Pada tahun 2011 sewaktu berada di kampung untuk menyambut perayaan tersebut, bapanya ada bertanya kepada Fadhullah sama ada dia turut sama melakukan ibadah korban pada tahun itu atau tidak.

“Apabila diajukan dengan soalan sedemikian, terdetik di hati saya untuk bersama melakukan ibadah tersebut. Saya cuba bertanya kepada ayah adakah masih ada kekosongan bahagian untuk turut serta dalam ibadah ini.

“Malangnya kesemua bahagian telah ditempah orang lain sejak awal lagi. Pada waktu itu, saya mula terfikirkan syarikat yang menawarkan perkhidmatan akikah dan korban di luar negara, EZ Qurban Sdn. Bhd. (EZ Qurban) yang setahu saya masih boleh menerima tempahan di saat-saat akhir. Saya pernah gunakan khidmat akikahnya sebelum ini,” katanya kepada K2 ketika dihubungi baru-baru ini.

Tambahnya, menerusi syarikat tersebut, dia akhirnya dapat menyertai ibadah korban pada tahun itu.

Fadhullah menjelaskan, walaupun bahagian korban yang disertainya itu diagihkan kepada masyarakat di luar negara, dia tetap berpuas hati kerana boleh bersama-sama melaksanakan ibadah yang amat digalakkan kepada umat Islam itu.

Kini setiap tahun Fadhullah tidak melepaskan peluang untuk menyertai ibadah korban bersama EZ Qurban.

“Proses untuk melaksanakannya juga amat mudah dan boleh dilakukan secara atas talian,” kata bapa kepada empat cahaya mata itu.

EZ Qurban merupakan sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan perlaksanaan ibadah korban dan akikah serta perkhidmatan sampingan yang lain seperti fidyah, derma dan wakaf.

Syarikat tersebut menyediakan kemudahan kepada umat Islam di Malaysia khususnya dan seluruh dunia amnya dalam pelaksanaan ibadah akikah dan korban agar lebih mudah dan cepat.

Pada tahun 2016, EZ Qurban telah mencatat sejarah apabila tersenarai dalam Malaysia Book of Records setelah mencapai penyertaan ibadah korban terbesar iaitu seramai 34,190 peserta.

Bermula di Kemboja

Pengurus EZ Qurban, Hafezz Firdaus Toharudin berkata, syarikat tersebut ditubuhkan pada tahun 2007 oleh Ustaz Azhar Ab. Shukur.

Jelasnya, pada waktu itu Ustaz Azhar menjawat jawatan sebagai pembantu mufti di Kemboja.

“Melihat kepada keadaan di Kemboja pada ketika itu terutamanya umat Islam yang hidup dalam keadaan serba kekurangan, beliau merasakan ada suatu ruang untuk membantu melalui pelaksanaan ibadah akikah dan korban di negara itu.

“Idea yang tercetus itu kemudiannya dilaksanakan dengan hanya beberapa ekor lembu sahaja disembelih untuk ibadah korban pada tahun tersebut,” jelasnya.

Jumlah lembu yang dikorbankan oleh EZ Qurban bertambah pada tahun-tahun berikutnya berikutan ramai pelanggan yang mendaftar dengan syarikat tersebut.

Pada tahun lalu sahaja sebanyak 6,750 ekor lembu telah disembelih bagi tujuan ibadah korban.

Hafeez menjelaskan, EZ Qurban melaksanakan ibadah korban di luar negara sahaja.

Tegasnya, sehingga kini ibadah korban itu telah dilaksanakan di 32 buah negara meliputi benua Asia dan juga Afrika.

“Antara negara yang menjadi destinasi ibadah korban yang kami laksanakan termasuklah negara-negara di Asia Tenggara kecuali Brunei dan Singapura. Selain itu ibadah ini juga kami laksanakan di negara seperti India dan Bangladesh.

“Selain itu, negara-negara Afrika seperti Somalia, Kenya, Tanzania dan Chad,” katanya.

Tambahnya, ibadah itu dilakukan bagi membantu masyarakat Islam di luar negara yang hidup dalam serba kekurangan untuk bersama merasai kemeriahan sambutan ibadah korban.

Dalam pada itu, Hafeez menjelaskan, tidak dapat dinafikan ibadah korban terbaik adalah dilakukan di negara sendiri.

Namun tidak semua rakyat di negara ini berpeluang melaksanakan ibadah tersebut disebabkan penyertaan dalam ibadah tersebut dalam negara juga boleh dikatakan tinggi.

Alternatif

Atas sebab itu, EZ Qurban memberi alternatif kepada rakyat negara ini untuk bersama melaksanakan ibadah korban pada harga mampu milik di luar negara.

“Dengan harga serendah RM290 untuk satu bahagian, masyarakat di negara ini boleh bersama menunaikan ibadah ini.

“Bagi mereka yang berkemampuan, tidak menjadi masalah untuk melakukan ibadah tersebut di negara ini,” katanya.

Tambahnya, sewaktu pendaftaran peserta akan membaca satu akad yang akan menjadikan EZ Qurban sebagai wakil mereka untuk menunaikan ibadah tersebut.

EZ Qurban juga akan menghantar dua wakil ke semua lokasi ibadah korban bagi membolehkan ia berjalan dengan lancar.

Dalam pada itu, Hafeez menjelaskan, melaksanakan ibadah korban di luar negara bukanlah sesuatu perkara yang mudah.

Bagi memudahkan urusan, mereka bekerjasama dengan badan bukan kerajaan tempatan serta majlis agama Islam sesebuah negara bagi memudahkan urusan itu dilaksanakan.

“Sebagai contoh, di negara Chad kami bekerjasama dengan majlis agama Islam negara itu bagi memudahkan urusan.

“Melalui kerjasama seperti ini, mereka akan menyediakan lembu yang hendak dikorbankan mengikut jumlah yang kami minta untuk perlaksanaan ibadah ini. Selain itu, mereka juga akan mencari lokasi-lokasi yang sesuai untuk kami pergi menunaikan ibadah korban di sana,” katanya.

Tegasnya, antara lokasi ibadah korban yang mereka pergi termasuklah di kem-kem pelarian seperti di Bangladesh, Somalia dan Kenya.

Hafeez menjelaskan, dia sendiri pernah melalui perjalanan selama 11 jam untuk menuju ke kem pelarian Dadaab di Kenya bagi melaksanakan ibadah korban di kem pelarian tersebut seterusnya mengagihkan daging-daging kepada pelarian-pelarian.

“Sepanjang perjalanan urusan kami dipermudahkan oleh Allah dan semuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

“Ketika berada di sana air mata saya sendiri mengalir apabila melihat senyuman mangsa-mangsa pelarian apabila menerima daging korban ini,” katanya.

Dalam pada itu, bagi membolehkan pelanggannya menyertai ibadah korban pada saat-saat akhir, EZ Qurban membuka pendaftaran sehingga hari raya kedua iaitu pada 11 Zulhijjah.