Apabila ke klinik, dia diberi ubat saraf dan cuti sakit sebelum kembali bekerja pada keesokan harinya. Namun, kejadian yang berlaku pada tahun 2015 itu tidak berakhir begitu sahaja.

Empat bulan kemudian, episod kejang kaki itu berulang kembali. Kali ini Nurul pergi ke sebuah hospital swasta dan pakar tulang menyangka ia kemungkinan berlaku disebabkan masalah cakera tergelincir atau slipped disc.

Nurul kemudiannya melakukan ujian pengimejan resonans magnetik (MRI) dan X-ray di sebuah hospital lain dan kedua-dua prosedur tersebut mengesahkan tulangnya normal.

Setelah itu, dia dirujuk pula kepada pakar saraf dan doktor mengesahkan ia merupakan fibromyalgia. Akibat penyakit tersebut dia yang bekerja dalam bidang industri kreatif pernah bercuti sakit selama empat bulan dengan proses pemulihan memakan waktu sekitar setahun.

Dalam tempoh tersebut anak kedua dari empat beradik itu terpaksa bergantung kepada ubat-ubatan. Baginya kesakitan yang dialami sukar diungkap dengan kata-kata. Ada ketika dia berasa tubuhnya seperti diperah kuat.

“Saya teringat sebelum mengetahui ia adalah penyakit fibromyalgia kedua-dua belah tangan saya menjadi kejang secara tiba-tiba ketika saya sedang menaip di komputer pejabat.

“Ketika itu saya tidak mampu berbuat apa-apa. Memikirkan masih banyak kerja yang belum selesai saya hampir menangis. Beberapa minit kemudian saya hanya mampu menggerakkan beberapa jari untuk menyambung tugas tersebut.

“Rutin pekerjaan memerlukan saya berfikir dan melakukan tugas dengan pantas. Apabila saya mengadu kepada rakan mereka sukar memahami kerana kesakitan yang dialami tidak dapat dilihat dengan mata kasar,” kongsi gadis dari Taman Melawati, Kuala Lumpur itu kepada Kosmo! baru-baru ini.

Meskipun hampir tiga tahun sudah berlalu, Nurul merasakan penyakit itu masih ada di dalam dirinya. Ia bagaikan memberi signal dengan rasa seperti mencucuk jika dia berada dalam tekanan atau memaksa diri melakukan sesuatu perkara yang membebankan tubuh dan pemikirannya.

Simptom psikiatri

Pensyarah Kanan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia yang juga Pakar Perubatan Dalaman, Dr. Rahman Omar menjelaskan, fibromyalgia ialah keadaan kesakitan tulang dan otot di seluruh tubuh.

Ia turut hadir bersama-sama keletihan, kurang daya tumpuan menyebabkan pesakit tidak dapat berfungsi dengan baik dan simptom-simptom psikiatri seperti kemurungan. Begitupun, fibromyalgia bukanlah penyakit mental.

Dalam hal ini fibromyalgia merupakan situasi kronik yang berlaku pada fisiologi dasar manusia. Begitupun, punca dan bagaimana ia terjadi masih belum dapat dijelaskan secara saintifik.

Begitupun, terdapat pelbagai faktor yang boleh mencetuskan penyakit itu antaranya ialah stres fizikal, stres psikologi, perubahan suhu serta cuaca, perubahan hormon, perubahan rutin secara mendadak, diet tidak seimbang, kurang rehat dan tidur.

“Selain itu pesakit juga lazimnya merasakan kekejangan anggota pada waktu pagi selain masalah kognitif seperti mudah lupa, tidak boleh memberi tumpuan terhadap sesuatu perkara atau tugasan selain gangguan emosi dan tidur.

“Secara teori penyakit ini tidak boleh menyebabkan kematian tetapi boleh meningkatkan risiko bunuh diri dan juga menyebabkan kualiti hidup menurun kerana rasa sakit itu tidak boleh dikawal dan sentiasa ada sehingga menjejaskan aspek psikologikal seseorang,” ujarnya.

Katanya, diagnosis fibromyalgia tidak spesifik berbeza dengan kebanyakan penyakit fizikal lain yang boleh disahkan dengan ujian makmal seperti pengambilan sampel darah dan imbasan pengimejan.

Ia menyebabkan usaha mengesan penyakit itu kadangkala mengambil masa yang lama kerana pesakit lazimnya berasa samar dengan masalah sebenar yang dihadapi.

Pemeriksaan

Tambahnya, ia biasanya dapat dikenal pasti melalui proses temu bual, pemeriksaan fizikal secara menyeluruh dan kaedah dipanggil tender point iaitu prosedur mengesan 18 titik kesakitan pada tubuh yang jika lebih daripada 11 tanda sakit dikesan ia diklasifikasikan sebagai fibromylagia.

Menurut Rahman, penyakit itu sukar sembuh sendiri tanpa rawatan khusus. Pendidikan pesakit adalah mustahak sebagai langkah awal untuk memahami penyakit tersebut termasuklah kaunseling emosi dan tidur.

Katanya, bagi rawatan ubatan, pesakit biasanya dibekalkan ubat untuk rawatan kemurungan atau keresahan di samping pemberian ubat saraf seperti pegabalin dan gabapentin.

Terdapat pelbagai kesan sampingan berikutan pengambilan ubat-ubat tersebut. Antaranya rasa mengantuk yang kuat, peningkatan berat badan, kering mulut, alahan dan keletihan.

Dalam pada itu, Ahli Fisioterapi Hospital Pantai Cheras, Doris Lee Siew Mei berkata, program pemulihan pesakit fibromyalgia agak berbeza dengan pesakit yang menghadapi kecederaan atau masalah tulang lain.

Ini kerana ia melibatkan kesakitan seluruh tubuh dan tidak bertumpu kepada bahagian anggota tertentu. Justeru, pesakit digalakkan supaya banyak bergerak kerana sikap pasif akan membuatkan badan mereka menjadi lebih kaku.

Cabarannya ialah daya tahan pesakit fibromyalgia agak rendah akan membuatkan mereka cepat letih dan lesu apabila melakukan aktiviti fizikal. Adalah amat penting melakukan aktiviti fizikal yang sederhana yang tidak memaksa keupayaan tubuh supaya penyakit itu tidak bertambah teruk.

Golongan muda

Berdasarkan pengalaman Doris penyakit fibromyalgia sukar sembuh sepenuhnya dan pesakit perlu memahami isyarat yang diberi tubuh supaya ia tidak berulang kembali.

Katanya, pesakit perlu belajar menguruskan tekanan yang dihadapi atau mengubah suai rutin yang kurang baik untuk tubuh seperti duduk lama atau menghabiskan masa berjam-jam menghadap skrin komputer.

Kebanyakan pesakit dikendalikan Doris ialah golongan muda dengan wanita enam kali lebih ramai daripada lelaki. Biasanya pesakit berada dalam persekitaran pekerjaan yang stres dan penyakit itu membuatkan mereka terpaksa diberi cuti sakit selama berbulan-bulan.

“Kegiatan sukan berintensiti tinggi seperti bermain futsal, badminton tidak sesuai untuk golongan tersebut. Namun, kegiatan berjalan dengan kelajuan sederhana, senaman regangan yang ringkas dan berenang boleh dilakukan.

“Pesakit turut diajar teknik pernafasan betul kerana mereka biasanya akan bernafas tercungap-cungap ketika berada dalam kesakitan. Apabila bernafas, tubuh kita ibarat silinder dan udara perlu masuk ke semua arah dengan menarik nafas dalam sebelum dilepaskan perlahan-lahan,” tuturnya.