Sungguhpun mempunyai masalah pertuturan, dia dengan wajah ceria pantas menyebut horse apabila ditunjukkan gambar kuda oleh gurunya Shazini Ahmad yang juga merupakan jurupulih cara kerja di pusat intervensi awal kanak-kanak dikenali sebagai Animals For Young.

“Tetapi dia belum pernah melihat kuda sebenar. Jika dia dapat menyentuh dan menunggang kuda tentu dia lebih teruja,” kongsi Shazini ketika ditemui Kosmo! pada program Horses for Young di pusat beli-belah, IOI City Mall, Putrajaya baru-baru ini.

Berbeza pula dengan seorang lagi kanak-kanak lelaki yang hanya ingin dikenali sebagai Yoong, 5. Dia menangis apabila diletakkan di atas belakang seekor kuda yang dibawa khas sempena program tersebut.

Kempen autisme

Namun, apabila kuda yang dipanggil Koko itu mula berjalan, dia lebih tenang dan ceria apabila dibawa mengelilingi laluan berumput di pekarangan luar pusat beli-belah berkenaan sambil dibantu empat pembantu berpengalaman dari Taman Ekuestrian Putrajaya.

Pengasas Animal For Young, Dr. E Joon Khew menjelaskan, kajian mendapati aktiviti menunggang kuda mampu menguatkan otot dan meningkatkan keyakinan diri bukan sahaja kepada kanak-kanak malah orang dewasa.

Katanya, sebelum mendekati kuda sebenar, kanak-kanak melakukan aktiviti berkaitan ekuin seperti menghasil dan mewarnakan boneka kuda.

“Aktiviti sedemikian akan membantu membina kemahiran motor halus dan mengalakkan integrasi sensori dengan koordinasi tangan dan kaki serta daya imaginasi kanak-kanak.

“Kita juga boleh menggalakkan kanak-kanak supaya berkomunikasi dengan ibu bapa atau penjaga mereka sewaktu berkarya,” ujarnya.

Program yang diadakan selama tiga hari iaitu dari 16 hingga 18 Ogos lalu itu menyasarkan kanak-kanak berkeperluan khas seperti serebral palsi, gangguan hiperaktif dan kurang tumpuan (ADHD) dan sindrom Down selain kanak-kanak normal yang ingin berjinak-jinak dengan kegiatan berkuda.

Ia juga merupakan sebahagian kempen untuk meningkatkan kesedaran mengenai autisme terutamanya dalam menyebar pengetahuan positif dan memupuk penerimaan masyarakat terhadap golongan tersebut.

Sementara itu, pengasas The Hope Factory, Tengku Munazirah Tengku Abdul Samad Shah Al-Haj yang merasmikan program tersebut berpendapat, ibu bapa perlu berani bereksperimentasi dengan pendekatan berbeza dalam mendidik anak-anak istimewa.

“Ia perlu dilakukan secara bertahap. Daripada mereka tidak mampu buat langsung terutamanya jika ia perkara baharu buat anak-anak seperti terapi menunggang kuda sebegini.

“Apa yang penting cuba rangsang kebolehan atau potensi yang mungkin dia tidak nampak atau sedar bahawa mereka mampu melakukannya sebelum ini,” tutur Tengku Munazirah yang merupakan anakanda saudara Sultan Selangor, Seri Paduka Baginda Sultan Sharafudin Idris Shah.