Pelanggaran secara tidak sengaja itu menghadirkan rasa kurang senang kepada pelanggan pasar raya berkenaan kerana mengganggu pergerakannya.

Memburukkan lagi keadaan, anaknya, Fatihihah Zulkarnain, 10, berlalu begitu sahaja tanpa rasa bersalah atau memohon maaf.

Insiden itu menyedarkan Jessamine bahawa anaknya masih mempunyai banyak kekurangan dalam aspek etika dan adab bersosial.

Menyedari hakikat itu, dia terpanggil untuk menghantar Fatihihah ke kelas Youth Etiquette School (YES) di Ampang, Selangor.

YES merupakan sebuah kelas yang memberi pengajaran khusus bagi melatih kanak-kanak mengenai etika dan adab bersosial sama ada di dalam mahupun luar rumah.

“Saya menghantar anak ke kelas YES ini kerana berasakan masih banyak etika dan adab yang perlu diketahui.

“Saya sentiasa percaya etika yang baik mencerminkan ketinggian budi bahasa seseorang terhadap objek di sekeliling mereka,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, perwatakan Fatihihah berubah secara total selepas menghadiri kelas YES.

Fatihihah berubah daripada seorang kanak-kanak pemalu kepada seorang yang lebih berkeyakinan tinggi dan berbudi bahasa.

Tiga manfaat

Perubahan itu dapat dilihat apabila dia sudah pandai mengetuk pintu jika ingin masuk ke bilik orang lain.

“Meskipun kelas ini hanya sehari, saya dapat melihat perubahan yang ketara pada diri Fatihihah.

“Anak saya juga sudah pandai berdikari dan menjaga keterampilan diri apabila berada di luar rumah,” katanya yang berkhidmat sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur.

Kelas YES yang pertama kali diadakan pada Mei lalu disertai seramai 15 orang kanak-kanak berusia antara tujuh hingga 12 tahun.

Salah seorang tenaga pengajar YES, Mastura Mansur berkata, kelas berkenaan menawarkan tiga manfaat utama iaitu kemahiran berkomunikasi, dandanan serta adab dan etika.

Katanya, ketiga-tiga aspek itu diajar bagi membentuk generasi muda yang lebih bersopan dan beradab dalam pelbagai situasi.

“Adab dan etika kepada kanak-kanak sangat penting untuk dipupuk. Etika yang baik dan sesuai mampu meningkatkan keyakinan serta memberi kejayaan kepada kanak-kanak.

“Kami menawarkan pembelajaran etika kepada kanak-kanak dan membina keyakinan yang diperlukan bagi memastikan kejayaan dalam kehidupan mereka,” katanya yang juga Penolong Pengetua YES.

Dalam aspek komunikasi, YES mengajar kanak-kanak teknik berbual, tidak mencelah dan etika dalam media sosial.

Bagi pengajaran dandanan, mereka diajar supaya menjaga kebersihan diri, memilih pakaian bersesuaian dan tanggapan pertama.

“Kami sedar ramai kanak-kanak tidak pandai menguruskan diri mereka sendiri dan hanya bergantung kepada ibu bapa.

“Di sini, kami akan mendedahkan beberapa perkara asas mengenai penjagaan diri seperti sikat rambut, mengetip kuku dan sabun ketika mandi,” jelasnya.

YES turut menekankan aspek adab dan sopan menerusi pembelajaran bahasa tubuh, membina rakan baharu serta protokol sewaktu di meja makan.

“Semua topik ini diajar secara santai supaya pembelajaran menjadi lebih menarik dan mudah diingati.

“Kami juga menggalakkan kanak-kanak ini memberi pandangan dalam kelas bagi meningkatkan keyakinan diri,” jelasnya sambil memberitahu, YES mempunyai lima orang tenaga pengajar terlatih.

Pengetua YES, Mary Anni Masarip memaklumkan, idea mewujudkan kelas tersebut tercetus sejak dua tahun lalu selepas mendapat permintaan daripada para pengikut laman sosial.

Jelasnya, rata-rata pengguna laman sosial ingin mengetahui cara dia menerapkan etika dan adab kepada anaknya, Muhammad Arsyad Nadzrun, 10.

“Saya selalu memuat naik video mengenai tingkah laku anak-anak dalam laman sosial. Ramai pengikut saya terpegun melihat adab dan tutur kata Muhammad Arsyad.

“Daripada situ timbul idea untuk mewujudkan kelas ini, sekali gus mendidik kanak-kanak lain supaya lebih beradab dan beretika,” katanya.

Tambahnya, etika dan adab harus diterapkan secara halus kepada kanak-kanak serta tidak perlu terlalu memaksa mereka.

Selain itu, ibu bapa juga perlu menunjukkan contoh etika yang baik kepada anak-anak mereka.

“Kanak-kanak ini suka mengikut perbuatan kita, jadi kalau kita selalu beradab dengan orang lain, anak-anak juga akan mengikutnya,” jelasnya.

Mary Anni yang juga seorang perunding imej memaklumkan, YES diadakan pada waktu-waktu tertentu sahaja terutamanya ketika cuti sekolah.

Katanya, buat masa ini pihaknya hanya mengadakan kelas selama sehari dan tidak menolak kemungkinan untuk memanjangkan tempoh sehingga tiga atau empat hari.

Sambutan

“Kami masih dalam peringkat permulaan bagi melihat sambutan daripada masyarakat. Ternyata, ia mendapat sambutan menggalakkan,” katanya.

Tegasnya, sambutan yang menggalakkan itu didorong oleh masalah ibu bapa yang mengalami kesukaran untuk menerapkan etika kepada anak-anak mereka.

Mary Anni menambah, kemahiran itu tidak ada dalam subjek pelajaran atau diajar oleh guru di sekolah.

“YES berbeza sama sekali dengan kelas-kelas lain yang ada di luar sana. Kami hanya memberi penekanan kepada aspek etika dan adab secara keseluruhannya.

“Etika ini penting dalam membentuk generasi muda yang lebih beradab dan berbudi bahasa tinggi dalam apa jua situasi,” tuturnya.

Etika dan adab yang baik perlu didik sejak kecil untuk menghadapi dunia yang semakin mencabar pada masa hadapan.