Sebaliknya, apabila kamu diberi sesuatu pemberian, itulah halangan-Nya.

Oleh itu, pilihlah (kezuhudan) dengan meninggalkan (kemewahan dunia dan tidak mengambilnya).

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud:

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia baik bagimu. Boleh jadi kamu sukakan sesuatu, padahal ia buruk bagimu. Allah mengetahui (segala sesuatu), padahal kamu tidak mengetahui (apa-apa melainkan sekadar kehendak-Nya.”

Justeru, Syeikh Ibnu ‘Atha’illah as-Sakandari rhm., berkata dalam kitab Hikamnya:

“Apabila Allah telah membukakan bagimu pintu kefahaman tentang halangan pemberian-Nya (terhadapmu), pastilah halangan pemberian itu bertukar (pada pandangan dan kefahamanmu) menjadi pemberian sebenar.”

Dalam hal ini, kefahaman yang dikurniakan Allah tentang hikmah, kebijaksanaan dan rahsia tertentu di sebalik halangan pemberian-Nya akan menukarkan halangan pemberian itu menjadi suatu kurniaan.

Syeikh Zarruq pula berpandangan: “Ini kerana halangan pemberian itu akan mengembalikanmu kepada Tuhanmu dan menghubungmu kepada Tuhanmu dan menghubungmu dengan-Nya melalui pemeliharaan-Nya.

“Nikmat yang sebenar ialah yang menghubungmu dengan segala hakikat dan memutuskanmu daripada segala makhluk.”

Ujar beliau lagi, antara kesan-kesan kefahaman hamba terhadap Allah adalah wujudnya keredaan hamba itu kepada Tuhannya kerana keredaan Allah adalah sebuah syurga yang disegerakan dan kunci segala kebaikan.

Syurga dunia

Abdul Wahid Zaid rhm., berkata, keredaan merupakan pintu Allah yang paling agung, tempat rehat golongan abid dan syurga dunia.

Begitupun, ada kalanya kurniaan dan halangan Allah bercanggah dengan kehendak hamba kerana Allah lebih mengetahui apa yang terbaik bagi setiap hamba-Nya.

Anas Malik meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW yang bersabda: “Sesungguhnya kesabaran yang sebenar itu ialah pada awal ditimpa musibah.”

Diceritakan bahawa seorang lelaki soleh membela tiga ekor haiwan iaitu anjing, ayam dan keldai.

Pada suatu hari, anjingnya mati lalu dia berkata:

“Alhamdulillah baik.” Pada hari lainnya, ayamnya pula mati lalu dia berkata: “Alhamdulillah baik” dan begitu juga ketikanya keldainya mati.

Pada suatu malam, datang sekumpulan perompak ke kampung lelaki tersebut lalu mereka merompak seluruh penduduk kecuali rumahnya kerana menyangka rumah itu tiada penghuni lantaran tiada bunyi haiwan.

Ia menyebabkan nyawa dan harta benda lelaki itu diselamatkan Allah di sebalik musibah yang menimpanya.

Pengajaran daripada kisah berkenaan ialah boleh jadi natijah pemberian atau halangan yang menjadi ujian kepada seseorang itu tidak jelas kepadanya sama ada sekarang atau pada masa hadapan.

Namun, kepercayaan hamba kepada kebijaksanaan dan rahmat Allah akan merehatkan jiwa serta menenangkan hatinya.