Biarpun usianya menghampiri satu abad, Soo Xiu Keng masih tegap berdiri mengunting dan merapi rambut pelanggannya itu.

Sesekali wanita berusia 82 tahun itu bersuara, bertanyakan kepada pelanggan sama ada berpuas hati dengan potongan tersebut.

Biarpun lebih lima dekad beroperasi, perniagaan yang diusahakan Xiu Keng di Jonker Walk, Melaka itu masih dikunjungi terutama pelanggan setia.

“Jika dahulu ramai pelanggan yang datang ke sini, tetapi hari ini jumlahnya semakin berkurangan sehingga boleh dikira dengan jari,” katanya.

Terletak di deretan kedai di lorong kecil, premis yang dicat dengan rona putih itu tidak ubah seperti kedai usang yang sudah tidak beroperasi pada pandangan mata kasar.

Agak sukar untuk dikenal pasti terutama bagi mereka yang kali pertama mencarinya.

Di bahagian atas tertera papan tanda ‘Seng Huat’ manakala pada pintu kayu diletakkan sehelai kertas putih yang dibalut kemas plastik dengan perkataan barbershop.

Menurut warga emas itu, dia amat berterima kasih kepada pemilik premis berkenaan yang membenarkannya terus menyewa dan mencari rezeki di kedai gunting rambut tersebut yang diusahakan sejak lebih 50 tahun lalu.

Cerita Xiu Keng, penglibatannya dalam karier gunting rambut bermula ketika dia remaja. Anak jati Melaka itu memberitahu, sebelum terlibat dalam kerjaya tersebut dia terlebih dahulu bekerja sebagai buruh di pam minyak.

“Sewaktu itu, kulit saya bertukar gelap akibat bekerja di pam minyak. Jadi, bapa kawan saya yang bekerja sebagai tukang gunting rambut mencadangkan supaya saya belajar memotong rambut.

“Kehidupan saya pada masa dahulu susah. Untuk mengikuti kelas formal saya tidak mempunyai wang, jadi saya belajar menggunting rambut daripada lelaki itu selama enam bulan secara percuma yang diadakan di rumahnya di Kampung Hulu,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Selain memotong rambut, Xiu Keng yang bekerja seorang diri turut menyediakan perkhidmatan merapi wajah seperti mencukur dan membuang janggut serta misai.

Warga emas itu lebih selesa memilih konsep tradisional kerana ia lebih santai, mudah dan cepat, sesuai dengan peralatan yang ada, sebuah kerusi bersama pelapik kepala yang masih kukuh walaupun berusia lebih separuh abad.

Kekuatan

Peralatan lain seperti gunting, sikat, pembersih telinga juga dikekalkan dan masih berfungsi dengan baik.

Sebelum bekerja sendiri, Xiu Keng terlebih dahulu menimba pengalaman dengan makan gaji. Pengalaman yang dikutip dijadikan kekuatan untuk dia memulakan perniagaan sendiri.

Pertemuan dengan rakannya yang juga tukang jahit, Kan Yuan Lin, 81, kira-kira 50 tahun lalu membulatkan tekad untuk mereka membuka perniagaan sendiri yang disewa di bawah satu bumbung.

“Saya membeli kerusi ini daripada tauke (majikan) dengan harga RM100 kerana dia tidak mahu berniaga lagi. Itu kisah puluhan tahun lalu.

“Ada juga yang memujuk supaya kembali bekerja makan gaji dengan mereka, tetapi saya menolak kerana sayangkan tempat ini,” katanya.

Pelbagai kisah dilalui oleh Xiu Keng sepanjang 60 tahun bergelar tukang gunting rambut wanita dipercayai tertua di negeri ini. Paling menyedihkan apabila pelanggan setianya seorang demi seorang kembali ke alam abadi manakala sebahagian lagi berpindah ke tempat lain mengikut keluarga masing-masing.

Tan Seh Hin, 87, merupakan antara pelanggan yang masih setia mendapatkan khidmat Xiu Keng sejak 50 tahun lalu.

Jelas warga emas itu, kebolehan Xiu Keng mengenal pasti jenis potongan rambut yang sesuai untuk setiap pelanggannya memudahkan urusan mereka.

Upah

“Hampir setiap bulan saya datang ke kedai ini untuk merapikan rambut, kini anak- anak dan cucu lelaki saya mengikut jejak langkah yang sama,” kata lelaki yang menetap di jalan Hang Kasturi itu.

Jelas peniaga kedai runcit tersebut, puluhan tahun dahulu, upah menggunting rambut yang dikenakan Xiu Keng hanya RM1 dan kini angkanya mencecah RM10.

Katanya, peluang bertemu Xiu Keng turut digunakan untuk mereka bertanya khabar selain mengimbau kenangan silam.

Bagi Joseph Teng pula, dia memilih perkhidmatan Xiu Keng kerana kualiti yang diberikan oleh warga emas tersebut setanding kedai atau salun rambut profesional lain.

“Dengan kelengkapan yang terhad, dia mampu menghasilkan potongan rambut yang kemas,” katanya.

Atas sebab itulah lelaki dari Batu Berendam tersebut tidak berkira untuk datang mendapatkan khidmat Xiu Keng sejak 10 tahun lalu.

Mendepani cabaran kehidupan masa kini, Xiu Keng tidak menafikan golongan muda sekarang lebih selesa memotong rambut di salun dengan gaya potongan yang lebih moden.

“Selagi ada kudrat dan pelanggan, premis ini akan beroperasi seperti biasa setiap hari pada pukul 9. 30 pagi hingga 6 petang,” katanya tersenyum.

Xiu Keng memberitahu, perniagaannya itu kini bersandarkan kepada niat untuk mencari pendapatan bagi menampung keperluan harian serta membayar sewa kedai.

“Saya orang tua yang hanya bekerja untuk mencari sesuap nasi. Cukuplah untuk belanja harian makan dan bayar sewa, bukan lagi untuk mengejar keuntungan.

“Lagipun saya hanya ada sebuah basikal yang uzur dan tidak ada hutang lain yang perlu dijelaskan,” katanya yang suka menyanyi pada waktu terluang.

Menurut warga emas itu, perniagaan tersebut juga mungkin akan berkubur suatu hari nanti memandangkan dia tidak berkahwin dan tidak mempunyai zuriat.

“Pesanan saya kepada semua supaya lakukan setiap pekerjaan itu dengan ikhlas pasti ada ganjarannya,” katanya mengakhiri perbualan.