PAMERAN Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) menutup tirainya pada 30 Mei lalu yang menyaksikan puluhan aset udara dan maritim dipertontonkan kepada ribuan pengunjung sepanjang lima hari penganjurannya.

Selain daripada pameran, acara yang ditunggu-tunggu ialah demonstrasi melibatkan aksi-aksi pasukan keselamatan maritim dan udara dari dalam dan luar negara. Antara yang mengambil bahagian ialah pasukan Jupiter dari Tentera Nasional Indonesia dan Angkatan Udara dan Russian Knights daripada Tentera Udara Rusia.

Namun, pertunjukan yang ditunggu-tunggu orang ramai sudah tentunya aksi pasukan tuan rumah seperti Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) atau pasukan aerobatik negara, Krisakti.

TUDM tampil dengan pasukan Ace yang dibentuk khas untuk LIMA’19. Pasukan itu adalah yang pertama seumpamanya di dunia apabila membentuk gabungan dua jenis pesawat tempur daripada pengeluar berbeza, sekali gus melakar sejarah aerobatik militer dunia.

Blok

Ace TUDM menampilkan tiga pesawat penggempur Sukhoi SU-30MKM, yang merupakan aset utama dalam inventori TUDM dan dua pesawat F/A 18D (Hornet).

Pesawat SU-30MKM dibangunkan oleh Irkut Corporation dari Rusia manakala Hornet merupakan jentera yang dibangunkan McDonnell Douglas dari Amerika Syarikat (AS). Kedua-duanya mempunyai spesifikasi dan pengendalian yang berbeza sama sekali.

Gabungan itu dianggap seperti pertembungan blok Barat dan Timur memandangkan ia melibatkan pesawat AS yang mewakili Barat dan Rusia yang lazim dianggap kuasa Timur berdasarkan sejarah.

Seramai 10 juruterbang dari Skuadron Ke-11 (11 Skuadron) dan Skuadron Ke-18 (18 Skuadron) terlibat dalam pasukan Ace itu. Mereka ialah Leftenan Kolonel Faizal Abu Bakar, Mejar Nik Mohd. Suhazly Nik Shamsuddin, Mejar Aswad Mohd Abeed, Mejar Wan Azraeil Wan Jamalludin, Mejar Mohd. Jamil Awang, Kapten Mohd. Aliem Nuri, Mejar Muhd. Faizal Ab. Rahim, Mejar Mohd. Azmeel Mohd. Nadzri, Leftenan Kolonel Abdul Rahim Jusoh dan Mejar Muhammad Hilmi Zainuddin. Dua lagi juruterbang, Leftenan Kolonel Norazan Othman dan Mejar RV Thayala masing-masing bertindak sebagai juruterbang simpanan dan pengulas sepanjang pertunjukan itu.

Gabungan formasi seperti itu belum pernah dilakukan oleh mana-mana pasukan tentera di dunia. Ia bukan sahaja kerana tidak banyak negara yang memiliki pesawat tempur buatan negara-negara berbeza tetapi juga pertunjukan formasi seperti itu mencabar ekoran kedua-dua pesawat tempur mempunyai keupayaan berbeza dan memerlukan kepakaran serta kebijaksanaan untuk diselaraskan.

Dari segi rupa pesawat pula, Sukhoi bermuncung seperti kepala ular manakala Hornet bermuncung lurus. Setiap pesawat dinaiki dua juruterbang.

Pegawai Memerintah 11 Skuadron, Faizal Abu Bakar berkata, konsep awal untuk pertunjukan taktikal itu diilhamkan daripada Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

“Beliau mahukan beberapa cadangan formasi pertunjukan. Kami memberikan beberapa idea dan setelah perbincangan dilakukan, beliau bersetuju dengan formasi yang menonjolkan gabungan dua pesawat tempur itu,” katanya yang juga juruterbang Sukhoi pasukan Ace ketika ditemui K2 di Langkawi, Kedah baru-baru ini.

Bercerita mengenai persiapan yang telah dilakukan untuk LIMA’19, Faizal berkata, latihan telah dibuat sebulan sebelum acara itu.

“Bagi acara ini, sebanyak 18 sesi latihan diadakan pasukan Ace dengan 10 sesi latihan berasingan mengikut jenis pesawat dan lapan sesi latihan penuh,” ujarnya.

