Pejabat terletak dalam Kompleks Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor itu menjadi medan Sarah Mohammad Mokhtar menjana pendapatan.

Pejabatnya digunakan bagi menguruskan urusan berkaitan cukai, permit dan perbincangan harga serta waktu penerbangan dengan pelanggan.

Adakalanya, Sarah terpaksa bergegas ke gudang kargo, KLIA yang terletak dua kilometer dari pejabatnya bagi menguruskan proses penerimaan dan penghantaran barang ke luar negara.

Itulah sebahagian daripada rutin kerja Sarah yang merupakan pemilik syarikat pengurusan eksport dan import, Speed World International Logistic Sdn. Bhd. (Speed World).

“Alhamdulillah, saya berjaya sampai ke tahap ini hasil daripada usaha yang berterusan dan tidak kenal erti putus asa.

“Syarikat ini (Speed World) sudah memasuki usia sedekad dan ia terus berkembang dari masa ke masa,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di pejabatnya baru-baru ini.

Speed World yang ditubuhkan sejak sedekad lalu itu mengendalikan urusan eksport dan import untuk lebih 10 buah syarikat tempatan terutamanya ikan arowana ke seluruh dunia kecuali Israel.

Setiap bulan, syarikat tersebut menguruskan hampir 30 tan eksport dan import barang menerusi Kompleks Kargo, KLIA.

Ini membolehkan pemilik Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak daripada sebuah universiti tempatan itu menikmati pendapatan lumayan setiap bulan.

Bagaimanapun, kejayaan yang diraih usahawan wanita itu tidak datang bergolek, dia terpaksa menempuh pelbagai cabaran dalam perniagaan.

Tambahan pula, tidak ramai golongan wanita berminat menceburi bidang tersebut yang dimonopoli oleh kaum lelaki.

Pembabitan awal

Sarah yang tinggal di Banting berkata, dia mula mengenali syarikat eksport dan import selepas bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat kargo di KLIA selama 10 tahun.

Katanya, pada mulanya, dia bekerja di situ hanya untuk mendapat gaji bulanan sebelum minatnya mula berputik terhadap perniagaan tersebut.

Justeru, Sarah terpanggil untuk mempelajari selok-belok pengurusan proses eksport dan import.

“Banyak ilmu yang saya dapat daripada pengalaman kerja sebelum ini. Ia juga membuka mata saya mengenai potensi besar perniagaan ini.

“Berbekalkan modal sendiri sebanyak RM20,000, saya tekad membuka syarikat ini. Pada mulanya, saya beroperasi di rumah sahaja,” imbaunya.

Pada tahun 2015, Sarah mengembangkan sayap dengan membuka pejabat sendiri di bangunan kargo, KLIA serta menggaji tiga pekerja.

Ini sekali gus meletakkan Speed World di bawah bumbung yang sama dengan syarikat kargo terkemuka dunia seperti Cathay Cargo dan Saudi Arabia Cargo.

Ibu kepada empat cahaya mata itu memberitahu, tanggungjawab sebagai pemilik syarikat eksport dan import menuntut komitmen tinggi.

Teliti

Jelasnya, setiap hari, dia perlu berurusan dengan pelbagai pihak antaranya pelanggan, syarikat penerbangan, kastam dan Jabatan Perikanan.

“Urusan cukai dan permit perlu dilakukan dengan cermat serta teliti terutamanya berkaitan jumlah berat barang yang dieksport atau diimport.

“Ini kerana sebarang kesilapan akan menyebabkan barang tidak dapat dihantar atau diterima sekali gus menjejaskan reputasi syarikat,” katanya.

Bagi memastikan semua urusan berjalan lancar, dia terpaksa ke gudang kargo KLIA setiap kali ada barang yang dihantar atau terima.

Biasanya, terdapat tiga atau empat barang yang dihantar atau diterima oleh Speed World setiap minggu.

Langkah tersebut bertujuan memastikan tidak berlaku sebarang masalah dengan barang yang dihantar atau terima.

“Kalau pesawat kargo berlepas pada waktu tengah malam, saya terpaksa datang ke sini dari rumah.

“Kini, saya sudah ada pekerja yang boleh dipercayai. Jadi, saya sudah jarang datang pada waktu malam,” ujarnya.

Seperti laut ada pasang surutnya, begitulah juga dengan perniagaan eksport dan import yang diusahakan oleh Sarah.

Dia memaklumkan, sepanjang perniagaannya, Sarah pernah beberapa kali berdepan cabaran terutamanya apabila barang gagal dihantar ke luar negara.

Ceritanya, salah satu kejadian berlaku pada tahun 2016, apabila ikan arowana bernilai ratusan ribu ringgit yang ingin dieksport ke China tidak mendapat pelepasan oleh pihak berkuasa.

Kecuaian

Selepas diperiksa, dia dapati pelanggannya telah menghantar ikan melebihi jumlah yang diikrar dalam permit sekali gus tidak mendapat kelulusan Jabatan Perikanan.

“Kalau ikan gagal dihantar pada waktu sepatutnya, ia dikhuatiri akan menyebabkan ikan-ikan ini mati.

“Ini kerana jumlah oksigen yang dimasukkan dalam plastik mampu bertahan selama beberapa jam sahaja.

“Mujur, ketika masalah itu berlaku disebabkan kecuaian oleh pelanggan. Jadi, ia tidak menjejaskan reputasi syarikat,” katanya.

Tambahnya, perniagaan eksport dan import sangat mementingkan kepercayaan pelanggan terhadap sesebuah syarikat.

Sarah memberitahu, pelanggan yang percaya akan kualiti perkhidmatan akan terus kekal dengan satu syarikat.

“Walaupun terpaksa bersaing dengan syarikat-syarikat lebih besar, namun ia bukan masalah selagi kita memberikan perkhidmatan terbaik,” katanya.

Walaupun sibuk dengan tugasan harian, namun Sarah sentiasa mencari masa bersama suami, Wan Rosli Wan Ishak, 38, dan anak-anak.

Malah, setiap hari, dia meluangkan masa untuk anak-anak pada sebelah petang selepas mereka pulang dari sekolah.

“Kadang-kadang tengah hari saya ambil anak-anak balik sekolah. Semua kerja, saya lepaskan pada pekerja.

“Lagi pula, suami saya sangat membantu kerana dia juga bekerja bidang eksport dan import barang,” katanya yang turut memiliki sebuah tadika dan sebuah taska.

Sebelum mengakhiri perbualan, Sarah memaklumkan, impiannya adalah memiliki pejabat sendiri di setiap negara.

Jelasnya, dengan adanya pejabat di luar negara, ia dapat melancarkan segala urusan dan meningkatkan keuntungan syarikat.

“Kalau boleh, saya mahu membuka pejabat di semua negara terutamanya China kerana pasaran di sana sangat besar,” katanya.

Sarah terpaksa mengorbankan masanya bersama keluarga bagi membangunkan syarikat eksport dan import miliknya, Speed World International Logistic Sdn. Bhd.