Sebaik memasuki bilik berkeluasan 50 meter persegi itu, dia terus bergegas ke sebuah meja kosong sebelum menyusun peralatan yang dibawanya.

Rosmawati kemudian menyertai kira-kira 60 orang rakan seperjuangannya yang telah memenuhi ruang tengah bilik berkenaan bagi melihat demonstrasi melakar menjahit kain batik lipat depan.

Demonstrasi yang disampaikan oleh seorang tenaga pengajar mahir itu berlangsung selama hampir 15 minit sebelum disusuli dengan sesi soal jawab.

Rosmawati serta rakan-rakannya kemudiannya kembali ke meja dan cuba menjahit kain batik masing-masing seperti demonstrasi tadi.

Proses menjahit berlangsung selama tiga jam dan mereka dibantu oleh lima orang fasilitator.

Itulah sebahagian daripada rutin Rosmawati dan rakan-rakannya yang mengambil bahagian dalam Kelas Jahitan, Bengkel Suri Putrajaya (BSP) pada setiap hujung minggu.

Kelas Jahitan BSP yang dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) itu memberi peluang kepada komuniti setempat mempelajari cara dan teknik menjahit pakaian dengan betul.

Rosmawati yang berasal dari Alor Setar, Kedah memberitahu, dia menyertai Kelas Jahitan BSP bagi meningkatkan kemahirannya mengukur dan menjahit pakaian.

“Saya sudah menyertai kelas ini sebanyak 10 kali iaitu bermula sejak tahun 2006. Sebelum masuk kelas ini, saya sudah boleh menjahit tetapi tidak terlalu kemas.

“Niat saya masuk kelas ini adalah untuk mendalami ilmu jahitan terkini daripada tenaga pengajar secara formal,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Rosmawati kini sudah mampu menjahit pakaian seperti baju kebaya, kurung, kurung moden, baju Melayu, baju Kedah serta langsir.

Menurut suri rumah sepenuh masa itu, kemahiran yang diperoleh telah berjaya membantunya menjana pendapatan.

Jelasnya, dia sering menerima tempahan membuat pakaian daripada rakan dan jiran sekitar Putrajaya.

“Alhamdulillah, selepas tahun ketiga menghadiri kelas ini, saya sudah berani menerima tempahan membuat pakaian.

Jana pendapatan

“Setiap bulan saya boleh menjana pendapatan RM2,000 dan jumlah itu akan meningkat sekali ganda menjelang Hari Raya Aidilfitri,” ujar ibu kepada seorang cahaya mata itu.

Sementara itu, Pengendali Kelas Jahitan BSP, Zunaini Ismail berkata, kelas berkenaan mula dianjurkan sejak 12 tahun lalu hasil inisiatif PPj.

Katanya, tujuan utama Kelas Jahitan BSP dianjurkan adalah untuk memberi pendedahan kepada komuniti Putrajaya mengenai kemahiran menjahit pakaian.

Dia menambah, menerusi kemahiran berkenaan, para peserta dapat menggunakannya untuk membuat pakaian selain menjana pendapatan sampingan.

“Sejak dianjurkan, kelas ini sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada komuniti sekitar Putrajaya.

“Menerusi kelas ini, para peserta dapat mengisi masa lapang mereka pada hujung minggu dengan aktiviti bermanfaat,” jelasnya.

Pada masa sama, kelas berkenaan juga diharap mampu mengeratkan silaturahim antara komuniti di kawasan pusat pentadbiran kerajaan pusat itu.

Menurut Zunaini, Kelas Jahitan BSP pada tahun ini bermula Julai lalu dengan kelas sebanyak 12 sesi setiap hari Ahad.

Tambahnya, kelas yang berlangsung selama tiga jam setiap sesi itu merangkumi pembelajaran berbentuk teori sebanyak 30 peratus manakala selebihnya berbentuk praktikal.

“Setiap tahun, modul yang diketengahkan adalah berbeza. Antara modul yang telah dilaksanakan ialah pembuatan baju kurung moden, kebaya dan baju Melayu.

Santai

“Pada tahun ini, kami memberi fokus kepada tiga modul iaitu pembuatan baju kurta, baju kurung Pahang dan kain batik lipat depan. Pemilihan modul berdasarkan permintaan para peserta,” jelasnya.

Menariknya, kelas berkenaan berlangsung secara santai dengan para peserta dibahagikan kepada lima kumpulan kecil sambil dibantu seorang fasilitator.

Zunaini yang merupakan seorang guru jahitan profesional memberitahu, setiap modul meliputi pembelajaran asas seperti mengukur, melakar pola, memotong kain dan menjahit.

Tegasnya, majoriti peserta yang menyertai Kelas Jahitan BSP terdiri daripada mereka yang tidak tahu langsung asas menjahit.

“Pada tahun ini, kami menerima 65 peserta yang kebanyakannya terdiri daripada mereka yang memiliki kerjaya profesional dan suri rumah.

“Ada dalam kalangan peserta ini tidak tahu langsung menjahit. Selepas menyertai kelas ini dan sedikit latihan di rumah, saya yakin mereka mampu menjahit,” jelasnya.

Setiap peserta yang mengambil bahagian dikenakan bayaran pendaftaran sebanyak RM60 dan yuran RM50 sebulan.

Ujar Zunaini, yuran yang dikenakan sangat berpatutan berbanding kelas menjahit lain di luar memandangkan kos lokasi pembelajaran ditanggung sepenuhnya oleh pihak PPj.

Golongan lelaki

Uniknya, Kelas Jahitan BSP bukan sahaja mendapat sambutan daripada kaum Hawa, malah ia turut menjadi tumpuan golongan lelaki yang berminat mendalami ilmu menjahit pakaian.

Salah seorang peserta, Syahman Mohammad, 40, berkata, dia menyertai kelas berkenaan bagi mendalami teknik jahitan pakaian.

Lelaki berasal dari Marang, Terengganu itu memaklumkan, menerusi kemahiran diperoleh, dia sudah mampu menjahit sendiri baju isteri dan anak-anaknya.

“Ini kali kedua saya menyertai kelas itu selepas berbuat demikian pada tahun 2016. Saya memang minat dalam menjahit, namun tidak berkesempatan.

“Menerusi kelas ini, saya sudah pandai menjahit baju kurung, kebaya dan baju Melayu, sekali gus menjimatkan perbelanjaan membeli pakaian,” ujar bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Syahman yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Teknologi Maklumat di Jabatan Pendaftar Negara di Putrajaya menjelaskan, kelas berkenaan banyak membantunya dalam aspek kekemasan jahitan kain dan melakar pola.

Jelasnya, guru dan fasilitator yang mengendalikan kelas memberi tunjuk ajar yang jelas dan lebih mudah difahami.

“Sebelum ini, saya ada belajar teknik menjahit dan melakar pola menerusi YouTube. Namun, saya sukar memahaminya kerana penerangannya kurang jelas.

“Ia berbeza dengan kelas ini, saya bukan sahaja dapat belajar teori, malah secara praktikal sambil dibantu guru dan fasilitator berkemahiran tinggi,” tuturnya.