Ia bagi mensyukuri nikmat Ilahi yang telah menjadikan lidah orang yang memberi pujian itu di samping Allah menutup keburukan dan mendedahkan kebaikan orang berkenaan.

Usah terpedaya dengan pujian orang supaya tidak binasa dengan kerananya seperti diriwayatkan al-’Askari dalam al-Mawa’izh dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Imam yang bermaksud:

“Apabila Abu Bakar r.a dipuji, beliau berdoa: Ya Allah! Engkau lebih mengetahui tentang diriku daripada diriku sendiri. Aku pula lebih mengetahui tentang diriku daripada mereka.

“Ya Allah jadikanlah aku lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan. Ampunkanlah bagiku apa yang mereka tidak ketahui. Janganlah Engkau menghukumku dengan sebab apa yang mereka katakan.”

Apabila orang zuhud dipuji, mereka berasa susah hati kerana bimbang akan terpedaya sehingga putus hubungan dengan Allah. Sebabnya, mereka melihat pujian itu daripada makhluk.

Berhubung dengan pujian dan celaan orang, Syeikh Ibu ‘Ajibah rhm., menyatakan, manusia terbahagi kepada tiga golongan.

Golongan pertama ialah mereka berasa gembira dengan pujian dan membenci celaan kerana mereka dikalahkan oleh nafsu mereka. Mereka ialah golongan awam yang lalai.

Golongan kedua pula membenci dan pujian dan menyukai celaan kerana mereka bermujahadah melawan nafsu.

Justeru, mereka sukakan setiap perkara yang menyakiti dan membunuh nafsu. Mereka adalah para abid, ahli zuhud dan murid yang melalui jalan akhirat.

Mendapat makrifat

Golongan ketiga pula berasa gembira dengan pujian kerana mereka melihat pujian itu daripada Allah kerana mereka hanya menyaksikan Allah semata-mata dalam segala perkara. Mereka adalah golongan ariffin (mereka yang arif dan mendapat makrifat daripada Allah).

Pandangan mengenai golongan ketiga sejajar dengan kata-kata ulama hadis, Abu Thalib al-Makki rhm., yang berkata:

“Dalam pujian manusia itu ada jalan bagi orang yang arif (untuk mendekatkan diri kepada Tuhannya) dengan cara iman yang tinggi kepada Tuhan Yang Maha Tinggi, lalu dia bergembira dengan pujian itu kerana Tuhannya.

“Dia juga menyandarkan pujian itu kepada Tuhannya yang memelihara segala urusannya.

“Dengan itu, dia mengembalikan segala perbuatan kepada Pembuatnya dan menyaksikan di sebalik setiap ciptaan akan Penciptanya.

“Akhirnya, ia menjadi pujian kepada Pencipta tanpa mereka melihat kepada diri sendiri atau kagumnya (kepada diri sendiri).”

Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan Imam al-Bukhari, Rasulullah bersabda:

Seorang lelaki telah memuji seorang lelaki lain di sisi Nabi Muhammad, lalu baginda menegur: “Binasalah kamu! Kamu telah memenggal leher kawanmu.”

Baginda mengulanginya beberapa kali, kemudian bersabda lagi:

“Sesiapa dalam kalangan kamu hendak memuji saudaranya tanpa dapat dielakkan, maka hendaklah dia berkata: Saya menganggap si polan (begini, begini) sedangkah Allah mengetahui hakikatnya.”