Antara dua hingga tiga minggu sebelum sesi persekolahan dibuka, mereka akan membawa anak-anak ke pusat beli-belah untuk mendapatkan kelengkapan tersebut.

Bagi Asmira Jamil, 41, menyiapkan kelengkapan persekolahan anak-anak menjadi satu rutin menjelang sesi persekolahan.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu juga akan pergi ke pusat beli-belah untuk mendapatkan kelengkapan persekolahan anak-anak terutamanya pakaian sekolah.

Namun sejak tahun lalu, Asmira yang tinggal di Kepong, Kuala Lumpur tidak lagi ke pusat beli-belah untuk berbuat demikian sebaliknya dia hanya ke kedai uniform sekolah Miracle Caliph yang terletak di Denai Alam, Shah Alam, Selangor untuk mendapatkan pakaian sekolah anak-anaknya.

Dia mengetahui kewujudan kedai tersebut selepas rakan-rakan dalam kumpulan WhatsApp berkongsi promosi yang ditawarkan di kedai tersebut.

“Harga uniform sekolah yang ditawarkan di kedai ini berpatutan selain fabriknya berkualiti.

“Kini setiap tahun saya akan datang ke sini untuk mendapatkan uniform sekolah anak-anak saya. Saya juga boleh mendapatkan uniform sekolah agama di sini,” jelasnya yang bekerja sebagai kerani.

Berkualiti

Tambahnya, setiap tahun dia akan berbelanja hampir RM800 untuk kelengkapan sekolah anak-anaknya di Miracle Caliph.

Dalam pada itu, Pengasas Miracle Caliph, Sofia Mansor menjelaskan, dia mengakui kadangkala ibu bapa terbeban dalam menyediakan kelengkapan persekolahan ana-anak.

Kenaikan kos sara hidup juga membuatkan ibu bapa terpaksa berjimat cermat untuk memastikan persiapan persekolahan kanak-kanak berjalan lancar.

Menurut Sofia, dalam membantu ibu bapa berjimat syarikatnya telah menyediakan uniform sekolah yang berkualiti tinggi dan ditawarkan pada harga yang berpatutan.

“Ada keluarga yang terpaksa berbelanja sehingga ratusan ringgit bagi mendapatkan uniform sekolah anak-anak. Kadangkala dalam berjimat mereka sebenarnya terbeli uniform yang berkualiti rendah dan tidak tahan lama.

“Tetapi di Miracle Caliph kami menawarkan fabrik uniform sekolah fabrik berkualiti tinggi. Fabrik ini diimport dari Korea Selatan,” katanya.

Daripada maklum balas yang diberikan oleh pelanggan rata-rata amat berpuas hati dengan fabrik yang digunakan. Selain ia mudah digosok dan warnanya juga tidak cepat pudar.

Pengalaman

Mengimbau bagaimana dia boleh terlibat dalam penghasilan uniform sekolah, Sofia menjelaskan, Miracle Caliph telah ditubuhkan pada tahun 2015.

Sebelum dia terlibat dalam perniagaan uniform sekolah, Sofia terlebih dahulu bekerja sebagai pengurus operasi di salah sebuah syarikat yang membekalkan pakaian.

Ketika bekerja di syarikat itu, Sofia menimba pengalaman cara-cara untuk membawa masuk barangan tersebut ke pasar raya.

Tetapi jodoh Sofia dengan syarikat itu tidak panjang atas sebab-sebab tertentu.

Sofia mengalami depresi ketika sedang mengandung anak ketiganya.

Dia mengalami depresi untuk beberapa bulan dan sepanjang tempoh tersebut Sofia sedar dia perlu melakukan sesuatu untuk terus bangkit.

Akhirnya Sofia mengambil keputusan untuk menjadi seorang pembekal uniform sekolah.

Tegasnya, idea-idea untuk menjadi pembekal uniform persekolahan timbul sejak dia bekerja dengan syarikat lama.

“Idea itu wujud ketika saya bekerja dengan syarikat lama dan belum sempat melaksanakannya.

Permintaan

“Akhirnya saya mengambil keputusan untuk menjalankan perniagaan membekal uniform sekolah untuk bangkit daripada kekecewaan. Bagi saya kejadian di tempat kerja lama mempunyai hikmah tersendiri,” katanya.

Perniagaan membekalkan uniform persekolahan dimulakan secara kecil-kecilan.

Sejak tiga tahun lalu, perniagaan yang dijalankan secara online itu membekalkan uniform asas sekolah.

“Ketika itu saya mengupah beberapa orang tukang jahit untuk menyiapkan tempahan baju sekolah.

“Pada tahun itu juga saya dapat membekalkan uniform sekolah di rangkaian pasar raya Econsave,” jelasnya.

Bermula dari situ, permintaan uniform sekolah yang dihasilkan oleh Miracle Caliph semakin meningkat.

Setelah dua tahun beroperasi di rumah, Sofia akhirnya mengambil keputusan untuk membuka sebuah kedai uniform sekolah di Denai Alam, Shah Alam, Selangor.

Pada masa sama dia telah membuka kilang menjahit pakaian bagi menampung permintaan yang semakin bertambah.

Kini dia mempunyai 15 pekerja yang membantunya untuk menghasilkan dan memasarkan uniform sekolah di bawah jenama Miracle Caliph.

Antara cabaran yang dihadapinya sebelum membuka kilang jahit sendiri ialah kawalan kualiti.

Ketika itu, dia banyak mengupah tukang-tukang jahit luar untuk menampung permintaan uniform sekolah.

“Bila mengupah tukang jahit luar sukar untuk saya mengawal kualiti dan ada masanya mereka tidak dapat menyiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

“Akhir saya mengambil keputusan untuk membuka kilang jahit sendiri dengan mengupah tukang jahit terlatih agar kualiti produk yang dihasilkan boleh dikawal,” tegasnya.

Dalam pada itu, kapasiti pengeluaran uniform sekolah yang dihasilkan Miracle Caliph juga semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Harga untuk uniform sekolah seperti baju dijual pada harga RM29, seluar RM31 dan tudung RM18.

Tegasnya, untuk tahun ini kapasiti pengeluaran akan ditingkatkan dalam mencapai sasaran jualan melebih RM1 juta.

“Selain mencapai sasaran jualan. Untuk tahun ini juga saya ingin memberi peluang kepada mereka di luar terutamanya suri rumah untuk menjadi ejen dan stokis untuk syarikat saya.

“Melalui cara ini mereka berpeluang untuk menambah pendapatan tambahan untuk keluarga,” jelasnya.

Tambahnya dia juga mempunyai perancangan pada masa hadapan untuk membuka beberapa kedai yang menjual uniform sekolah di lain-lain kawasan bagi membolehkan orang ramai mendapatkan jenama tersebut.

Pada masa sama, Sofia menjelaskan, pihaknya juga menawarkan pakej menarik kepada mereka yang ingin melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk memberi uniform sekolah kepada pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik untuk sesi persekolahan tahun hadapan.