Pengusaha kedai cenderamata dari Shah Alam, Selangor itu berkata, seringkali dia tertidur sekitar pukul 3 pagi sebelum bangun pada pukul 5.30 pagi untuk menjalankan rutin hariannya.

Bapa kepada empat cahaya mata itu bercerita, masalah susah tidur itu berlarutan sejak bertahun-tahun. Banyak cara digunakan termasuk mengambil suplemen. Kadangkala jika tidak dapat tidur dia akan menonton televisyen untuk menghilangkan rasa bosan.

“Kesan daripada kurang tidur tubuh saya sering berasa letih dan lesu. Berat badan juga kian menyusut. Sebagai peminat motosikal besar saya tidak lagi berupaya menyertai konvoi bersama rakan-rakan sekumpulan.

“Kemuncaknya, tangan serta kaki saya berasa menggeletar. Saya juga tidak dapat menulis dengan betul walaupun sekadar untuk menurunkan tandatangan pada cek.

“Setelah itu, baru saya mempunyai kesedaran untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital. Hasil diagnosis mendapati saya menghidap penyakit tiroid,” ujarnya kepada Kosmo! ketika ditemui di Puchong, Selangor baru-baru ini.

Mohamed Jamil berkata, sebelum ini dia tidak pernah menyangka bahawa penyakit sedemikian boleh mengganggu tidurnya sejak sekian lama.

Lain pula kisahnya dengan Lim Siew Lan, 46, dari Lebuh Macallum, Pulau Pinang.

­Ibu kepada lima cahaya mata itu mempunyai masalah hormon tidak seimbang selepas melahirkan anak bongsunya kira-kira 12 tahun lalu.

“Sejak itu saya tidak pernah datang haid. Saya turut mengalami masalah alahan di samping menghidap hipertensi dan diabetes sehingga terpaksa berhenti kerja sebagai konsultan produk kesihatan di sebuah pusat beli-belah.

“Saya akui waktu bekerja yang panjang di samping kesibukan mengurus keluarga mungkin menjadi antara punca kesihatan saya semakin merosot.

Terjaga

“Waktu zaman muda juga saya cenderung mengabaikan waktu rehat dan hanya tidur antara tiga hingga empat setiap hari. Apabila usia kian meningkat saya mengalami masalah tidur dan sering terjaga pada waktu malam,” tuturnya.

Isu gangguan tidur menghantui masyarakat moden hari ini. Ia berlaku disebabkan pelbagai faktor antaranya kesibukan, tekanan, gaya hidup, sikap terlalu bergantung kepada gajet selain masalah kesihatan.

Mendapat tidur yang berkualiti merupakan salah satu komponen penting dalam aspek penjagaan diri selain mengamalkan pemakanan seimbang dan bersenam.

Dari situ timbul idea Pengasas dan Pengarah Urusan Am Life International Sdn. Bhd. (AMLIFE), Lew Mun Yee, untuk mencari penyelesaian alternatif bagi menangani masalah tersebut melalui produk kelengkapan tidur iaitu tilam termo terapi berserat karbon.

Teknologi dari Jepun itu mengetengahkan tilam berasaskan terapi keupayaan elektrik yang terbahagi kepada tiga tahap iaitu termoterapi, terapi bio-elektrik berpotensi dan terapi intergratif.

Tiga tahap

“Termoterapi menggunakan kaedah memanaskan badan melalui sinar infra merah jarak jauh, manakala terapi bio-elektrik berpotensi boleh meningkatkan suhu tubuh badan antara 1 hingga 2 darjah Celsius dalam tempoh yang singkat.

“Sementara itu, terapi integratif, suhu boleh diselaraskan dari 27 darjah Celsius hingga 50 darjah Celsius dengan pengguna boleh memilih untuk memanaskan sebahagian badan seperti kaki atau bahu atau keseluruhan tubuh,” jelasnya.

Beliau berkata, ia direka sedemikian kerana suhu tubuh manusia tidak boleh berada pada suhu rendah ditambah pula dengan gaya hidup berhawa dingin yang secara tidak langsung menyebabkan pendedahan terhadap kesejukan dalam jangka panjang.

Menurutnya, produk itu direka untuk memenuhi keperluan keluarga dengan tetapan penggunaan maksimum seharian adalah 12 jam dengan idea utama inovasi itu ialah memberi rasa hangat seperti pelukan ibu.

Tilam itu menggunakan elemen serat karbon yang diperbuat daripada sumber semula jadi iaitu arang sebagai elemen pemanasan atau terapi haba.

Dalam hal ini arang tersebut telah diproses menjadi lebih halus daripada rambut manusia.

Beliau berkata, dalam hal ini, serat karbon turut berfungsi menyerap peluh, pengudaraan, menyerap kelembapan dan penyahbau dengan demonstrasi pertama produk tersebut diperkenalkan kepada khalayak pada tahun 2012.

Mun Yee, 43, yang mempunyai latar belakang dalam bidang perubatan tradisional Cina berkata, beliau sendiri mempunyai masalah insomnia sebelum ini telah mencuba lebih 20 jenis produk bantal untuk menangani masalah tersebut.

“Ramai orang membeli pelbagai jenis produk dan peralatan penjagaan kesihatan. Namun, cabaran utama ialah disiplin untuk makan atu menggunakannya.

“Kelengkapan tempat tidur AMLIFE memberi alternatif terapi paling asas melibatkan proses penyembuhan semula jadi badan menerusi pendekatan amalan tidur yang berkualiti tanpa ubat-ubatan dan suntikan,” katanya.

Beliau berkata, tilam itu mampu bertahan dalam tempoh 10 tahun dan tidak perlu dicuci kerana ia mempunyai sistem pembersihan dalaman selain mudah disimpan.

Lebih manis, AMLIFE telah memenangi Anugerah Kehormat sempena Sambutan Hari Tidur Sedunia baru-baru ini di Prague, Republik Czech sekali gus menjadikan Malaysia sebagai negara tunggal dari Asia yang mendapat pengiktirafan tersebut.

Seminar

Sambutan Hari Tidur Sedunia 2017 dianjurkan Persatuan Perubatan Tidur Sedunia dan Persekutuan Tidur Sedunia anjuran Persatuan Penyelidikan Tidur dan Perubatan Tidur Republik Czech.

Mun Yee berkata, sebanyak 202 syarikat dan Pertubuhan Bukan Kerajaan telah bersaing menerusi produk dan projek kempen berkaitan kepentingan tidur.

“Selain memperkenalkan kelengkapan tidur, AMLIFE sendiri aktif menganjurkan lebih 1,000 seminar dan ceramah di dalam dan luar negara bagi mendidik dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai amalan tidur yang sihat,” katanya.

Katanya, sejak tahun 2014 AMLIFE telah menjual lebih dari 30,000 unit tilam tersebut dengan perolehan dapatan tahun lalu ialah RM120 juta. Ia turut menembusi pasaran negara Brunei, Singapura, Hong Kong, Taiwan dan Indonesia.