Kelompok masyarakat yang tiada tempat tinggal semakin meningkat dari semasa ke semasa sehinggakan hampir tiada lagi ruang untuk mereka di rumah-rumah perlindungan.

Justeru, tema gelandangan diangkat dalam pameran fotografi berkonsepkan seni gerila jalanan bersempena dengan Roots Festival yang diadakan di Padang Kota Lama, George Town, Pulau Pinang baru-baru ini.

Pengarah projek yang juga pempamer, Syaiful Redzuan Md. Noor, 38, berkata, tema itu dipilih untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan masyarakat, sekali gus menutup persepsi liar terhadap golongan berkenaan.

“Ramai orang terlepas pandang kelompok ini. Bilangan mereka semakin meningkat dari sehari ke sehari sehinggakan rumah tumpangan yang ada hampir tidak mencukupi.

Merempat

“Golongan tidak berumah ini pelbagai. Ada yang bekerja tetapi gagal mencari kediaman yang sempurna untuk didiami dan keadaan itu berlarutan sehingga mereka berasa selesa.

“Ada juga sebahagian daripada mereka yang merempat kerana faktor kemiskinan dan lagi malang, tidak bekerja serta menjadi kutu rayau,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Mendapat sokongan penuh daripada kerajaan negeri Pulau Pinang, pameran yang julung-julung kalinya menggunakan kaedah cetakan gambar di atas kanvas sintetik itu disertai oleh 11 orang jurugambar dengan jumlah 25 buah karya terpilih.

Rata-rata pempamer menghasilkan karya secara bersiri yang menceritakan kisah tersendiri melalui pengalaman mereka merakamkan momen-momen gelandangan.

Pembantu galeri, Zulfadhli Zaki, 32, berkata, dia tertarik untuk menyertai pameran itu kerana mahu membuka mata banyak pihak dalam mencari penyelesaian berkaitan golongan gelandangan yang tidak berkesudahan.

“Empat tahun saya mengikuti kehidupan seharian golongan ini. Mereka sebenarnya mahukan kehidupan yang lebih baik tetapi dugaan yang datang menyebabkan harapan mereka sering tersekat dan sering berakhir dengan kekecewaan,” katanya.

Sementara itu, Adli Ghazali, 35, berkata, karyanya yang mengisahkan seorang lelaki tua berusia 75 tahun yang menunjukkan keazaman tinggi untuk meneruskan kehidupan selepas berhijrah dari Pontian, Johor ke Kuala Lumpur.

Hidup sendiri

“Pada awalnya, dia tinggal menumpang di rumah saudara, namun kehadirannya bagaikan tidak disenangi sebelum mengambil keputusan untuk hidup sendiri.

“Pada saya, dia sebenarnya mempunyai tempat tinggal tetapi bukan ‘rumah’. Tidak meminta sedekah, lelaki itu sebaliknya menjual tin kosong dan kotak untuk meneruskan kelangsungan hidupnya.

“Mungkin usaha untuk membantu golongan-golongan ini perlu diperkuatkan kerana mereka tidak seteruk yang disangkakan,” katanya.

Dalam pada itu, bertindak sebagai Pengurus Projek, Roots Festival, Hafidz Adnan, menyifatkan pameran itu secara keseluruhannya berkisar kepada ikhtiar hidup golongan yang tidak berumah.

“Idea mereka untuk pameran ini amat baik. Senario yang biasa dilihat, namun tidak pernah kita cuba mendalami krisis mereka. Saya tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberi terutamanya dengan pelbagai program menarik pada Roots Festival yang dihadiri hampir 14,000 pengunjung,” katanya.