbaik dan teladan kepada golongan bukan Muslim.

“Sejarah Islam menunjukkan hubungan baik antara Muslim dan bukan Muslim ketika pemerintahan Islam. Justeru, sekiranya umat Islam mempamerkan adab dan contoh teladan yang baik dalam bersedekah, maka ia akan turut diteladani oleh mereka yang bukan Islam,” ujarnya.