Hendak dibuang sayang, apatah lagi tabiat membazir memang tiada dalam kamus hidupnya.

Seperti mana suri rumah-suri rumah yang lain, Laily juga tidak betah duduk diam di rumah. Lantas dia mengambil kertas-kertas itu dan tidak semena-mena darah seni yang mengalir di dalam tubuhnya kembali ‘diaktifkan’.

Itulah kisah permulaan segalanya pada 2012. Kisah tentang seorang ibu biasa berusia kira-kira separa abad yang menjadi tular baru-baru ini kerana kreativiti seninya yang boleh dianggap luar biasa. Nampak seperti lukisan-lukisan, tetapi ia sebenarnya adalah lipatan-lipatan kertas berwarna-warni yang disusun membentuk gambar.

Perkongsian anaknya, Siti Zulaikha Mustafa, 22, di Twitter pada Disember lalu telah mencetuskan kekaguman netizen di dunia maya lantas diri Laily, 51, menjadi buruan media. Daripada seorang ibu yang sekadar menggantung karya-karyanya di dinding rumah dan bakatnya selama ini hanya diketahui rakan taulan, Laily kini sudah pun mempunyai ‘lukisan-lukisan’ yang dipamerkan pada khalayak awam dalam satu pameran seni yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur.

“Saat kali pertama kawan-kawan saya melihat karya saya ini, mereka kata: ‘kau ni gila!’ Tengok pun sudah penat, setahun pun belum tentu dapat mereka siapkan,” kata Laily yang mesra membahasakan dirinya Kak Laily dengan nada berjenaka ketika ditemui K2 di Rawang baru-baru ini.

Pelbagai tona

Penulis dan jurufoto Amir Hafiz Abd. Rahman turut terkesima melihat hasil kerja seninya hari itu. Dakwa Amir Hafiz yang sering ke galeri seni, ia seperti jarang sekali dapat ditonton di mana-mana pun.

Dari jauh, ia nampak seperti lukisan yang menonjol dengan pelbagai tona warna, apabila diamati secara dekat ia sebenarnya lipatan-lipatan kertas berwarna-warni yang disusun dengan penuh kreativiti.

“Saya memang pantang membazir. Apabila nampak kertas-kertas berwarna-warni itu yang didominasi warna kuning, saya terus terfikirkan bunga matahari. Karya pertama saya ialah pemandangan bunga-bunga matahari.

“Karya saya ini, di pandangan mata orang, nampak rumit atau leceh tapi saya tidak pula merasakan ia begitu susah. Saya cuma buat berdasarkan ilham dan idea yang lahir sendiri tanpa rujukan dari mana-mana bersandarkan nurani seorang ibu yang resah melihat ‘semak’ saki-baki tugasan sekolah anak-anak semasa mengemas rumah,” katanya yang boleh menyiapkan sesebuah karyanya antara seminggu hingga dua minggu sahaja.

Laily merupakan seorang insan yang darah seninya dipercayai mengalir daripada datuknya yang berbakat melukis dan bapanya yang merupakan jurukimpal kubah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, masjid yang menjadi fenomena kerana keindahan seni binanya di negara ini.

Laily mula menjadi suri rumah sejak dua dekad lalu berikutan mahu menumpukan sepenuh tumpuan kepada anak-anaknya yang membesar. Bagaimanapun, Laily sudah kembali bekerja sejak 2015 dan kini merupakan eksekutif akaun di syarikat pembekal mesin fotostat, Khalifah Copier Sdn. Bhd.

Kalau sudah namanya suri rumah, Laily berkata, sewaktu mula menghasilkan karya itu pada 2012 dia banyak mengambil inspirasi visual daripada drama-drama yang ditontonnya di rumah.

“Saya rajin menonton drama Cina pada waktu petang, sebab itulah karya-karya yang saya hasilkan turut bermotifkan kebudayaan Cina. Saya menghasilkan karya maharani, pemandangan ikan koi dan sebagainya. Sejujurnya saya gemar mengamati alam semula jadi dan budaya tidak kiralah kaum apa pun,” katanya.

Lipatan

Laily berkata, untuk menghasilkan karya ‘lukisan’ daripada lipatan-lipatan kertas itu, kertas A4 dilipat kepada 16 bahagian sebelum memotongnya kecil-kecil.

“Ia kemudian dilipat berselang seli seperti lipatan kipas dan ditampal dengan gam biasa pada mounting board juga saki baki daripada tugasan pembelajaran salah seorang anak saya yang kini merupakan seorang pereka dalaman.

