Walaupun taman tema fantasi kanak-kanak itu masih lagi kelihatan baharu, namun siapa sangka, ia sebenarnya sudah hampir menginjak usia enam dekad.

Selasa lalu, genap 63 tahun Disneyland dibuka kepada umum.

“Disneyland sebenarnya te­lah dibuka pada 17 Julai 1955. Bagaimanapun pada waktu itu, ia dibuka kepada tetamu jemputan khas sahaja.

“Keesokan harinya, iaitu 18 Julai 1955, barulah taman tema ini dibuka secara rasmi kepada umum,” ujar pengasas taman tema Disneyland, Walter Elias Disney.

Disney atau lebih terkenal dengan nama Walt Disney merupakan seorang penerbit filem dan sutradara warganegara Amerika Syarikat yang berpengaruh dalam bidang hiburan pada abad ke-20.

Beliau membuka taman tema fantasi nombor satu dunia di atas tapak berkeluasan 65 hektar yang dahulunya merupakan ladang oren dengan kos sebanyak AS$17 juta (RM68.51 juta).

Antara permainan yang dibina di taman tema tersebut ialah Main Street, Adventureland, Frontierland, Fantasyland dan Tomorrowland.

Perang Dunia Kedua

Menurut Disney, dia mula mendapat ilham untuk membina Disneyland sewaktu menemani dua orang anaknya, Diane dan Sharon bermain di taman permainan.

“Setiap hujung minggu, saya akan membawa mereka bermain di Griffith Park, Los Angeles.

“Wajah mereka kelihatan begitu seronok menaiki carousel. Sementara itu, saya dan ibu bapa yang lain hanya duduk memerhatikan keseronokan tersebut. Kadang-kala kami berbual kosong antara satu sama lain,” jelasnya.

Dari situ, Disney terfikir untuk membina sebuah taman tema yang mana ibu bapa dan anak-anak mampu melakukan aktiviti menye­ronokkan bersama.

Dia kemudian mula merancang pelan pembinaan taman tema Disneyland.

Hasrat Disney bagaimanapun tergendala hampir puluhan tahun akibat Perang Dunia Kedua yang berlaku pada tahun 1939.

Bagaimanapun, pada tahun 1953, Disney akhirnya mengambil keputusan untuk meneruskan semula perancangannya untuk membina taman tema yang diimpikan itu.

Disney mengupah sekumpulan penyelidik di Institut Penyelidikan Stanford, California untuk mencari lokasi yang sesuai.

Pada waktu itu, Disney mengimpikan kawasan yang berkeluasan sekurang-kurang­nya 40 hektar di Los Angeles dan berdekatan dengan lebuh raya untuk dibangunkan dengan taman tema tersebut.

Syurga dunia

Syarikat itu bagaimanapun mengusulkan sebuah ladang oren berkeluasan 65 hektar di Anaheim, California kepada Disney.

Pada 21 Julai 1954, pembinaan di taman tema tersebut mula dijalankan dan dalam tempoh satu tahun, mereka berjaya menyiapkan beberapa kawasan utama iaitu Main Street, Adventureland, Frontierland, Fantasyland dan Tomorrowland dengan kos keseluruhan sebanyak AS$17 juta (RM68.51 juta).

Pada 17 Julai 1955, seramai 6,000 orang tetamu te­lah dijemput untuk menyaksikan pratonton khas Disneyland sebelum ia dibuka kepada orang ramai pada hari berikutnya dengan bayaran masuk sebanyak AS$1 (RM4.03) sahaja.

“Saya tidak menyangka hasrat untuk membuka taman tema permainan ini berjaya direalisasikan. Akhirnya, saya berjaya menambah satu tarikan baharu dan menjadikan imaginasi jutaan kanak-kanak di dunia sebagai satu realiti.

“Kepada semua individu yang telah berkunjung ke ‘syurga dunia’ ini, saya berharap agar mereka gembira dengan 1001 permainan yang ditawarkan di sini,” jelas Disney.