Kunjungan bersama 30 lagi rakan-rakannya dari Sekolah Kebangsaan Presint 18 (2), Putrajaya itu bukanlah untuk membeli-belah sebaliknya mendalami ilmu sains dan alam sekitar.

Aktiviti pembelajaran dilakukan di dalam sebuah kedai yang telah diubah suai menjadi pusat yang dikenali sebagai Green Guardian.

Green Guardian merupakan sebuah pusat pendidikan sains dan alam sekitar yang diwujudkan oleh Yayasan Hijau Malaysia (YHM).

Menurut anak keempat daripada lima adik-beradik itu, pelbagai ilmu sains dan sekitar berjaya ditimba sepanjang berada di pusat berkenaan.

Jelasnya, pembelajaran berlangsung dalam suasana santai sambil dibantu skrin sentuh besar yang dipancarkan pada dinding.

“Saya sangat teruja kerana dapat berkunjung ke sini bersama kawan-kawan. Di sini, kami dapat belajar sains dan alam sekitar dengan cara yang lebih menarik dan selesa,” jelasnya.

Tambah Nursyafiqah, program tersebut berjaya memberi kesedaran kepadanya tentang kepentingan menjaga alam sekitar untuk kehidupan masa depan.

Sementara itu, Eksekutif dan Promosi Program YHM, Muhammad Asyraf Mohd. Ali berkata, Green Guardian merupakan sebuah tempat pembelajaran interaktif buat kanak-kanak.

Jelasnya, pusat pendidikan tersebut mengandungi tema pembelajaran sains dan kesedaran terhadap alam sekitar.

“Kami mula beroperasi sejak Jun tahun ini. Ia diwujudkan bagi mendidik kanak-kanak mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.

“Menerusi pendidikan ini, kami berharap untuk mewujudkan persekitaran hidup yang lebih selesa dan mampan pada masa depan,” terangnya,

Menurut Muhammad Asyraf, buat masa ini Green Guardian hanya dibuka kepada para pelajar sekolah menerusi program Amalan Hidup Hijau (AHH).

Trak bergerak

“Program AHH akan berjalan selama lima tahun. Kami akan membuat pemilihan sekolah sebelum menawarkan peluang berkunjung ke sini.

“Setakat ini, lebih daripada 50 buah sekolah rendah di sekitar Lembah Klang telah berkunjung ke sini,” terangnya.

Green Guardian turut mempunyai dua buah trak bergerak bagi menjelajah sekolah-sekolah di seluruh negara. Trak berkenaan turut menggunakan model pembelajaran yang sama.

Green Guardian terbahagi kepada dua kelas iaitu Curiosity Class untuk kanak-kanak berusia lima hingga lapan tahun dan Discovery Class (9 hingga 12 tahun).

Muhammad Asyraf menjelaskan, pusat berkenaan mempunyai tiga buah bilik seluas 40 meter persegi yang dilengkapi alat projektor 360 darjah.

Ujarnya, bilik berkenaan turut dilengkapi sensor sentuhan bagi membolehkan kanak-kanak berinteraksi dengan skrin menggunakan dengan sentuhan tangan.

“Menerusi skrin ini, kami akan membawa kanak-kanak menjelajah angkasa lepas, hidupan di dalam laut dan kilang kertas.

“Penjelajah berkenaan akan memberi kesedaran kepada kanak-kanak menghargai alam sekitar menerusi kaedah lebih interaktif,” ujarnya.

Salah Seorang Guru Sekolah Kebangsaan Presint 18 (2), Norafifah Mat Merdeka, 25, berkata, program Green Guardian sangat sesuai buat pelajar sekolah.

Jelasnya, modul dan kaedah pembelajaran yang ditampilkan di pusat berkenaan sangat berkesan selain menjadikan pembelajaran pelajar lebih interaktif.

“Pada saya, pusat ini sangat menarik dalam mendidik pelajar mengenai alam sekitar. Tambahan pula, tenaga pengajarnya sangat bagus,” jelasnya.

Norafifah menambah, salah satu pembelajaran yang berjaya menambat hatinya ialah ketika menjelajah angkasa lepas.

Ujarnya, penjelajahan menjadi sangat menarik kerana bilik pembelajaran itu dilengkapi projek 360 darjah.

“Ia satu pengalaman yang baharu buat saya dan para pelajar dalam menjelajah angkasa lepas. Di sini, kami dapat mengenali planet-planet dengan lebih mudah.

“Ini kerana planet berkenaan bukan sahaja berwarna tetapi bergerak. Kalau dalam buku, pelajar mungkin susah sedikit untuk faham kerana ia hanya pegun,” jelasnya.