Fuqaha Maliki pula mendefinisikan wakaf sebagai pemberian manfaat sesuatu aset dengan kewujudan aset tersebut dan pemilikan aset kekal di bawah wakif.

Fuqaha Syafie merujuk wakaf sebagai pengekalan sesuatu aset yang boleh dimanfaatkan dan fizikal asal sesuatu aset hendaklah dikekalkan untuk tujuan pemberian yang mengikut Syarak kepada penerima manfaat wakaf tertentu.

Mengikut fuqaha Hanbali pula, wakaf merujuk kepada pengekalan bentuk asal aset wakaf dan penyebaran manfaatnya.

Secara umum, dalam surah al-Baqarah ayat 261 menjelaskan, “Bahawa bandingan (infak) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai.

Tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi 100 biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”

Manfaat

Hadis Rasulullah SAW yang dilaporkan oleh Nafi`dan Ibn Umar berkata: Saidina Umar telah diberikan sebidang tanah di Khaibar, beliau kemudian datang kepada Nabi SAW dan berkata:

“Saya telah diberikan sebidang tanah (di Khaibar) yang merupakan kekayaan yang paling berharga bagi saya. Dan sedekahlah dengan manfaatnya.

“Beliau (Saidina Umar) akan mendermakan (wakaf) tanah itu dengan syarat ia tidak boleh dijual, tidak boleh hibah kepada orang lain dan tidak boleh diwarisi. Tanah itu akan digunakan oleh miskin, kaum kerabatnya, hamba-hamba, fi sabilillah, tetamu dan musafir.

Ia sepatutnya tidak menjadi masalah bagi orang-orang yang mentadbir harta wakaf tersebut dan menguruskan aset wakaf untuk mengambil gaji yang munasabah daripada aset wakaf seperti riwayat sahih al-Bukhari.

Benda bergerak digolongkan bergerak kerana sifatnya yang dapat berpindah atau dipindahkan kerana ketetapan undang-undang.

Ia terbahagi kepada benda bergerak yang dapat dihabiskan dan tidak dapat dihabiskan disebabkan pemakaiannya. Benda bergerak dapat dihabiskan kecuali air dan bahan bakar minyak yang persediaannya tidak dapat diwakafkan.

Sedangkan benda bergerak yang tidak dapat dihabiskan disebabkan pemakaian dapat diwakafkan. Benda bergerak yang dapat dijadikan sebagai objek wakaf kerana sifatnya adalah seperti sebuah kapal terbang.

Dalam hal ini, fuqaha berbeza pendapat dalam isu hukum mewakafkan aset mudah alih. Aset mudah alih yang mempunyai ciri fizikal yang tahan lama dan tidak rosak walaupun selepas digunakan seperti alat senjata, kuda dan lain-lain.

Majoriti fuqaha daripada Mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali berpandangan bahawa adalah dibenarkan untuk mewakafkan semua jenis aset mudah alih yang tahan lama dan tidak mudah rosak.