Begitulah yang dialami oleh Mawarni Namli apabila kekacang yang diminatinya sejak kecil menjadi sumber rezekinya.

Berasal dari Kampung Berchang, Lipis, Pahang, wanita berusia 36 tahun itu merupakan seorang usahawan berjaya dengan hanya menjual kacang tanah bersalut tepung dalam botol 250 gram.

Membuka cerita, Mawarni yang merupakan seorang graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor pernah melalui detik gelap dalam hidupnya semasa mula berniaga.

“Tidak semuanya indah ketika mula berniaga. Saya melaburkan banyak wang sebagai modal dan ia tidak berjaya membuatkan saya sedikit sebanyak patah hati untuk meneruskan perniagaan.

“Sudah hampir enam tahun saya mencuba bidang ini dan syukur akhirnya saya kini memiliki sebuah perniagaan kacang tanah yang semakin berkembang terutamanya di Semenanjung Malaysia,” ujarnya ketika ditemui Pesona baru-baru ini.

Mawarni mula memasuki bidang perniagaan kira-kira enam tahun lalu dengan menjadi stokis kepada sebuah produk kesihatan sebelum mula menjual kacang tanah pada tahun 2014.

Mendapat resipi daripada seorang rakan lamanya, Mawarni kemudiannya memulakan perniagaan tersebut di bawah label Wany’s Snack selepas kecewa kerana perniagaan gerai makanan yang dibukanya di kampung menemui jalan buntu.

Jelas wanita yang sudah enam tahun berkahwin itu, ketika memulakan perniagaan tersebut, dia hanya membuat 10 kilogram kacang setiap hari.

Meminjam

“Ketika mula berniaga kacang ini, banyak perkara yang menguji kesabaran saya dan suami, Mohd. Sazali Zain Rashid. Antaranya, kami terpaksa meminjam van kawan-kawan dan saudara, pernah mengalami kemalangan yang menyebabkan botol-botol kaca saya pecah dan kekurangan kemudahan untuk menyediakan kacang itu,” keluhnya.

Merupakan seorang yang ceria dan positif, Mawarni tidak patah semangat walaupun bermacam-macam jenis perniagaan diceburinya menemui kegagalan.

“Berniaga umpama sudah menjadi darah daging dan saya sangat meminati bidang ini. Walaupun saya tahu risiko berniaga, saya tetap meneruskan niat itu walaupun pernah dihalang bapa saya suatu ketika dahulu.

“Siapa sangka, rezeki saya selama ini rupanya terletak pada jualan kekacang dan ia boleh dikembangkan lagi ke beberapa cabang lain,” ujar wanita itu.

Tambah Mawarni, pada mulanya dia hanya menjual kacang berperisa asli sebelum ditambah kepada kacang licin madu, kacang rangup dan kacang cili padi.

Mawarni telah mencapai jumlah jualan sebanyak 80 tan kacang pada tahun lalu dan kini menyasarkan untuk menembusi pasaran baharu iaitu Sabah dan Sarawak.

Kacang berkualiti

Namun begitu, perniagaan kacang tersebut pernah melalui zaman suram.

Katanya, pada tahun 2017, dia terpaksa memberhentikan penjualan kacang selama dua bulan sebelum mendapat semangat untuk memulakannya semula.

“Pada ambang saya mula menempa nama dalam bidang perniagaan kacang ini, sekali lagi saya diduga. Pada tahun tersebut, saya berhadapan dengan masalah kualiti kacang yang tidak memuaskan.

“Kualiti kacang yang dihasilkan pihak kilang menurun sehingga menjejaskan dengan teruk jualan kacang saya. Saya kemudiannya membuat keputusan untuk memberhentikan jualan kacang sehingga mendapat pembekal baharu,” jelas Mawarni yang kini mempunyai lebih 500 ejen dan stokis.

Dia mengambil masa selama dua bulan untuk mencari kilang baharu yang mampu menghasilkan kacang berkualiti.

“Syukur kerana selepas perkara tersebut, kami berusaha dengan keras dan akhirnya mencapai jumlah 80 tan kacang pada tahun 2018 sahaja. Pada tahun ini, sasaran saya untuk mencapai 100 tan kacang,” jelas Mawarni.

Produk-produk kacang Mawarni boleh didapati di kebanyakan stesen minyak seluruh negara pada harga RM10 sebotol.