Pelaburan seperti ini dibenarkan syarak selagi segala penilaian risiko dan kajian pelaburan dilakukan dengan baik dapat mengekal serta memelihara jumlah asal wakaf tunai itu.

Pandangan ini bertepatan dengan pendapat para fuqaha yang membenarkan praktis wakaf tunai seperti pandangan ulama terkenal, Imam Az-Zuhri.

Ketika ditanya tentang persoalan seseorang yang menyerahkan 1,000 dinar kepada seorang pemuda dengan tujuan dilaburkan dalam perniagaan dan keuntungannya disedekahkan kepada orang miskin serta kaum kerabatnya, Imam Az-Zuhri ditanya:

“Adakah dia boleh memanfaatkan sedikit daripada keuntungan 1,000 dinar itu dan tidak menyalurkan keuntungan itu kepada golongan miskin? Imam Zuhri menjawab: Beliau tidak boleh memakan harta itu.”

Hal ini diriwayatkan dalam Sahih Bukhari, Kitab al-Wasaya, bab ‘Waqf Ad-Dawwab Wa Al-Kura’ Wa Al-‘Urudh Wa As-Somit.

Pelaburan

Imam Muhammad bin Abdullah Al-Ansari daripada mazhab Hanafi juga mengharuskan pelaburan wakaf tunai.

“Wakaf tunai boleh dilaburkan secara mudarabah dan keuntungan daripada wakaf tunai itu boleh disedekahkan seperti yang dinyatakan dalam Al-Kamal Ibn Al-Humam berjudul Syarh Fath Al-Qadir, Beirut: Dar Al-Fikr.

Adakah hasil keuntungan wakaf tunai boleh diwakafkan semula atau dijadikan pusingan modal atau dibahagikan secara terus kepada penerima manfaat wakaf?

Seperti pewakaf yang boleh meletakkan syarat tertentu bagi penggunaan harta wakaf dan pembahagian keuntungannya, pihak pewakaf juga boleh mensyaratkan agar sebahagian daripada keuntungan hasil pelaburan wakaf tunai digunakan bagi tujuan pelaburan semula.

Ini selari dengan pandangan Majlis Akademi Fiqh Islam Antarabangsa dalam resolusi ke-140 yang memutuskan bahawa, syarat pewakaf mesti dipatuhi jika mereka mensyaratkan agar sebahagian keuntungan daripada pelaburan harta wakaf digunakan sebagai pusingan modal (pelaburan semula) bagi mengembangkan harta asal wakaf. Syarat ini tidak menyalahi syarat asas wakaf.

Ia mesti dipatuhi jika pewakaf mensyaratkan agar seluruh keuntungan diagihkan kepada penerima manfaat.

Dengan ini tidak boleh diambil walau sedikit pun daripada keuntungan tersebut demi mengembangkan harta asal wakaf.’

Sekiranya keuntungan harta wakaf telah digunakan bagi tujuan menanggung segala kos pengurusan harta wakaf dibahagikan kepada seluruh penerima manfaat yang ditetapkan tetapi masih terdapat lebihan daripada keuntungan itu, apakah yang patut dilakukan dengan lebihan yang ada?

Lebihan

Dalam konteks wakaf tanah masjid Ibn Taimiyyah berpendapat, lebihan keuntungan wakaf selepas diberikan kepada penerima manfaat wakaf dan menanggung kos penyelenggaraan masjid, ia perlulah disalurkan dengan tujuan yang sama.

Sebagai contoh, ia boleh digunakan untuk pengimarahan masjid lain ataupun segala tujuan manfaat yang sama.

Lebihan harta itu tidak sepatutnya disimpan tanpa sebarang sebab.

Imam Khatib Al-Sharbini daripada mazhab Syafie menjelaskan, lebihan keuntungan itu harus disimpan dalam sebuah dana penyelenggaraan atau dalam bentuk persaingan modal wakaf tunai dalam.

Lebihan keuntungan ini boleh dianggap sebagai harta wakaf yang baharu.