Perkampungan itu kini umpama padang jarak padang terkukur tanpa ketamadunan manusia.

Separuh daripada kawasan seluas lebih 176 hektar itu yang dahulunya penempatan utama bagi warga Kota Palu, hilang ditelan bumi.

Tragedi itu tidak ubah seperti kawasan bukit yang baru sahaja ditarah. Realitinya, di bawah tanah itu terdapat sisa bangunan dan mayat mangsa yang masih belum ditemui.

Ketika artikel ini ditulis, sudah 17 hari pasangan suami isteri berusia 54 tahun itu tidak mampu berbuat apa-apa kerana masih trauma dengan kejadian yang dialami mereka.

Lebih memilukan, runtuhan rumah itu menjadi kubur bagi tiga anak perempuan mereka yang berusia antara 13 hingga 24 tahun.

Kepiluan mereka kerana kehilangan tiga anak sekali gus, diceritakan dengan linangan air mata.

Achyat merasakan dirinya tidak berguna kerana gagal menyelamatkan anak-anaknya yang tersepit dalam runtuhan rumahnya.

“Terlalu pantas kejadiannya kami baru pulang dari sawah. Ketika kami berjalan pulang, berlaku gegaran yang amat kuat dan tiba-tiba, rumah yang kami duduki lebih sedekad itu runtuh di depan mata.

“Kami bergegas ke kawasan runtuhan dan apabila tiba, kami mendengar tangisan anak yang terperangkap di bawah runtuhan rumah...tetapi, kami tidak pasti lokasi mereka kerana lumpur hitam dan pergerakan tanah merubah keseluruhan kampung kami,” katanya sambil menyapu linangan air mata

Dia mengakui jiwanya terseksa bila mengenangkan saat mendengar jeritan meminta tolong daripada anak-anaknya sehinggalah rintihan kesakitan mereka semakin sayup dan hilang daripada telinga.

“Ibu, bapak...tolong aku, aku sakit! Kata-kata itu yang kami dengar berjam-jam lamanya.

“Mereka sakit tapi apa yang kami buat? Tiada seorang pun yang aku dapat selamatkan. Tuhan sahaja yang tahu betapa seksanya jiwa kami sekarang,” katanya sebak.

Sejak kejadian itu, Fatimah berubah sikap daripada seorang yang ceria dan peramah menjadi pendiam dan kerap menangis.

“Anak kami amat rapat dengan Fatimah, dia merasa amat kehilangan. Ada kawan pernah memberitahu hilang anak tidak sama dengan hilang harta, kini saya mengerti maksudnya.

“Ramai rakan minta kami terima ketentuan takdir-Nya, tetapi apa yang berlaku sangat berat untuk ditanggung. Saya hilang segalanya,” ujarnya.

Menurutnya dia dan isteri reda dengan apa yang berlaku tetapi memerlukan masa untuk merawat ‘parut’ yang ditinggalkan akibat bencana itu.

“Saya reda dengan apa yang berlaku, hanya masa yang menentukan sama ada kami boleh mengatasinya. Saya percaya apa yang berlaku ini adalah ujian Allah untuk memberi kami yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Semangat baharu

Sehingga 20 Oktober, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) melaporkan bahawa korban gempa bumi dan tsunami di Sulawesi Tengah mencecah 2,113 orang selain menjejaskan kehidupan lebih 50,000 penduduk. Lebih 350 gempa susulan dilaporkan berlaku di Sulawesi Tengah selepas gempa pertama pada 28 September itu.

Bagi mengembalikan senyuman warga Palu, beberapa anggota Palang Merah Indonesia (PMI) mengambil inisiatif dengan memberi khidmat rawatan trauma untuk membantu memulihkan emosi mereka yang terkesan dengan kejadian itu dan berharap ia dapat memberi semangat baharu untuk mereka meneruskan kehidupan.

Antaranya ialah Asdik Hulopi, 48, yang mempunyai pengalaman lebih sedekad dalam memberi bantuan kepada mangsa bencana alam di Indonesia.

