Ditambah pula dengan rupa paras yang cantik dan senyuman menawan, wanita berusia 37 tahun itu dengan mudah boleh mempengaruhi orang ramai membeli produk jualannya.

Kelebihan yang dimiliki itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Alfieya Hanuum dengan menjadi usahawan produk kecantikan dan penjagaan rambut sejak lima tahun lalu.

Dia yang berasal dari Johor Bahru, Johor itu merupakan pengasas kepada produk kecantikan Elysya dan penjagaan rambut Nafieya.

Hasil daripada jualan produk, Alfieya Hanuum berjaya menjana pendapatan lumayan sekali gus membantu mengubah kehidupannya.

Sebelum memiliki produk sendiri, graduan Universiti Monash Malaysia dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi itu pernah bergelar stokis kepada jenama terkenal seperti D’Herbs dan Qu Puteh.

Sebagai stokis, Alfieya Hanuum pernah berkelana ke Sumatera, Indonesia bagi mempromosi produk jualannya. Di sana, dia menjual produk dengan berjalan dari satu rumah ke satu rumah .

“Ketika itu, saya sangat berminat menjual barangan. Saya tidak kisah untuk berjalan dari satu rumah ke satu rumah, walaupun sangat letih.

“Saya juga membuang perasaan malu yang ada dalam diri bagi memastikan jumlah jualan mencapai sasaran,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di pejabatnya di Kinrara, Selangor baru-baru ini.

Hasil pendapatan sebagai stokis, Alfieya Hanuum berjaya membuka dua buah kedai jamu dengan jenama Ori Murah di Kinrara dan Bachang, Melaka pada tahun 2010.

Jelasnya, sewaktu menguruskan kedai jamu, dia berpeluang berkenalan lebih rapat dengan pengusaha-pengusaha produk kecantikan di negara ini.

Hasil daripada pengenalan tersebut telah mendorongnya untuk memiliki produk kecantikan dan penjagaan rambut sendiri pada tahun 2013.

“Saya terpanggil untuk mempunyai produk sendiri adalah hasil ilham daripada kejayaan Datuk Aliff Syukri Kamarzaman dan Datuk Seri Vida dalam bidang ini.

“Lagipun sampai bila saya perlu mempromosi dan menjual produk orang lain. Lebih baik buat produk sendiri dan jual ,” tegasnya.

Alfieya Hanuum memberanikan diri dengan melabur wang lebih RM100,000 bagi menghasilkan produk kecantikan muka serta penjagaan rambut.

Menariknya, modal tersebut adalah hasil daripada keuntungan sebagai stokis dan kedai jamu.

“Saya buat produk ini tanpa sebarang pinjaman daripada kerajaan atau orang perseorangan.

“Sebaliknya, saya guna wang simpan sendiri, tanpa ada sedikit pun rasa takut sekiranya modal berkenaan hangus begitu sahaja,” katanya.

Ceritanya, pada peringkat awal sebagai usahawan, dia dan suaminya, Mohammad Nadzri Md. Yusof, 37, terpaksa menghantar produk sendiri kepada pengguna.

Jelasnya, ia disebabkan tiada kedai jamu yang menjual produknya dan selain jumlah stokis masih terhad.

“Setiap kali pulang ke kampung di Johor Bahru, saya akan singgah di beberapa kawasan untuk menghantar barang kepada stokis dan pembeli,” katanya.

Cabaran

Sebagai usahawan ada masanya untung dan rugi, Alfieya Hanuum juga tidak terkecuali daripada lumrah tersebut.

Dia pernah mengalami kerugian ribuan ringgit apabila terdapat stokis yang tidak membayar hasil jualan.

“Saya pernah rugi besar dek sikap stokis yang tidak jujur. Pernah juga staf saya sendiri mencuri duit jualan.

“Pada saya, semua yang berlaku merupakan sebahagian daripada adat dalam perniagaan,” tegasnya.

Masalah tersebut menyebabkan Alfieya Hanuum terpaksa meneroka potensi jualan menerusi dalam talian bagi mengurangkan kebergantungan kepada stokis dan kedai jamu.

Ujarnya, sejak dua tahun lalu, dia semakin giat menjual dan mempromosi menerusi produk menerusi platform media sosial dan YouTube.

“Alhamdulillah, dengan teknologi terkini, kebergantungan kepada stokis semakin berkurangan sekali gus dapat meminimumkan kerugian.

“Jualan dalam talian lebih mudah dan cepat. Malah, pengguna boleh mendapatkan produk di mana-mana sahaja tanpa perlu ke kedai atau berjumpa stokis,” jelasnya.

Memandangkan terlalu ramai usahawan yang menjual produk kecantikan dan penjagaan rambut dalam talian, Alfieya Hanuum mengakui persaingan sangat hebat.

Jualan meningkat

Justeru, wanita berkulit mulus itu sentiasa berusaha melakukan pelbagai promosi menarik dan tawaran hadiah percuma kepada para pelanggannya.

Katanya, dia sering melakukan promosi dan iklan di dalam laman sosial dan YouTube sambil mendapatkan maklum balas daripada pengguna menerusi ruangan komen.

“Saya pernah menawarkan seutas rantai emas bernilai ribuan ringgit kepada pelanggan bertuah yang membeli produk Elysya dan Nafieya.

“Alhamdulillah, hasil daripada tawaran hadiah dan promosi yang diadakan, jualan produk saya meningkat lebih sekali ganda,” jelasnya.

Alfieya Hanuum kini boleh berbangga apabila salah satu produk penjagaan rambutnya iaitu syampu santan bidara berjaya dijual lebih 500,000 unit selepas diperkenalkan pada awal tahun ini.

Dia juga menggaji seramai 12 orang bagi menguruskan pejabat, menjual produk dan menjaga kedai Ori Murah.

Mengulas mengenai rutin harian, Alfieya Hanuum memaklumkan, setiap hari dia akan masuk ke pejabat di Kinrara bagi menguruskan pesanan dalam talian.

Ujarnya, pada sebelah petang, dia akan keluar mengambil stok barang daripada kilang di Melaka sebelum menghantarnya kepada stokis-stokis di sekitar Lembah Klang.

Meskipun sibuk menguruskan jualan dan kedai, namun Alfieya Hanuum sama sekali tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu kepada empat orang anak.

Maklumnya, setiap hari dia dipertanggungjawabkan menghantar dan mengambil anak-anaknya dari sekolah atau kelas tambahan.

“Sebagai usahawan, masa saya tidak terikat. Jadi, saya boleh hantar dan ambil anak dari sekolah.

“Pada hujung minggu, saya lebih selesa meluangkan masa bersama anak-anak di rumah dan masak makanan kegemaran mereka,” jelasnya.

Persaingan sengit dalam industri penjagaan muka dan rambut membuatkan pengasas produk Elysya dan Nafieya, Alfieya Hanuum Kamal Ridzwan tidak mudah mengalah, malah mempelbagaikan tawaran kepada pelanggan.