Walaupun Halila seperti berat hati untuk ke hospital pada pagi itu, kedua-dua penghuni kota Jakarta tersebut sepakat untuk tetap keluar demi kesihatan bakal cahaya mata pasangan tersebut.

Menurut Iwan, ketika dalam perjalanan, dia yang menunggang motosikal perlu melalui Jalan Rasuna Said di Jakarta Selatan iaitu di hadapan Kedutaan Besar Australia.

“Tiba-tiba, terdengar bunyi le­tupan yang amat kuat menyebabkan kami tercampak dan mata kanan saya berasa teramat sakit yang tidak dapat digambarkan.

“Halila pula terbaring dan dalam kekaburan akibat kecede­raan mata serta debu tebal itu, saya menghidupkan kembali enjin motosikal, mengangkat Halila ke atas motosikal menuju ke hospital, namun saya gagal,” katanya.

Iwan menambah, walaupun berupaya menunggang motosikal dalam keadaan yang amat sakit, dia gagal untuk mengawal kende­raan itu kerana tidak berupaya mengimbanginya walaupun menggunakan dua tangan.

Katanya, ketika itu mujur datang dua insan yang tampil membantu membawa dia dan isteri­nya ke hospital secara berasingan di kala semua orang sibuk lari menyelamatkan diri masing-masing. Mereka akhirnya kembali dipertemukan di hospital.

Katanya, Halila selamat melahirkan anak sulung mereka sehari selepas kejadian walaupun kan­dungan hanya berusia lapan bulan kerana doktor bimbang dengan kecederaan belakang wanita itu.

Serpihan logam

Halila bagaimanapun meninggal dunia dua tahun selepas keja­dian kerana mengalami jangkitan pada tulang pinggul dan seluruh bahagian itu kerana terdapat logam serta serpihan bom lain tertanam di dalam pinggulnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Indonesia, Da’i Bachtiar berkata, tiada seorang pun rakyat Austra­lia yang terbunuh dalam serangan kira-kira pukul 10.30 pagi itu walaupun ia dipercayai ditujukan kepada kepentingan Australia.

Seramai 11 orang yang terbunuh kesemuanya merupakan rakyat Indonesia termasuk seorang pe­ngawal di Kedutaan Australia, empat anggota polis Indonesia dan enam orang awam.

Berpuluh-puluh kakitangan Kedutaan Australia pula dikatakan hanya mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan kaca akibat letupan bom tersebut.

“Siasatan awal menunjukkan ia merupakan serangan bom yang diletakkan di dalam sebuah ken­deraan,” kata Da’i.

Jelasnya lagi, modus operandi serangan tersebut sama seperti serangan yang dilancarkan oleh pergerakan Jemaah Islamiah (JI) sebelum ini di dua buah kelab malam di Kuta, Bali pada 12 Oktober 2002 serta serangan berani mati di Hotel J.W. Marriott, Jakarta pada 5 Ogos 2003.

“Kami percaya serangan itu dilakukan oleh kumpulan yang dianggotai oleh pakar bom warga Malaysia, Dr. Azahari Husin dan rakannya, Noordin Mohamad Top,” kata Da’i.

Sementara itu, sebahagian pagar besi yang dibina tinggi di kedutaan itu turut rosak, manakala tingkap-tingkap di sekurang-kurangnya 10 buah bangunan tinggi berhampiran pecah akibat gegaran kuat letupan tersebut.

Pengebom berani mati

Pengeboman itu dipercayai dilakukan oleh seorang pengebom berani mati bernama Heri Kurnia­wan atau juga dikenali sebagai Heri Golun dengan menggunakan sebuah lori satu tan jenis Daihatsu.

Pada 5 November 2004, polis menahan Iwan Darmawan Mutho atau Rois serta Achmad Hasan yang disyaki terlibat dalam serangan bom ke atas Kedutaan Australia itu.

Rois dikatakan merekrut dan melatih Heri Kurniawan yang merupakan pemandu lori terbabit.

Achmad pula merancang se­rangan berkenaan, mengendalikan bahan letupan dan melindungi dua perancang serangan terbabit iaitu Azahari dan Noordin.

Pada hari kejadian, Achmad dikatakan memandu trak berisi bahan letupan itu ke sebuah lokasi berdekatan kedutaan berkenaan sebelum dipandu Heri Kurniawan.

Pada 13 September 2005, Rois dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Jakarta Selatan, manakala Achmad dijatuhi hukuman sama sehari selepas itu.