Langkah kaki Khairun Md. Shah diatur penuh cermat melalui kawasan tanah tinggi itu sambil anak matanya meliar ke arah sebatang pokok.

Pergerakan Khairun terhenti seketika sebaik mendengar siulan burung. Dia mengambil masa seketika bagi menghayati dan mengesan arah bunyi tersebut datang.

Pemuda berkaca mata itu terus berpaling ke arah rimbunan pohon di belakangnya dan melihat kelibat seekor burung kecil berwarna merah sedang bertenggek di atas ranting kayu.

Lantas, Khairun mencapai teropong yang digantung pada lehernya bagi mengenal pasti spesies unggas tersebut dengan lebih jelas sebelum mencatatkannya dalam buku log.

Dia juga tidak melepaskan peluang membidik beberapa keping gambar menerusi kamera DSLR untuk disimpan sebagai kenangan dan koleksi peribadi.

“Burung kesumba gunung ini sangat rare (jarang) kerana sukar didapati di tempat lain. Ia adalah burung yang tinggal di kawasan tanah tinggi.

“Saya perlu menggunakan kesempatan ini untuk melihat tingkah lakunya dengan lebih jelas dan merakam gambar sebagai bukti,” katanya ketika ditemui K2 di Bukit Fraser baru-baru ini.

Khairun merupakan salah seorang daripada peserta Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser (PMBABF) 2019 yang berlangsung pada 22 hingga 23 Jun lalu.

Pertandingan yang memasuki penganjuran kali ke-32 itu dianjurkan bagi memperkenalkan aktiviti memerhati burung dalam kalangan masyarakat.

Pada masa sama, ia juga diharap dapat membantu mempromosikan Bukit Fraser sebagai lokasi terbaik memerhati burung di negara ini.

Mencintai alam

Khairun yang menetap di Sabak Bernam, Selangor berkata, PMBABF merupakan acara yang sangat dinanti-nantikan oleh pemerhati burung tegar di seluruh dunia.

Jelasnya, para peserta boleh melihat pelbagai spesies burung rare atau jarang ditemui memandangkan Bukit Fraser telah diwartakan sebagai kawasan perlindungan burung.

Antara spesies unggas yang terdapat di Bukit Fraser adalah daripada spesies burung hutan, gunung dan migrasi.

“Ini kali kelima saya menyertai PMBABF. Setiap tahun, saya dapati semakin banyak burung mendiami atau singgah di Bukit Fraser.

“Situasi ini membuatkan pemerhati burung dari seluruh dunia ternanti-nanti untuk menyertai pertandingan ini,” katanya yang mula berkecimpung dalam dunia memerhati burung sejak sedekad lalu.

Sepanjang pertandingan, para peserta perlu mencari seberapa banyak burung yang terdapat di sekitar Bukit Fraser sebelum mencatatkannya ke dalam buku log yang disediakan penganjur.

Pada tahun ini, Khairun memilih untuk menyertai pertandingan selama sehari itu bersama isteri dan dua orang anak serta rakan-rakan.

Menurutnya, matlamat menyertai pertandingan itu bukan mengejar kemenangan, sebaliknya untuk mendidik anak-anak mencintai dan menghargai alam sekitar.

Dia yang juga seorang pensyarah di sebuah politeknik di Selangor menambah, pertandingan itu turut memberi peluang kepadanya bertukar pengalaman dan informasi dengan peserta lain.

“Pada tahun ini, saya dapat menemui lebih 40 spesies burung sepanjang pertandingan berlangsung. Ia sudah cukup bagus bagi sebuah kumpulan yang agak baharu,” terangnya.

Kajian yang dilakukan oleh pakar mendapati, terdapat lebih 250 spesies burung direkodkan pernah berada di Bukit Fraser termasuk burung migrasi.

Antara jenis burung yang terdapat di Bukit Fraser ialah serai sultan, dendang mas, tukar api, kesumba gunung, belatuk jambul, kelicap gunung, sambar kecil gunung dan pepatuk gunung.

Sementara itu, Pengarah Promosi Pelancongan Pahang, Kamaruddin Ibrahim berkata, PMBABF diadakan bagi menarik pemerhati burung dari seluruh dunia datang ke Bukit Fraser.

