Setelah menyusun bahan-bahan tersebut ke dalam sebuah pinggan besar, ‘menu’ tersebut disimpan di dalam peti sejuk.

Ia akan dikeluarkan kira-kira pukul 10 malam dan ditabur hirisan ikan salmon, rumpai laut, perahan jus lemon dan sos sebagai hidangan penutup jamuan makan Tahun Baru Cina yang dimeriahkan kira-kira 30 orang ahli keluarga termasuk saudara-mara.

“Itulah resipi yee sang olahan saya sendiri. Sebelum ini kami beli di restoran tetapi rasanya tidak begitu memuaskan dan harganya pula mahal,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Anak kelahiran Kuching, Sarawak berdarah campuran Cina dan Melayu itu bercerita, momen seperti Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri begitu bermakna dan menjadi medan perhimpunan keluarga.

“Biasanya, rumah ibu bapa saya akan menjadi tempat berkumpul saban tahun dan suasana perayaan ibarat kenduri dan menjadi detik yang ditunggu-tunggu. Maklumlah kami agak sukar bertemu pada hari biasa,” ujarnya yang bekerja di Pulau Pinang.

Bagi masyarakat Cina, yee sang ataupun yusheng merupakan menu wajib setiap kali meraikan sambutan Tahun Baru Cina. Ia dianggap sebagai simbol penyatuan dan lambang kemurahan rezeki yang akan diperoleh sepanjang tahun tersebut.

Dalam bahasa Kantonis, yee bermaksud ikan dan ia juga bermaksud mudah (senang) dan sang pula bermaksud hidup. Maka, yee sang diterjemahkan sebagai ikan mentah atau senang hidup. Ia menjadi konotasi untuk kemewahan, kemakmuran dan kesuburan.

Yee sang boleh dikatakan sebagai sajian yang dinamik. Ada ketikanya, ia turut dicampur makanan laut mewah seperti udang kara dan abalon atau menggunakan ramuan yang tergolong dalam kategori vegetarian.

Tambah keju

Timbalan Presiden Persatuan Cef Profesional Malaysia, Cef Pele Kuah berkata, yee sang biasanya terdiri daripada potongan daging ikan mentah seperti salmon yang turut dicampur dengan hirisan sayur, aneka sos dan perasa dan ramuan lain.

Pada program tersebut, beliau memperkenalkan hidangan yee sang yang dinamakan Cheese-Sang. Ia merupakan kombinasi keju parmesan ditambah rasa masam manis, pelbagai jenis sayur jeruk, lobak manis, buah pir Korea, sengkuang, ketumbar selain hirisan ikan salmon segar.

“Lebih istimewa, keju itu diparut seterusnya dibakar dalam ketuhar gelombang mikro selama dua setengah minit. Keju akan mencair dan membentuk kepingan jaringan keras serta rangup.

“Yee sang juga tidak lengkap tanpa taburan bijan, sos plum, perahan lemon dan sedikit limau nipis yang diparut sekali dengan kulitnya,” katanya pada sesi bual meja bulat Trend Makanan dan Inovasi 2018 anjuran syarikat tenusu berpangkalan di New Zealand, Fonterra Brands Malaysia di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Katanya, kecenderungan mengubah suai menu menjadikan sesuatu juadah lebih enak. Sebagai contoh, lahirnya makanan baharu yang unik dan popular seperti cronut iaitu gabungan croissant dan donat.

Sementara itu, Pengarah Perkhidmatan Makanan, Fonterra Brands Malaysia, Linda Tan berkata, trend makanan tahun 2018 menyaksikan populariti makanan premium, bersumber bahan semula jadi, sihat, mudah digunakan dan inovasi menu ke arah yang lebih baik.

“Kami juga melihat peningkatan generasi yang menghargai makanan bukan hanya untuk rasa dan nilai pemakanannya, tetapi juga untuk daya tarikan visualnya dalam media sosial ini.

“Justeru, kami sentiasa berusaha bergerak seiring memanfaatkan peluang tersebut dalam membangunkan inovasi baharu dalam segmen produk tenusu kami,” tuturnya.