Justeru, sewajarnya kita beradab dengan Allah sebagaimana dijelaskan Syeikh Ibnu ‘Atha’illah as-Sakandari iaitu:

“Janganlah kamu menuntut dan mendesak Tuhanmu dengan sebab kelewatan tertunainya apa yang kami tuntut daripada-Nya. Namun, tuntut dan desaklah dirimu sendiri dengan sebab kelewatan dan keburukan adabmu (bersama-Nya).”

Dalam hal ini, seorang hamba tidak berhak mengkritik Maha Pencipta atau buruk sangka terhadap Allah. Dia tidak berhak ditanya tentang apa juga yang dilakukan-Nya.

Allah berfirman dalam surah al-Anbiya ayat 23 yang bermaksud: “Allah tidak berhak ditanya tentang apa jua yang Dia lakukan, sebaliknya merekalah yang akan ditanya kelak.”

Ibnu Juraij pernah mengungkap: “Seluruh makhluk tidak berhak mempersoalkan takdir, hukum dan ketetapan Allah bagi makhluk-Nya. Sebaliknya, Dialah yang akan menyoal dan menghisab segala amalan mereka kerana mereka adalah hamba-Nya.”

Sayyid Quthub pula berkata: “Hanya Allah yang mengetahui, mentadbir dan menguasai segala sesuatu. Dialah juga yang berkuasa mengatur, mentadbir dan memutuskan setiap perkara.”

Dalam pada itu, Syeikh Ibnu Abbad turut menerangkan bahawa keburukan adab hamba dengan Tuhannya ketika persoalan doa terdapat dalam tiga bentuk.

Pertama

Tindakan seseorang hamba berdoa supaya doanya diperkenankan lalu hasratnya tercapai. Ini boleh mencacatkan kesempurnaan ubudiyyah (pengabdian kepada Allah) hamba tersebut.

Ini kerana menurutnya: “Janganlah (kamu anggap) tuntutanmu menjadi sebab kurniaan-Nya (jika demikian anggapanmu), maka kuranglah kefahamanmu tentang Tuhanmu.

“Sebaliknya hendaklah tuntutanmu bertujuan untuk menzahirkan ubudiyyah dan melaksanakan hukum-hukum rububiyyah (yang menitikberatkan tanggungjawab manusia sebagai khalifah terhadap alam sekitar).”

Kedua

Kepercayaan hamba bahawa doanya tidak diperkenankan kerana penerimaan doanya tidak zahir kepadanya sedangkan penerimaan doa tidak semestinya zahir kepada hamba.

Adakalanya ia disembunyikan Allah kerana sesuatu hikmah yang hanya diketahui oleh-Nya.

Ketiga

Perbuatan hamba mengkritik Allah pada hukum-Nya dan mendesak Tuhannya apabila penerimaan doanya terlambat. Inilah keburukan adab paling teruk.

Ini kerana sesungguhnya menurut Syeikh al-Buthi, terdapat perbezaan antara tuntutan dan doa memandangkan doa adalah tunjang ibadat.

Tambah beliau, tuntutan atau desakan yang dizahirkan pula disebabkan oleh hawa nafsu dan syahwat.