“Kami rasa seperti struktur rumah digoncang dengan kuat dari luar. Bumbung pula seperti mahu tertanggal,” jelas Geoge Sean, 66, salah seorang penduduk yang terselamat daripada Taufan Alicia yang menghentam Houston pada 18 Ogos 1983.

Menceritakan lebih lanjut mengenainya, jelas Sean, ketika kejadian, dia dan keluarga sedang leka menonton televisyen pada petang itu sebelum bekalan elektrik terputus dan keadaan sekitar menjadi gelap-gelita.

Pada masa sama juga Sean dapat mendengar jeritan kuat daripada jiran-jirannya.

Ternyata, bencana yang berlaku itu membuatkan kehidupan Sean sekeluarga menjadi huru-hara dan diumpamakan bagai berada di medan perang.

“Saya ingat sudah mahu kiamat.

“Rupa-rupanya hanya serangan Taufan Alicia. Walaupun terselamat, namun kami terpaksa menanggung kos kerosakan rumah yang mahal dan mengambil masa kira-kira dua tahun untuk memulihkannya,” cerita Sean lagi.

 

Taufan ganas

Semalam (Sabtu), genap usia 35 tahun Taufan Alicia menyerang Houston.

Biarpun bencana tersebut telah lama berlaku, namun ia masih segar dalam ingatan penduduk.

Lebih-lebih lagi bagi individu yang kehilangan keluarga tercinta dan mengalami kemusnahan kediaman paling teruk.

Menurut Datuk Bandar Houston, Kathy Whitmire, Taufan Alicia yang menyerang Houston pada tahun 1983 itu dipercayai bermula di Teluk Galveston sebelum menghala ke Houston.

“Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, warga Houston terkejut diserang taufan ganas kategori tiga dengan kelajuan a­ngin pada 185 sehingga 210 kilometer sejam.

“Ini merupakan taufan terburuk yang berlaku di Houston.

“Mana tidaknya, taufan tersebut turut menyebabkan amukan lebih 14 angin Tornado Woodward yang lain dalam masa satu hari sahaja.

“Biarpun ia berlaku kurang daripada dua jam, namun taufan tersebut meninggalkan kesan yang mendalam buat masyarakat setempat apabila kebanyakan kediaman musnah teruk,” jelasnya.

Jelas Whitmire lagi, berdasarkan laporan daripada pihak berkuasa tempatan, Alicia memusnahkan 2,000 rumah dan pangsapuri serta merosakkan lebih daripada 500,000 kediaman lain.

Lebih menyedihkan apabila seramai 6,000 orang terbunuh akibat serangan taufan tersebut.

 

Kawasan tenggelam

“Kejadian tersebut bukan sahaja menyebabkan rumah penduduk musnah teruk, malah, mereka terpaksa duduk dalam keadaan bergelap.

“Pada waktu itu, kira-kira 750,000 isi rumah terjejas akibat bekalan elektrik yang terputus selama 12 hari.

“Kesannya, hampir separuh daripada penduduk di Houston terpaksa hidup dalam keadaan gelap dan keadaan persekitaran kelihatan seperti mati pada waktu malam sepanjang tempoh tersebut,” jelasnya.

Menurut Whitmire lagi, Galveston Bay merupakan kawasan yang paling terjejas teruk dalam serangan Taufan Alicia ini.

Bukan hanya memusnahkan rumah, taufan itu turut menyebabkan Teluk Galveston ditenggelami air setinggi tiga meter.

Malah, Hotel Galveston’s Flagship juga terpaksa menanggung kerugian besar apabila seluruh premisnya musnah.

Biarpun begitu, hotel tersebut berjaya dibangunkan kembali dua tahun kemudian.

Menurut Whitmire lagi, hasil siasatan yang dilakukan mendapati, Taufan Alicia menyebabkan Houston mengalami kerugian bernilai lebih $2 bilion (RM8.2 billion).

Taufan ganas kategori tiga dengan kelajuan angin pada kadar 185 sehingga 210 kilometer sejam yang berlaku pada 18 Ogos 1983 menyebabkan penduduk terpaksa hidup dalam keadaan bergelap selama 12 hari selain menanggung kerugian besar akibat kemusnahan rumah.