“Bagi saya, bencana ini adalah yang kedua teruk selepas tsunami di bandar Acheh pada tahun 2004. Namun, kesan trauma yang dilalui mangsa hampir sama. Kebanyakan mereka hilang segala-galanya... daripada orang yang disayangi hinggalah harta benda.

“Ia akan mengambil masa untuk pulih, tetapi jika tiada yang cuba memberi sokongan moral, pasti boleh gila dibuatnya.

“Disebabkan itu, PMI mendekati mereka yang kehilangan ahli keluarga untuk memberi kekuatan dan semangat baharu agar dapat meneruskan kehidupan seperti biasa,” jelasnya.

Menurut Asdik, kanak-kanak adalah antara individu yang paling terkesan dari segi psikologi kerana kebanyakan mereka menyaksikan kejadian yang berlaku di Kota Palu.

“Bahkan, ada antara mereka menjadi yatim piatu setelah kedua-dua ibu bapa hilang ditelan bumi dan memberi kesan buruk terhadap psikologi serta emosi mereka.

Yatim piatu

“Kita tidak mahu anak-anak ini tertekan. Disebabkan itu, kita cuba yang terbaik membuat mereka tersenyum sekali gus berusaha memadam memori pahit yang dialami mereka.

“Bagi saya senyuman ceria yang terlakar pada wajah anak-anak Palu menjadi pembakar semangat kumpulan PMI untuk terus memberikan yang terbaik kepada masyarakat tempatan,” katanya.

PMI antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pertama yang tiba di kawasan terjejas akibat bencana di Kota Palu dengan menghulurkan bantuan perubatan. Mereka juga terlibat secara langsung dalam misi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tertimbus.

Namun, di sebalik ketenangan dan lakaran senyuman wira tidak didendang itu, tersembunyi kesedihan yang amat pedih apabila penulis dimaklumkan Kampung Petobo itu turut menjadi kubur tidak bernisan buat isteri dan ibu mentua Asdik.

“Sehingga kini, isteri saya Rismawati Marajano, 36, dan ibu mertua, Enchiriyaa, 76, masih belum ditemui. Saya cuba mencari, tapi lihat sahaja kawasan ini, ia tidak sama seperti dahulu, tanahnya sudah bergerak,” katanya yang lengkap berseragam PMI sambil menunjuk ke arah perkampungan yang musnah itu.

Sebelum kejadian itu, katanya, Rismawati menghubunginya dan memaklumkan berlaku gempa bumi di sekitar kawasan perumahan itu.

“Ketika itu saya berada di pejabat. Dia menghubungi saya memaklumkan tentang gempa di sekitar rumah. Bagi warga Palu, kejadian gempa merupakan perkara biasa.

“Ketika sedang berbual, tiba-tiba dia menjerit, Tolong! Tolong! sebelum talian telefon terputus saya ingatkan dia berbual dengan jiran tapi langsung tidak menyangka rumah kami ranap ditelan lumpur hitam,” katanya.

Selepas dimaklumkan ibu pejabat PMI tentang gempa bumi yang mengakibatkan tsunami di sekitar kawasan Pantai Talise dekat sini, pasukan PMI terus bergegas ke kawasan pantai itu.

Setibanya di sana, mereka mendapati keadaannya amat teruk.

“Apa yang buat saya tersentak apabila seorang rakan memberitahu kampung halaman saya di Petobo turut musnah akibat gempa waktu itu, saya tertanya-tanya tentang keadaan isteri dan mentua saya,” katanya yang kemudian menemui 11 mayat di perkampungan itu.

Asdik berkata, tiada apa lagi yang diharapkan melainkan terus membantu mereka yang masih hidup untuk tabah mendepani cabaran tuhan ini.

“Jika saya lemah, bagaimana harus saya bantu orang lain. Hanya mereka yang terselamat daripada bencana ini menjadi pendorong saya untuk terus berkhidmat kepada masyarakat,” katanya. – Bernama