Sesekali Muhammad Azrol Razi Mohd. Khairol menggunakan jari pada kedua-dua belah tangannya bagi menjawab soalan berkaitan operasi tambah dan tolak.

Apabila mendapat soalan berkaitan darab, dia tidak segan bertanya kepada salah seorang petugas di gerai Ez Mate.

Situasi itu sedikit sebanyak membantu memudahkan anak kelahiran Puchong itu menyelesaikan soalan tersebut selain menambah pemahamannya terhadap subjek Matematik.

Itulah sebahagian daripada suasana Program Festival Buku dan Kanak-Kanak (Fesbuk) 2018 yang berlangsung di pusat beli-belah itu baru-baru ini.

“Saya memang suka menyelesaikan soalan-soalan matematik. Tidak sangka pula, ada gerai yang memberikan tunjuk ajar mengenai penyelesaian matematik.

“Saya datang ke sini bersama ibu sambil melihat buku-buku,” katanya ketika ditemu bual Kosmo!

Program Fesbuk yang berlangsung pada 2 hingga 4 Februari lalu itu dianjurkan oleh PKNS Real Estate Sdn. Bhd.

Memasuki tahun keempat penganjuran, program tersebut diadakan bertujuan memupuk semangat membaca dalam kalangan masyarakat terutamanya kanak-kanak.

Pada tahun ini pihak penganjur memilih tema Adiwara Membaca bagi menambah ilmu pengetahuan dan menyelesaikan permasalahan yang dihadapi.

Antara adiwira tersebut ialah Ultraman Tiga dan Spiderman.

Jelas Muhammad Azrol, ia berjaya menaikkan semangatnya untuk membaca buku.

“Saya adalah peminat Spiderman. Semua filem dan kartunnya saya tengok. Kali ini, saya dapat jumpa depan-depan.

“Spiderman juga ada membantu saya tadi dalam menyelesaikan beberapa soalan matematik. Ia pengalaman yang menyeronokkan,” ujar anak tunggal itu.

Budaya membaca

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Noraida Mohd. Yusof berkata, Fesbuk diharap dapat membantu mewujudkan generasi muda yang gemar membaca.

Jelasnya, menerusi budaya membaca, negara mampu melahirkan lebih ramai individu berpengetahuan luas dan berfikiran kritis.

“Program ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan budaya kreativiti dan membina karakter kanak-kanak melalui pembacaan.

“Pada tahun ini, kami menjemput lebih 10 pengeluar buku kanak-kanak untuk membuka gerai di Fesbuk,” katanya ketika berucap merasmikan Fesbuk 2018.

Selain jualan buku, pelbagai aktiviti menarik khusus buat seisi keluarga disediakan oleh pihak penganjur.

Antaranya termasuklah tarian maskot, pertandingan mewarna, pertunjukan fesyen kanak-kanak dan perkongsian ilmu akupunktur.

Fesbuk 2018 turut diserikan dengan aktiviti mendaki dinding, menunggang skuter, pertandingan seni pasir, pemberian belon percuma dan program derma darah.

Sementara itu, salah seorang pengunjung, Norzuhaili Sarrif, 32, berkata, program tersebut memudahkan dia mendapatkan buku terbaik buat anaknya.

Wanita kepada dua orang cahaya mata itu memaklumkan, kebanyakan penerbit yang menyertai program tersebut mengetengahkan buku-buku berkonsep moden.

Jelasnya, buku berformat bergambar, audio dan lebih interaktif mampu menarik minat anak-anaknya untuk membaca.

“Di sini, saya baru tahu mengenai penggunaan teknologi AR (augmented reality) dalam penerbitan buku kanak-kanak.

“Teknologi ini dapat menarik minat anak saya untuk membaca buku. Jadi, mereka tidak hanya menghabiskan masa menonton televisyen,” katanya.