Tumbuhan epifit yang kebanyakannya terdiri daripada jenis vanda itu ditanam berderet-deret mengelilingi kediamannya sehingga membentuk pagar. Ada juga yang digantung di dalam pasu-pasu pelbagai jenis dan saiz.

“Setiap kali dikelilingi orkid-orkid ini, hati saya terasa tenang dan damai. Apatah lagi jika melihat ia mengeluarkan bunga yang kembang mekar dan berwarna-warni. Ia bukan untuk dijual tetapi lebih kepada kepuasan peribadi.

“Orkid vanda contohnya terdapat dalam warna-warna terang seperti biru, ungu, oren dan kuning. Biasanya, terdapat lapan hingga 10 bunga yang muncul dari pangkal daun dan kekal selama beberapa minggu.

“Menjaganya juga bukan tugas mudah. Ada ketikanya, ia perlu disiram, diletak baja dan dibuang bahagian yang rosak. Keperluan penjagaan pula tidak semestinya sama untuk setiap jenis pokok.

“Pernah pokok orkid yang ditanam tidak mengeluarkan bunga walaupun setelah enam tahun.

“Selalu juga tanaman orkid saya diserang haiwan perosak seperti belalang, ulat dan siput,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! pada Pameran Orkid dan Bonsai Kuala Lumpur (KLOBS) 2017 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Taman Pudu Ulu, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ibu kepada enam cahaya mata itu bercerita, dek kerana minat yang begitu mendalam, dia kadangkala tidak dapat menahan diri daripada membeli koleksi orkid baharu secara online di samping mendapatkannya dari nurseri landskap atau ekspo jualan.

Begitupun, antara masalah yang biasa dihadapi ialah pokok dipesan lambat tiba, sekali gus menyebabkan batang dan daun tumbuhan itu kecut serta bunga menjadi layu.

“Sebab itu saya tidak melepaskan peluang untuk mengunjungi KLBOS. Kami sekeluarga jarang melepaskan peluang mengunjungi ekspo sebegini. Pokok-pokoknya segar. Harganya lebih murah dan ada banyak pilihan.

“Sebagai contoh, harga satu pokok orkid paling murah di sini hanya RM5 berbanding saiz dan rupa pokok yang sama boleh mencecah sehingga RM15 jika dibeli di luar,” tuturnya.

Lain pula kisahnya dengan pasangan suami isteri yang berasal dari Kuala Ketil, Kedah Ghazali Ahmad, 54, dan Faridah Hussin, 54.

Kedua-dua mereka bekerja di ibu kota, namun gigih mengusahakan kebun sendiri di kampung halaman apabila pulang bercuti.

“Saya berasa teruja untuk memborong sebanyak mungkin anak pokok buah-buahan yang turut dijual di KLBOS. Daripada membiarkan tanah di kampung menjadi semak samun, lebih baik ditanam pokok buah-buahan.

“Aktiviti itu sedikit sebanyak membantu kita menjadi sentiasa peka dan memanfaatkan masa terluang dengan aktiviti yang berfaedah serta menyihatkan,” ujarnya yang membeli anak pokok petai hibrid dan anak pokok durian Monthong.

Tambahnya, agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) turut membuka gerai jualan pada KLBOS.

“Pengunjung boleh mendapatkan khidmat nasihat terutamanya dalam aspek penanaman dan penjagaan pokok. Menanam pokok tidak kira pokok hiasan atau buah-buahan memerlukan ketekunan dan kesabaran sementelah hasilnya tidak akan diperoleh dalam masa yang singkat,” katanya.

Pusat sehenti

Sementara itu, pelajar tahun akhir Kejuruteraan Landskap Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nabila Mohd. berkata, dia dan rakannya sanggup datang selama dua hari berturut-turut untuk menambah pengetahuan dalam bidang yang dipelajari.

“Secara peribadi, saya meminati tumbuh-tumbuhan dan turut mempunyai koleksi pokok hiasan dalam saiz kecil yang sesuai hidup di dalam bilik. Rutin penjagaannya saya anggap sebagai terapi untuk lebih berdisiplin, sekali gus menghargai ciptaan Ilahi itu.

“Selain itu, KLBOS bertindak seperti pusat sehenti dan menjadi platform strategik untuk mendapatkan perkembangan semasa bidang landskap. Sebagai contoh, spesies tumbuhan udara menjadi trend yang kian diminati kerana ia tidak memerlukan tanah dan sesuai untuk komuniti urban.

“Justeru, pameran ini memberi nilai tambah kepada pelajar seperti kami dalam memahami kegunaan pokok dan bagaimana menyesuaikan diri dengan persekitaran, sekali gus memenuhi objektif penanamannya,” ujarnya.

Kira-kira 500 spesies orkid dan 300 jenis bonsai dipamerkan pada KLBOS 2017 yang akan berlangsung sehingga 10 Disember ini bermula pukul 9 pagi hingga 10 malam. Masuk adalah percuma.

Pameran orkid turut melibatkan 15 negara dari Asia Tenggara dan Asia termasuk 23 peserta menyertai pertandingan mewakili negara seperti Malaysia, Brunei, Indonesia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, China, Hong Kong, India, Macau, Jepun dan Taiwan.

Bagi pameran bonsai pula, DBKL bekerjasama dengan Duta Kelab Bonsai Antarabangsa untuk mempamerkan 300 pokok bonsai yang terdiri daripada tujuh spesies pokok tempatan serta luar negara untuk dipertandingkan.

Bengkel

Presiden Persatuan Seniman Bonsai Malaysia, Mohd. Bohori Che Makhtar berkata, antara spesies pokok yang dipertandingkan ialah wrightia religiosa, juniperus, ficus, pokok pulau, cucur atap, anek, penjing dan mini.

Beliau berkata, selain itu pihaknya turut mengadakan bengkel untuk memberi peluang kepada pengunjung yang berminat mempelajari kaedah menanam pokok bonsai.

Menurutnya, meskipun pokok bonsai sering dikaitkan dengan pokok hiasan bernilai tinggi, ia sebenarnya mampu dihasilkan menggunakan bahan asas yang boleh didapati secara percuma menggunakan pokok tempatan sedia ada.

“Sebagai contoh, baka tempatan seperti pokok cucur atap banyak terdapat Terengganu. Ia tumbuh subur dan mudah ditemui di tepi-tepi jalan. Sebagai permulaan, kita boleh ambil batang pokok sekali dengan akarnya, bergantung kepada saiz yang dikehendaki.

“Paling penting, cara penjagaan dan teknik membentukkan pokok bonsai perlu dipelajari. Dalam hal ini, faktor mahal atau murah bonsai turut bergantung kepada siapa yang membuatnya, usia selain keadaan fizikal pokok.

“Pendek kata, hobi menanam bonsai juga boleh membantu menambah pendapatan asalkan mempunyai minat dan kesabaran yang tinggi untuk mengusahakannya,” ujarnya.

Pameran Orkid dan Bonsai Kuala Lumpur 2017 menjadi tarikan kepada peminat aktiviti berkebun sama ada sebagai hobi mahupun menambah sumber pendapatan.