Hidangan yang menjadi kegemaran wanita berusia 68 tahun itu ialah air berkorbonat dalam botol kaca dan roti canai telur sebanyak dua keping.

Gabungan menu tersebut diambil oleh Kamalam bagi memberi tenaga sewaktu melakukan tugas.

Rutin harian tersebut bermula sejak dia berusia 20 tahun sebelum jatuh sakit akibat keletihan teruk selepas 17 tahun.

Hasil ujian kesihatan yang dilakukan, ibu kepada dua cahaya mata itu disahkan menghidap kencing manis dan darah tinggi.

Pada masa sama, doktor turut mendapati dia menghadapi masalah kegagalan buah pinggang tahap tiga.

“Sejak kecil saya tidak mengamalkan gaya hidup sihat. Inilah jadinya selepas usia meningkat dan badan kian lemah.

“Jika boleh undur masa, saya tidak mahu minum minuman berkarbonat dan makan makanan berminyak,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di NKF-Berjaya Resource Centre, Petaling Jaya, Selangor sempena Hari Buah Pinggang Sedunia (WKD) 2018 baru-baru ini.

Bagaimanapun, sejak enam tahun lalu kegagalan buah pinggang Kamalam kian kronik akibat daripada peningkatan umur.

Atas nasihat doktor, wanita berasal dari Petaling Jaya itu disaran supaya menjalani rawatan dialisis selama tiga kali seminggu.

Dialisis adalah proses yang dilakukan menggunakan mesin bagi membantu pengeluaran lebihan air serta bahan kumuh dalam darah dan mengimbangi elektrolit badan. Ia mengambil alih fungsi yang dimainkan oleh buah pinggang normal.

Menurut Kamalam, rawatan dialisis mengambil masa selama empat jam dengan kos sekitar RM200 setiap sesi.

Bagaimanapun, dia bertuah selepas Yayasan Buah Pinggang Malaysia (NKF), Petaling Jaya membantu membiayai kos rawatan dialisis.

“Hidup saya seperti sudah tidak bermakna lagi selepas disahkan mengalami kegagalan buah pinggang kronik atau tahap akhir.

“Saya perlu menjalani rawatan dialisis sepanjang umur. Jika tidak, badan saya akan dijangkiti kuman,” katanya.

WKD 2018 disambut pada 8 Mac setiap tahun oleh para pesakit buah pinggang di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Bertemakan Include, Value, Empower, ia disambut meriah dengan pelbagai aktiviti bermanfaat di NFK-Berjaya Resource Centre.

Salah satu objektif penganjuran WKD adalah untuk memberi pendedahan dan ilmu kepada masyarakat mengenai penyakit buah pinggang.

Pensyarah Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Dr. Nor Fadhlina Yusof berkata, buah pinggang merupakan salah satu orang penting dalam tubuh badan manusia.

Faktor

Jelasnya, terdapat pelbagai faktor yang boleh menjadi penyebab kepada kegagalan buah pinggang yang kronik seperti pengambilan suplemen.

“Sejak kebelakangan ini, semakin ramai mengambil suplemen tanpa nasihat doktor terutamanya dalam kalangan wanita yang mengimpikan kecantikan.

“Kajian menunjukkan suplemen yang mengandungi bahan kimia berlebihan boleh memberi tekanan kepada buah pinggang. Ini sekali gus menyebabkan kegagalan fungsi buah pinggang,” katanya.

Tambahnya, pengambilan produk kecantikan yang mengandungi bahan merkuri berlebihan juga boleh memberi kesan negatif kepada buah pinggang.

Nor Fadhlina menjelaskan, ini kerana merkuri adalah bahan unik kerana ia mampu meresap masuk ke dalam tubuh badan manusia.

“Trend terkini menunjukkan golongan wanita semakin ramai mengalami kegagalan buah pinggang berbanding lelaki.

“Salah satu sebabnya adalah disebabkan oleh pengambilan bahan terlarang yang terdapat dalam produk kecantikan,” katanya.

Jelasnya, sebaiknya sebelum menggunakan sesuatu produk kecantikan, pastikan ia mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

Punca

Pada tahun 2016, sebuah laporan menunjukkan 64 peratus atau dua pertiga daripada penduduk Malaysia menghidapi masalah buah pinggang.

Menurut Nor Fadhlina, penyebab lain kepada kegagalan buah pinggang adalah kencing manis dan darah tinggi.

Dia memberitahu, pengambilan gula berlebihan dalam minuman akan menyebabkan masalah protein dalam air kencing.

“Protein dalam air kencing adalah salah satu tanda awal yang menunjukkan buah pinggang tidak dapat berfungsi dengan baik,” katanya.

Antara punca lain yang dikenal pasti menjadi punca kepada kegagalan buah pinggang kronik adalah faktor penuaan, keturunan, merokok dan obesiti.

Sementara itu, Pengurus Konsultan Medi Diastika Sdn. Bhd., Nizam Yusof menyeru supaya orang ramai membuat pemeriksaan kesihatan secara berkala.

Jelasnya, pemeriksaan darah dan air kencing dapat membantu mengesan masalah buah pinggang lebih awal.

“Masalah buah pinggang hanya dapat disahkan selepas melalui pemeriksaan darah dan air kencing dalam makmal.

“Sekiranya seseorang mempunyai tanda-tanda awal seperti cepat letih dan buang air kecil dengan kerap, mereka digalakkan untuk membuat pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Pengesanan awal

Menurut Nizam, pengesanan awal kegagalan buah pinggang dapat membantu pesakit untuk mengambil langkah perlu bagi mengelak ia menjadi lebih kronik.

Katanya, jika ia berjaya dikesan pada tahap satu dan dua, pesakit masih mempunyai harapan untuk tidak melakukan rawatan dialisis.

“Pesakit buah pinggang tahap satu dan dua sukar dikesan kerana ia tidak mendatangkan sebarang masalah pada tubuh badan.

“Namun, pada tahap tiga, ia akan mula menunjukkan kesan seperti keletihan dan kencing kerap. Tahap kelima, pesakit perlu menjalani rawatan dialisis,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, amalan gaya hidup sihat dapat membantu mencegah kegagalan buah pinggang kronik.

Dia memberitahu, gaya hidup sihat merangkumi aspek pemakanan sihat, bersenam 30 minit sehari dan elak minuman beralkohol.

Hasil kajian menunjukkan 64 peratus atau dua pertiga daripada rakyat Malaysia menghadapi masalah buah pinggang.