Jelasnya, sepanjang pertandingan, para peserta boleh mengakses seluruh kawasan yang terkenal dengan jolokan Little England itu untuk melihat burung.

“Pertandingan ini telah dimulakan sejak 1988 lagi. Saya difahamkan PMBABF merupakan pertandingan melihat burung pertama di Asia Tenggara.

“Sebanyak 98 pasukan yang dianggotai tiga orang sepasukan telah menyertai PMBABF 2019 termasuk penyertaan dari 11 buah negara lain. Penyertaan seramai hampir 300 orang itu juga melibatkan 80 orang pelajar sekolah di seluruh negara,” katanya.

Menurut Kamaruddin, PMBABF merupakan pertandingan santai berkonsepkan explorace.

Jelasnya, setiap pasukan perlu mencari, mengenal dan mencatatkan seberapa banyak spesies burung di kawasan-kawasan yang ditetapkan oleh penganjur.

“Pasukan yang berjaya mencatatkan jumlah spesies paling banyak akan dinobatkan sebagai pemenang. Ia diadili oleh para pengadil berpengalaman,” katanya.

Tarikan

Salah seorang juri PMBABF 2019 yang juga penduduk tetap Bukit Fraser, K.S. Durai, 66, memberitahu, kawasan tersebut memiliki kesesuaian untuk didiami oleh pelbagai spesies burung.

Ujarnya, tarikan utama yang membuatkan burung-burung datang ke Bukit Fraser adalah disebabkan suhu yang stabil iaitu tidak terlalu sejuk atau panas.

“Suhu di sini adalah sekitar 24 darjah Celsius pada waktu siang dan malamnya adalah 18 darjah Celsius. Keadaan ini sangat sesuai untuk burung-burung mengawan.

“Kawasan ini juga menjadi tumpuan spesies burung migrasi seperti Japanese sparrowhawk, Siberian thrush dan Orange-headed thrush.

“Burung-burung ini mencari tempat terbaik untuk dihuni ketika musim panas di tempat asalnya,” ujar Durai.

Hutan-hutan yang terpelihara dan pembangunan minimum di Bukit Fraser turut menjadi penyumbang kepada kehadiran burung.

Durai yang memiliki pengalaman selama lebih tiga dekad sebagai pemandu pelancong di Bukit Fraser berkata, Silver-eared Mesia atau burung rimba telinga perak merupakan burung ikonik di kawasan tersebut. Gambar burung itu seperti yang tertera pada muka depan artikel ini.

Pelancong luar

Ujarnya, banyak pelawat dari luar negara berkunjung ke situ semata-mata untuk melihat dengan lebih dekat spesies burung hutan itu.

“Siapa sahaja yang datang ke sini pasti akan melihat burung rimba telinga putih ini. Populasinya agak banyak di Bukit Fraser,” katanya yang berkemahiran meniru siulan burung-burung.

Cerita Durai yang juga bapa kepada dua orang cahaya mata itu, waktu terbaik untuk memerhati burung adalah pada bulan September hingga Mac.

Dia memberitahu, dianggarkan 2,500 penggemar burung berkunjung ke Bukit Fraser pada setiap tahun.

“Rata-rata pemerhati burung datang dari luar negara seperti Hong Kong, Taiwan, Jepun, China, Filipina dan Eropah.

“Mereka ini datang semata-mata untuk melihat burung. Kawasan ini umpama syurga buat mereka,” katanya.

Jelas Durai, pemerhati burung sanggup datang dari jauh disebabkan burung-burung yang terdapat di Bukit Fraser memiliki warna-warna menarik.

Dia menambah, tingkah laku burung di kawasan bekas perlombongan bijih timah itu juga berbeza dengan di tempat-tempat lain.

“Misalnya, burung jenis Malaysian Hill Partridge yang tinggal di Bukit Fraser didapati lebih jinak.

“Kalau di Taman Negara Pahang, burung ini akan lari apabila terdapat orang berada di sekitarnya,” ulasnya.

Pertandingan Mengenal Burung Antarabangsa Bukit Fraser sentiasa menjadi tumpuan pemerhati burung dari dalam dan luar negara ke tanah tinggi di negeri Pahang itu.