Ikan-ikan yang ditangkap dari kolam di belakang rumahnya dimasukkan ke dalam tong putih yang dipasang oksigen seawal pukul 4 pagi lagi.

Dia bersama rakan kongsinya, Mohamad Sam Abd. Aziz, 49, perlu bergerak awal bagi menempuh perjalanan selama hampir setengah jam dari rumahnya di Kampung Melayu Kepong, Kuala Lumpur ke tapak Pasar Tani Wangsa Walk, Kuala Lumpur.

“Pasar tani akan mula menerima kunjungan pelanggan seawal pukul 7 pagi. Justeru, kami sebagai peniaga perlu tiba awal untuk menyusun dan mengemas lot jualan masing-masing,” katanya.

Tidak mudah melatah dengan persepsi negatif bahawa jualan ikan hidup berstatus premium di pasar tani tidak laku dan tidak mampu menghasilkan pulangan lumayan, Muhammad Dahlan mencabar diri untuk menjual ikan tilapia yang diternaknya di Pasar Tani Wangsa Walk pada setiap hari Ahad sejak awal Oktober lalu.

“Saya bermula dengan hanya 30 ekor ikan tilapia pada minggu pertama. Sambutan di luar jangkaan yang diterima pada minggu pertama menyebabkan saya menambah bilangan ikan pada minggu seterusnya sehingga mencecah 60 ekor dan adakalanya 70 ekor.

“Bagi menjamin keselesaan dan kepuasan pelanggan, saya meletakkan tong putih jernih berisi ikan di atas meja untuk memudahkan mereka memilih,” kongsi anak kelahiran Petaling Jaya kepada Kosmo! di Pasar tani Wangsa Walk, Kuala Lumpur baru-baru itu.

Kebiasaannya, Muhammad Dahlan lebih banyak berurusan dengan pelanggan untuk urusan jual beli manakala Mohamad Sam akan mengambil alih tugas menyiang ikan sekiranya terdapat permintaan daripada pelanggan. Secara purata, mereka berjaya menjual kira-kira 50 ekor ikan tilapia merah gred AA setiap kali berniaga di pasar tani.

Perusahaan ternakan ikan air tawar Tilapia Merah yang didaftarkan di bawah syarikat Azkib Enterprise itu mula dibenihkan pada Januari awal tahun ini.

Sebanyak 5,000 ekor ikan sedia ditangkap sejak Julai lalu pada saiz 250 gram (g) iaitu sebesar tapak tangan.

Barang basah

Menjelang bulan September, 60 peratus ikan-ikan itu sudah mencapai berat di antara 450g hingga 700g dan mula dipasarkan ke restoran-restoran Melayu serta Cina.

Istimewanya, ikan tilapia itu tidak berbau hanyir seperti kebanyakan ikan air tawar lain kerana ia diternak di dalam kolam yang airnya mengalir.

Maka, tidak hairanlah apabila ia mendapat banyak permintaan daripada pelanggan baik di pasar tani, restoran atau secara terus dari rumah.

“Kami juga mengamalkan bacaan ayat ruqyah iaitu ayat Manzil yang dipasang tanpa henti menggunakan pembesar suara sejak ikan mula dibenihkan sehingga kini.

“Saya yakin, alunan ayat itu juga membantu proses pembesaran ikan, sekali gus menambah baik kualiti rasanya,” ujar anak ketiga daripada empat adik-beradik itu.

Lebih membanggakan, Muhammad Dahlan merupakan salah seorang daripada sebilangan kecil penternak ikan Melayu yang memiliki Lesen Untuk Urusniaga, Mengimport, Mengeksport dan Memproses Ikan yang dikeluarkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia atas namanya sendiri.

Justeru, dalam masa terdekat pihaknya turut merancang untuk mengembangkan perusahaan dengan mengeluarkan produk makanan berasaskan ikan tilapia.

Selain Pasar Tani Wangsa Walk pada setiap hari Ahad, Muhammad Dahlan dan Mohamad Sam juga berniaga di Pasar Tani Bukit Damansara pada hari Sabtu serta Pasar Tani Gombak Setia (Khamis).

Sementara itu, Pasar Tani Wangsa Walk yang mula beroperasi sejak hari Ahad 16 Julai lalu merupakan medan berkumpulan peniaga-peniaga barangan basah dan segar terbaharu di Wangsa Maju.

Ia memberi kemudahan kepada penduduk setempat untuk mendapatkan stok barangan basah seperti ikan, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan pada harga berpatutan serta dikawal selia oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) setiap hari.

Salah seorang pengunjung, Salamiah Harun, 53, memberitahu, sejak adanya pasar tani itu, dia kini lebih mudah mendapatkan bekalan makanan basah untuk simpanan selama seminggu.

“Setiap kali menghantar anak yang bekerja di Wangsa Walk pada hari Ahad, saya akan terus parkir kereta di tempat letak kereta yang terletak di bahagian belakang pusat beli-belah itu. Sementelah, pasar tani juga diadakan di ruang parkir yang sama.

“Memandangkan saya juga bekerja, maka pada setiap hujung minggu saya akan menyediakan bekalan makanan untuk simpanan selama seminggu di dalam peti sejuk,” jelas penjawat awam yang menetap di Desa Setapak, Kuala Lumpur itu.

Dia berbelanja kira-kira RM200 di pasar tani itu pada setiap minggu.

Sementara itu, seorang peniaga apam balik yang ditemui, Nor Atikah Azman, 26, mengakui, sambutan pengunjung ke pasar tani itu semakin bertambah berbanding sewaktu awal beroperasi dahulu.

“Saya dan suami merupakan antara peniaga rintis yang mula berniaga semasa Pasar Tani Wangsa Walk beroperasi secara rasmi pada pertengahan Julai lalu.

Perisa keju

“Pada awalnya, tidak ramai yang berkunjung ke sini kerana kurang hebahan mengenai pasar tani ini. Sementelah ia juga terletak di ruang parkir belakang pusat beli-belah Wangsa Walk dan tidak boleh dilihat dari jalan utama.

“Namun, apabila memasuki minggu ketiga, bilangan pengunjung semakin bertambah,” terang isteri kepada Hizami Hamidun, 26, yang telah mengusahakan perniagaan Hizami Apam Balik sejak empat tahun lalu.

Antara apam balik yang banyak mendapat permintaan pelanggan ialah perisa keju coklat. Selain Pasar Tani Wangsa Walk, pasangan suami isteri itu juga berniaga di Pasar Tani Kota Damansara pada hari Sabtu dan berhampiran Selayang Mall pada setiap hari Isnin hingga Jumaat.

Mereka turut menerima tempahan apam balik untuk majlis perkahwinan.

Muhammad Dahlan mencabar diri menjual ikan tilapia hidup di pasar tani bagi menepis persepsi bahawa pasaran ikan air tawar di pasar tani tidak menguntungkan.