“Untuk menghasilkan dimensi alunan, lipatan kertas itu akan diregang atau dirapatkan bergantung kepada kesesuaian,” katanya.

Ditanya aspek paling sukar dalam pembuatan karya tersebut, Laily berkata, secara umumnya tidak ada apa yang begitu mencabar sementelahan ia merupakan minatnya.

“Cuma mungkin jadi masalah kalau kertas A4 dengan warna yang dikehendaki sudah habis. Terpaksalah saya cari kertas warna itu di semua kedai yang saya tahu. Masa mula-mula dulu, saya gunakan kertas-kertas A4 yang tidak digunakan di rumah, selepas semakin serius menghasilkannya, saya kini perlu membelinya untuk disesuaikan dengan visual yang ingin diterjemahkan daripada minda,” katanya.

Laily berkata, sejak menghasilkan karya seni itu pada 2012 sehingga sekarang, dia telah menghasilkan kira-kira 15 buah karya dan sebahagiannya telah dijual.

“Dahulu jual dengan kawan-kawan yang tertarik setelah melihat karya-karya di rumah. Saya tidak pasti nak letak harga berapa sebab saya langsung tidak tahu harga karya seperti ini. Sebelum ini, saya jual dengan harga RM300 untuk yang bersaiz seperti kad manila kecil dan yang lebih besar saya jual RM600. Tetapi ada juga orang kata, hasil karya saya ini wajar dijual sehingga ribuan ringgit.

“Sewaktu awal berkarya dahulu, jenis seni ini pun saya tidak tahu apa, sekarang saya baru tahu yang karya ini sejenis seni kolaj,” katanya.

Pameran sulung

Sejak tular, Laily semakin serius meng­hasilkan karya seni ini. Daripada seorang wanita suri rumah pertengahan usia, Laily kini sudah selayaknya digelar karyawan. Baru-baru ini, wanita itu telah menyertai Persatuan Perupa Malaysia.

Bahkan, ketika ini, Laily sedang terlibat dengan pameran sulungnya melibatkan beberapa karyawan seni di The Hulo Hotel and Art Gallery, Kuala Lumpur yang berlangsung 13 Januari lalu hingga 7 Februari ini.

Bersesuaian judul pameran berkait musim bunga, pameran itu dirasmikan oleh Pengarah Perkhidmatan Penerangan Jepun dari Kedutaan Jepun di Malaysia, Etsuko Kurihara.

“Saya mengimpikan untuk mempunyai galeri sendiri,” ujarnya.

Sementara itu, anaknya Siti Zulaikha berkata, dia memuat naik karya-karya ibunya ke dalam media sosial adalah kerana dia mahu berkongsi kekagumannya terhadap hasil karya ibunya kepada orang lain.

“Saya sukakannya dan saya percaya orang lain juga akan menyukainya. Lagipun, karya ibu sendiri. Saya sendiri berasa seperti tidak pernah melihatnya, mengapa tidak saya kongsikan kepada dunia.

“Perkongsian saya tular dan ramai yang memberi komen ia mengagumkan dan tidak pernah nampak karya seperti itu. Ada juga netizen yang mendakwa dia selalu ke galeri karya seni dan sekiranya menemui karya seperti ini pasti akan dirakam gambar sebanyak-banyaknya,” katanya yang merupakan seorang jurusolek.

Siti Zulaikha mengakui, dia tidak mampu melakukan hasil seni seperti ibunya itu kerana pembuatannya rumit dan memerlukan daya imaginasi yang tinggi.

“Bayangkan, ibu saya melakukannya tanpa melakar atau melukis terlebih dahulu, dia terus menampalnya di mounting board,” katanya.

Mengenai sikap ibunya yang amat menentang pembaziran, cerita Zulaikha, dia dan adik-beradik yang lain cukup memahami keperibadian ibu mereka itu.

“Kalau makanan, ibu akan pastikan ia tidak dibeli atau dibuat berlebihan kerana tidak mahu berlaku pembaziran.

“Pada zaman sekolah dahulu, jika mewarna, dia tidak akan membiarkan kami membeli pensel warna yang baharu melainkan menggunakannya sehingga kontot,” ujarnya.

Laily Abdul Hamid, 51, yang tular dengan kreativiti 'lukisan' seni lipatan kertas baru-baru ini asalnya cumalah seorang suri rumah yang mahu mengelakkan pembaziran kertas saki-baki tugasan sekolah anaknya.