KALA mempunyai deria keenam sejak berusia 12 tahun.
KALA mempunyai deria keenam sejak berusia 12 tahun.

Ari Kala, 24, betugas sebagai seorang setiausaha sebelum mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menumpukan pada kerjaya profesionnya sebagai psikik.

Wanita berkenaan mula menyedari deria keenamnya itu semasa dia melawat bapa saudaranya yang sedang nazak ketika berusia 12 tahun dan menghidu satu bau pelik yang orang lain tidak menyedarinya.

Kala yang berasal dari New South Wales, Australia bagaimanapun mendedahkan, dia tidak pernah memberitahu seseorang yang mempunyai bau kematian kerana berpendapat ia ‘bukan urusannya’.

Menurut Kala, setahun sebelum memasuki sekolah menengah, dia menziarahi bapa saudaranya yang sedang nazak di rumah lelaki berkenaan.

“Malam sebelum hari pak cik saya meninggal dunia, saya menghidu satu bau yang pelik dan busuk di dalam rumah.

“Pada mulanya saya sangka ia bau mayat, namun ahli keluarga yang lain tidak menghidu bau itu.

“Saya kemudian menyedari bau itu adalah bau kematian yang hanya dapat dihidu oleh saya,” katanya.

Terasa beban

Menurutnya, sejak itu, dia mengalami kejadian serupa berulang-ulang kali ketika berada berhampiran dengan seseorang yang sakit tenat atau orang tua yang terlalu uzur.

“Kadangkala saya rasa ia seperti satu beban. Saya teringin hendak memberitahu mengenai perkara ini, namun menyedari ia bukan tugas saya.

“Saya tidak tahu bagaimana hendak berjumpa dengan orang yang tidak dikenali dan memberitahu bahawa mereka yang akan mati tidak lama lagi mempunyai bau yang saya hidu.

“Saya bimbang sekiranya mereka ditimpa kecelakaan selepas mengetahui mereka akan mati tidak lama lagi,” katanya.

Tambah Kala, dia juga berasakan tidak patut mencampuri urusan takdir yang telah ditetapkan Tuhan terhadap seseorang.

Kala percaya setiap individu mempunyai potensi untuk menjadi seorang ahli psikik, namun kuasa itu telah tersekat sejak mereka masih kecil.

Sehubungan itu, Kala kini mengajar wanita lain berusia 25 hingga 45 tahun mengenai cara-cara mengembangkan kuasa psikik dalaman mereka dan menggunakannya untuk kebaikan.

Kebolehan meramal

Wanita itu mendakwa, dia menyelami dunia kerohanian selepas didorong oleh kemurungan ketika bekerja sebagai setiausaha di sebuah firma undang-undang di Sydney.

“Setiap orang mempunyai akses ke atas kemampuan psikik mereka, tetapi biasanya ia telah disekat semasa kita kanak-kanak.

“Kanak-kanak diberitahu apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan sejak masih kecil lagi.

“Mereka juga diberitahu bahawa imaginasi mereka tidak nyata dan ini menyebabkan kebolehan psikik ini mati begitu sahaja,” katanya.

Menurut Kala, dia juga dapat meramalkan masa depan melalui mimpi yang dialaminya semasa kanak-kanak.

“Semasa kecil, saya dapat membaca emosi seseorang dan sering bermimpikan mengenai sesuatu yang akhirnya menjadi kenyataan.

“Orang ramai bagaimanapun tidak menyukainya menyebabkan saya mengambil keputusan untuk ‘mematikan’ kebolehan ini,” katanya.

Menurut Kala, dia berasa tertekan ketika bekerja mengikut waktu pejabat, namun kemudian menyedari dirinya mempunyai pilihan yang lain.

“Saya kehilangan beberapa kawan dan keluarga selepas mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan menumpukan pada kerjaya profesional sebagai seorang psikik, namun ia keputusan terbaik yang pernah saya ambil,” katanya.

Jelasnya lagi, dia kini mengajar cara-cara untuk menggunakan kuasa dalaman seseorang bagi memperoleh apa yang dihajati mereka sama ada pelanggan, wang atau kehidupan yang diimpikan.

“Saya pernah dikecam secara dalam talian, namun saya telah mempelajari bahawa tidak mengapa untuk menjadi pelik dan hanya sekadar ketawa membaca komen-komen negatif berkenaan,” katanya.

Psikik dakwa dia dapat mengetahui sekiranya ajal seseorang hampir tiba, namun tidak dapat menyelamatkan mereka.