Peristiwa ini jelas disebut dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud:

“Bulan Ramadan diturunkan al-Quran padanya hidayah untuk manusia dan keterangan daripada petunjuk dan membezakan kebenaran serta kebatilan.”

Ia juga disebut dalam surah al-Qadar dan pada awal surah ad-Dukhan.

Kalam Allah ini diturunkan pada bulan yang suci dan Rasulullah SAW setiap kali tibanya Ramadan, baginda akan bertalaqqi serta bertadarus sehingga khatam sekali setiap tahun kecuali pada tahun baginda wafat.

Rasulullah khatam sebanyak dua kali, perkara ini disebut dalam hadis al-Bukhari.

Pada hadis yang lain, baginda bertadarus pada waktu malam dengan Jibri.

Pada pada waktu siang, baginda bersedekah lebih laju daripada angin yang bertiup.

Ini jelas menunjukkan bahawa pembaca al-Quran dan penghafalnya tidak akan fakir bahkan mendapat rezeki yang lebih sehingga dapat menyalurkan rezekinya kepada orang lain.

Bagaimana pula dengan orang yang mengajar al-Quran dan beramal dengannya? Sudah tentu kedudukannya lebih tinggi.

Pada hemat saya, amat rugi jika umat Islam tidak merebut peluang tahunan yang diberi ‘bonus lumayan’ daripada Allah. Terlalu rugi bagi sesiapa yang langsung tidak pandai membaca al-Quran dan enggan mempelajarinya.

Dalam hadis menyebut bahawa dua perkara yang sentiasa dilakukan oleh Rasulullah berganda dan berterusan pada bulan Ramadan selain solat tarawih ialah tadarus hingga khatam serta bersedekah pada siangnya.

Hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari, Ahmad dan an-Nasai. Imam an-Nawawi berkata, faedah daripada hadis tersebut ialah suruhan memperbanyakkan tilawah al-Quran pada bulan Ramadan kerana ia lebih afdal daripada semua zikir, jika zikir lebih afdal daripada tilawah sudah tentu Nabi dan Jibril akan melakukannya.

Tilawah

Bacaan al-Quran yang dinamakan ibadah adalah melalui talaqqi dan musyafahah, khatam serta menepati kaedah ilmu Qiraat. Ini yang dimaksudkan dengan rukun tilawah al-Quran.

Dalam kitab an-Nasy fi Qiraat al-‘Asyr, Imam al-Jazary mempertikaikan mana yang lebih afdal membaca al-Quran yang laju dan banyak atau lambat dan sedikit tetapi tartil, beliau menjawab ramai yang mengatakan banyak lebih baik tetapi bagi kami tartil lebih baik walaupun sedikit.

Pembaca al-Quran terbahagi kepada empat golongan. Pertama, mereka yang lancar dan mahir, kedua lancar dan tidak mahir, ketiga tidak lancar dan keempat tidak tahu membaca al-Quran. Golongan keempat paling rugi di dunia dan akhirat.

Golongan pertama perlu dijadikan sebagai guru atau penyemak pada halaqah tadarus manakala golongan kedua dan ketiga ialah pembaca yang belajar dan menerima teguran guru.

Golongan keempat wajib membuat langkah pertama iaitu pergi ke kelas al-Quran untuk mengubah nasibnya. Pada saat jasad bertemu tanah, kala itu penyesalan tidak berguna lagi.

Bagi menghidupkan Ramadan, para ahli jawatankuasa masjid perlu mencari dan mengenal pasti individu yang layak menjadi guru pada halaqah tadarus, supaya majlis ini memberi kesan positif pada kumpulan halaqah pada bulan berikutnya.

Bagi yang langsung tidak mendapat peluang di atas, maka bacalah sekadar yang mampu dan paling penting ialah niat azam mahu mempelajari al-Quran. Ia perlu pada niat yang ikhlas maka kejayaan wujud pada langkah yang terakhir.

Wahai umat Islam, belajarlah al-Quran dan ajarkanlah kerana ia adalah sebaik-baik amalan dan dijanjikan syafaat di akhirat kelak. Ajarilah anak-anakmu dengannya, nescaya kamu dan keluargamu terselamat daripada sentuhan api neraka. Wallahua’lam.

Penulis ialah pensyarah 
al-Quran dan Qiraat, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.