Bagi rakyat Jerman, Merkel merupakan wanita terpenting negara itu.

Menjawat jawatan sebagai Canselor Jerman sejak tahun 2005, Merkel merupakan wanita yang paling berpengaruh di dunia untuk tahun 2018.

Baru-baru ini majalah terkemuka Forbes telah menyenaraikan Merkel pada kedudukan pertama daripada 100 wanita berpengaruh di dunia untuk tahun ini.

Pemimpin Jerman itu juga dikenali sebagai Canselor Iklim kerana penglibatan aktifnya di peringkat antarabangsa dalam mengawal iklim dunia.

Dilahirkan pada 17 Julai 1954 dan membesar di Jerman Timur, Merkel merupakan anak perempuan kepada seorang paderi protestan.

Pada tahun 1972, beliau telah mengikuti pengajian dalam bidang sains fizik di Universiti Leipziq.

Merkel juga merupakan seorang penyelidik di Institut Pusat Kimia Fizikal di Akademi Sains, Berlin.

Selepas robohnya Tembok Berlin pada tahun 1989, beliau mula melibatkan diri dalam arena politik.

Penglibatan beliau dalam arena politik naik dengan begitu mendadak setelah menyertai Parti Demokratik Kristian Bersepadu (CDU).

Merkel kemudiannya diangkat menjadi Menteri Alam Sekitar dan pada tahun 1995, beliau telah mengetuai Persidangan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diadakan di Berlin.

Beliau telah meletakkan Jerman di barisan hadapan dalam pergerakan global bagi mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida.

“Pelepasan gas rumah hijau tidak hanya perlu stabil, tetapi harus dikurangkan secepat mungkin,” tegas Merkel sebelum persidangan tersebut berlangsung.

Melobi

Selain itu, beliau juga bertanggungjawab dalam rundingan Protokol Kyoto iaitu perjanjian perlindungan iklim antarabangsa yang pertama pada tahun 1997.

Pada tahun 2005, Merkel telah dipilih sebagai Canselor Jerman iaitu ketua pemerintah gabungan antara CDU dan Parti Demokrat Sosial (SPD).

Selepas menjawat jawatan tersebut, beliau kemudiannya menganjurkan Sidang Kemuncak Ekonomi Dunia bagi negara-negara perindustrian G8.

“Saya telah berjuang untuk tindakan iklim selama lebih daripada 10 tahun dan sekarang saya menganggapnya sebagai satu perjuangan yang sukar,” katanya dalam satu wawancara sebelum sidang kemuncak G8 itu diadakan.

Beliau juga berjaya memujuk para pemimpin G8 pada tahun 2007 untuk menerima Panel Antara Kerajaan tentang Perubahan Iklim (IPCC) dan beliau berjaya membuat mereka bersetuju mengenai keperluan untuk mengikat sasaran pengurangan karbon dioksida.

Atas usahanya itu, akhbar-akhbar Jerman telah menggelarkannya sebagai Klimakanzlerin ataupun Canselor Iklim.

Pada tahun 2009, Merkel terpaksa mengalah pada Persidangan Iklim PBB yang berlangsung di Copenhagen, Denmark di mana beliau melobi keras untuk mendapatkan persetujuan negara-negara lain bagi mengurangkan karbon dioksida sebanyak 25 peratus menjelang tahun 2020.

Kira-kira 24 jam sebelum persidangan berakhir, Kerber telah menarik perhatian para pemimpin dunia dengan ucapannya.

“Jika kita pulang ke rumah dan perlu menjelaskan mengapa kita tidak mencapai apa-apa, ia adalah baik bagi mereka yang tidak mahu melawan perubahan iklim, memerangi kemiskinan dan tidak mahu mengubah hidup.

“Ia merupakan satu isyarat yang dahsyat kepada semua yang ingin menjamin masa depan yang baik untuk dunia pada abad ke-21,” katanya.

Pada akhir persidangan itu, pemimpin negara lain tidak bersetuju dengan sasaran yang boleh menyekat pemanasan global pada abad ini.

Merkel berkata, perubahan iklim hanya boleh dilakukan di peringkat global.

“Kita semua perlu membantu antara satu sama lain dan bersedia mengubah cara hidup,” katanya.