Setiap hari sejak September lalu, Nadia akan mengumpul botol plastik, tin aluminium dan lain-lain sampah yang kemudian diletakkan di dalam bakul basikalnya sebelum dibawa pulang. Bagaimanapun, usaha murni gadis itu pada mulanya tidak mendapat penghargaan yang sepatutnya.

Sebaliknya sebaik sahaja rakan-rakan di sekolahnya mengetahui mengenai tabiat Nadia itu, mereka mula mengejek dan membulinya dengan memberi nama gelaran ‘Gadis Sampah’.

Adalah lebih mudah untuk mengalah dan berhenti mengutip sampah, namun gelaran itu sebaliknya menjadikan pelajar Sekolah Tinggi Hellesdon dari Norwich, Norfolk, England itu lebih bersemangat untuk mencapai impiannya membersihkan persekitaran dan memelihara alam sekitar.

Watak Adiwira

Nadia tanpa tanpa rasa segan atau malu menerima dengan hati terbuka gelaran ‘Gadis Sampah’ itu. Melalui laman Facebooknya, Team Trash Girl, dia bukan sahaja berjaya menepis penghinaan itu, malah turut mengajak individu lain untuk bersama-samanya menyertai usaha murni tersebut.

“Saya perlu lakukan sesuatu untuk melindungi persekitaran yang juga didiami mereka. Ia tugas kita semua. Kita semua perlu bertanggungjawab untuk memastikan persekitaran menjadi bersih daripada berpendapat ia adalah tugas orang lain,” kata Nadia mengenai pembulinya.

Sejak memulakan kempen itu, Nadia menerima banyak sokongan daripada individu dan organisasi di seluruh dunia. Terkini, remaja itu telah dijadikan watak adiwira kartun oleh sebuah syarikat tempatan, Creative Nation iaitu Trash Girl. Hasilnya, usaha murni Nadia mendapat sokongan dari serata dunia termasuk Amerika Syarikat dan New Zealand.

Pencipta watak itu di Creative Nation juga berharap watak adiwara itu akan digunakan di sekolah-sekolah untuk memberi inspirasi kepada lebih ramai generasi muda mencontohi Nadia.

Alex Jeffery daripada Creative Nation yang kagum dengan usaha murni Nadia berkata, kisah gadis luar biasa itu memberi inspirasi kepada mereka di syarikat berkenaan untuk mencipta kartun Trash Girl.

“Kami berpendapat Na­dia seorang adiwira yang meng­utamakan kepentingan bumi ini.

“Dia juga melakukan perkara itu sambil berhadapan dengan pembuli yang memilih untuk mengkritiknya daripada membantu,” katanya.

Tambahnya, mereka mencipta watak adiwira itu untuk Nadia sebagai tanda terima kasih selain menawarkan sokongan untuk kerja-kerja hebat yang dilakukannya.

Terkenal

Ibu Nadia, Paula Sparkes, 41, berkata, semasa anak gadisnya diejek dan dibuli, dia memberitahu bahawa Nadia mempunyai dua pilihan iaitu berhenti mengutip sampah selain mengelak perhatian pembuli tersebut sambil berharap mereka akan membiarkannya sendirian.

“Pilihan kedua ialah, Nadia perlu menerima gelaran ‘Gadis Sampah’ dengan hati yang terbuka sambil meneruskan kerja-kerja murni itu,” katanya sambil memberitahu kes buli itu berakhir setelah Nadia menjadi terkenal.

Tambahnya, Nadia terkejut dengan penerimaan masyarakat terhadapnya, namun gembira kerana semakin ramai orang berfikiran sepertinya.

Malah, laman Facebook Team Trash Girl milik Nadia juga mempunyai lebih daripada 560 ahli yang menggalakkan orang ramai berkongsi gambar sampah-sarap yang dibersihkan mereka setiap hari.

Seorang pelukis berprofil tinggi di Norfolk, Ruddy Muddy juga telah menghasilkan gambar yang didedikasikan kepada Nadia di belakang kenderaannya yang digelar Gadis Ini Mendapat Botol.

Pelajar berusia 12 tahun yang dibuli kerana sering kutip sampah ketika pergi dan pulang dari sekolah jadi sumber inspirasi ramai.