Tambahnya, kesemua juruterbang terlibat turut mengadakan latihan mental flying di darat yang mana kesemua mereka akan membayangkan formasi, gerakan dan koordinasi antara pesawat.

“Kami membayangkan fizikal tubuh kami adalah pesawat tersebut, jadi setiap juruterbang akan menggerakkan diri masing-masing mengikut formasi yang diingini. Ia membolehkan pasukan kami melihat secara kasar pergerakan pesawat sebenar,” jelasnya.

Tedung pacak

Pada pertunjukan aerobatik berkenaan, pasukan Ace bermula dengan dua buah SU-30MKM (Ace 1 dan Ace 2) yang berlepas serentak diikuti dengan sebuah lagi SU-30MKM (Ace 3) dari belakang. Sebuah Hornet (Ace 4) menyusul dengan pantas. Kemudian Hornet kedua (Ace 5) menujah ke udara, memusingkan jentera ke kiri sebelum membelok ke kanan untuk olah gerak knife pass. Hornet pertama kembali ke tengah-tengah lapangan terbang sebelum memecut laju.

Pesawat-pesawat SU-30MKM masuk ke tengah ruang udara dengan terbang dalam formasi Vic sebelum Ace 1 beraksi gelung mini dan pusingan radius, disusuli olah gerak cross turn oleh Ace 2 dan Ace 3.

Olah gerak lain yang memukau ribuan pengunjung termasuklah barrel roll yang menyaksikan Ace 5 ‘melingkari’ Ace 4; figure of eight; daun gugur (falling leaf) dan inverted mirror pass.

Persembahan itu diakhiri dengan olah gerak Pugachev cobra atau tedung pacak yang memperlihatkan Ace 1 berada pada kedudukan menegak dan memuntahkan suar sambil Ace 4 memecut dengan kelajuan tinggi di bawah. Kemudian, ketiga-tiga SU-30MKM membuat formasi Vic sebelum terbang menegak 60 darjah dengan mengeluarkan suar. Persembahan berlangsung selama kira-kira 16 minit.

Ujarnya, SU-30MKM memaparkan olah gerak taktikal dalam formasi manakala Hornet pula memaparkan olah gerak kelajuan tinggi.

Ketua Bahagian Operasi 11 Skuadron, Nik Mohd. Suhazly Nik Shamsuddin berkata, persembahan aerobatik adalah sesuatu perkara yang mengutamakan ketepatan masa.

“Konsep penerbangan yang ditonjolkan pada pameran berkenaan, antaranya integrasi spektrum penuh, tempo tinggi, kelajuan tinggi, kelajuan rendah dan bunyi yang kuat.

“Pergerakan perlahan SU-30MKM dimanfaatkan untuk olah gerak tedung pacak dan falling leaf, manakala kelajuan Hornet digunakan untuk formasi seperti barrel roll dan pecutan tinggi,” tambah juruterbang SU-30MKM itu.

Sementara itu, Ketua Bahagian Latihan Pangkalan Udara TUDM Butterworth, Muhd. Faizal Abd. Rahim pula berkata, formasi gabungan itu memerlukan penyelarasan tujahan kuasa kedua-dua jentera.

Tambahnya, penerbangan aerobatik menggunakan banyak olah gerak secara menegak berbanding mendatar sekali gus penggunaan kuasa enjin yang lebih besar diperlukan.

Hornet mempunyai tujahan kuasa untuk pecutan yang lebih berbanding SU-30MKM memandangkan ia lebih ringan, jadi juruterbang Hornet harus mengimbangi kuasa supaya tidak terlalu laju.

“Kami menggunakan kelebihan Hornet di pentas utama semasa SU-30MKM sedang split, begitu juga sebaliknya,” katanya yang juga juruterbang Hornet dalam pasukan Ace.

Tambahnya, cabaran terbesar dalam mengendalikan formasi penerbangan aerobatik melibatkan dua pesawat yang berbeza adalah koordinasi dan komunikasi antara pasukan udara dan juga kru lapangan.

“Kami berkomunikasi dengan pegawai di lapangan, Thayala yang bertindak sebagai pengulas semasa pameran itu.

“Selain itu, juruterbang kedua setiap pesawat akan bertindak sebagai pemerhati dan perancang pesawat untuk menentukan keluar masuk pesawat yang berlainan,” jelasnya.