Selain persediaan kelengkapan ibadat seperti telekung, kain ihram dan barangan keperluan diri, persiapan daripada sudut kesihatan juga diperlukan bagi menjamin kesempurnaan amalan serta memperoleh umrah yang mabrur.

Dalam hal ini, pengambilan suntikan vaksin meningokokus kuadrivalen merupakan antara syarat wajib untuk bakal jemaah mendapat kelulusan visa.

Ini kerana perhimpunan besar umat Islam dari seluruh dunia untuk mengerjakan ibadah itu boleh meningkatkan risiko mereka mendapat jangkitan yang membawa maut seperti wabak penyakit meningokokus.

Ia merupakan penyakit radang pada bahagian meninges iaitu selaput otak dan saraf tunjang yang boleh membawa maut.

Oleh sebab itu, sejak tahun 1988, kerajaan Arab Saudi telah mewajibkan bakal-bakal haji dan umrah mendapatkan vaksin tersebut.

Pakar Perunding Kanan Respiratori Hospital Kuala Lumpur, Datuk Dr. Abdul Razak Abdul Muttalif berkata, penyakit disebabkan bakteria Neisseria meningitides itu boleh menyebabkan komplikasi serius seperti radang selaput otak dan saraf tunjang atau meningitis.

“Ia juga boleh menjadi punca berlakunya septisemia atau jangkitan kuman dalam darah. Situasi ini boleh menyebabkan risiko kecacatan kekal, pekak, kecacatan saraf dan kehilangan anggota badan.

Merebak

“Dalam hal ini, kadar risiko kematian bagi kedua-dua komplikasi itu masing-masing mencecah sehingga 10 peratus dan 40 peratus,” ujarnya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan Immunie4Life di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bekas Ketua Pasukan Perubatan Tabung Haji itu menambah, bakteria tersebut merebak melalui cecair saluran pernafasan apabila jemaah bersin, batuk, berkongsi garfu, sudu dan sebagainya.

Sebahagian individu yang terdedah kepada bakteria itu akan mendapat penyakit manakala sebahagian lagi menjadi pembawa bakteria tersebut.

Ini kerana ia mudah merebak apabila terdapat terlalu ramai orang yang menetap atau berkumpul di satu-satu kawasan.

Pensyarah Perubatan dan Penyelidik Kesihatan Jemaah Haji, Dr. Mohd. Suhaimi Ab. Wahab berkata, kajian sebelum vaksin diwajibkan mendapati peratusan pembawa kuman meningokokus meningkat daripada 2.6 peratus kepada 53 peratus selepas jemaah mengerjakan ibadat di Tanah Suci.

“Jemaah menjadi pembawa bakteria meningokokus bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi mengancam individu di sekeliling mereka terutamanya golongan berisiko tinggi seperti pesakit kronik dan kanak-kanak berusia bawah lima tahun apabila pulang ke negara masing-masing.

“Oleh sebab itu, pemberian vaksinasi seumpamanya penting untuk melindungi diri dan masyarakat,” ujar anggota Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia itu.

Mohd. Suhaimi berkata, mengikut garis panduan daripada kerajaan Arab Saudi, jemaah perlu menghantar sijil pengesahan pengambilan vaksin itu dan ia hanya sah dalam tempoh tiga tahun.

Vaksin juga perlu diambil sekurang-kurangnya 10 hari sebelum tarikh ketibaan di Tanah Suci.