Pada tanggal 9 Januari 1768 iaitu kira-kira 232 tahun yang lalu, Astley yang merupakan seorang bekas ketua pasukan tentera berkuda telah memperkenalkan pertunjukan sarkas moden pertama dengan cara menunggang kuda sambil melakukan aksi lagak ngeri yang tidak pernah ditonton oleh orang ramai.

Persembahan seper­ti akrobatik, badut dan pertunjukan haiwan sebelum itu telah banyak menghiburkan penonton ketika belum wujudnya kumpulan-kumpulan sarkas se­perti hari ini.

Pada ketika itu juga, belum wujud lagi istilah sarkas yang merujuk kepada kumpulan penghibur terdiri daripada akrobat, badut serta binatang terlatih yang membuat persembahan aksi menghiburkan.

Persembahan baharu

Di dalam persembahan tersebut, Astley telah menjemput orang ramai pergi ke sebuah pertunjukan di kota London untuk memperlihatkan dia melakukan pelbagai aksi berkuda termasuk melompat melepasi lingkaran gelung sambil menunggang kuda.

Terdahulu, bagi memantapkan kemahirannya dalam aksi menunggang kuda, Astley telah mempelajarinya daripada seorang jurulatih menunggang kuda terkenal bernama Dominic Angelo. Astley telah dilatih dalam beberapa siri persembahan baharu melalui aksi tunggang kuda.

Ternyata, persembahan baharu yang diperkenalkan buat kali pertama itu te­lah menarik minat orang ramai sehingga Astley terpaksa mengupah dan mengajar ahli ekuestrian, badut dan pemuzik melakukan lebih banyak aksi yang le­bih menarik sebelum dia membuka sebuah sekolah mengajar aksi berkuda bernama Astley’s Amphitheatre pada tahun 1773.

Perkataan sarkas telah diperkenalkan selepas mengambil salah satu persembahan Astley yang menunggang kuda melepasi gelung (circle) dengan diameter sebesar 12 meter dan akhirnya disebut sebagai circus (sarkas).

Pada tahun 1782, seorang pesaing di London telah membuka sebuah pusat hiburan bertentangan dengan Astley’s Amphitheatre dan menamakan kedainya sebagai Royal Circus.

Pada abad ke-19, istilah sarkas telah diterima pakai sebagai sebuah nama khas yang merujuk pada bentuk hiburan baharu dan akhirnya Astley telah membuka 18 buah kumpulan sarkas di beberapa buah bandar seluruh Eropah.

Ternyata, melihat kepada persembahan sarkas pada hari ini, ia masih mengekalkan cara persembahan sama yang telah diperkenalkan oleh Astley sejak lebih 200 tahun lalu.

Idea Astley dalam memberikan persembahan berbeza telah membawa satu dimensi baharu dalam pertunjukan sarkas yang sebelum ini cuma terkenal dengan aksi lawak melalui watak badut yang diperkenalkan di Itali pada abad ke-16 sebelum dibawa masuk ke Eropah oleh pelakon, pelawak dan penari ter­kenal, Joseph Grimaldi.

Bagaimanapun, persembahan lawak jenaka oleh badut tersebut gagal menarik perhatian Astley ketika menyaksikan satu pertunjukan di Waterloo, London pada tahun 1768.

“Dia sebenarnya mempunyai impian besar untuk membuka sebuah pusat latihan menunggang kuda dan membuat persembahan menakjubkan di hadapan penonton,” ujar Andrew Van Buren, seorang penghibur pertunjukan silap mata popular pada hari ini.

Pelopor

Menurut Buren, Astley telah membawa perubahan besar dalam persembahan menunggang kuda sambil diiringi dengan paluan dram yang dimainkan sendiri oleh isterinya, Patty.

Malah, persembahannya menunggang kuda dan melepasi gelung besi te­lah menjadi ikutan dan dipersembahkan sehingga ke hari ini.

“Tidak salah jika saya katakan bahawa Astley mempunyai pengaruh yang sama seperti penyair popular, William Shakespeare,” kata Buren.

Menurut Buren, dia begitu mengagumi Astley sebagai seorang pelopor dalam persembahan sarkas moden memandangkan bapanya, Fred Van Buren juga turut berkecimpung sebagai penghibur sarkas di Sandbach, Cheshire, England ketika muda.

“Walaupun bapa saya cuma seorang penghibur yang memegang peranan sebagai badut, tetapi dia juga tetap pergi ke sekolah dan mendapat tahu tentang kehebatan Astley melalui buku yang bercerita tentang kisahnya,” jelas Buren.