Dia sedar, simptom-simptom yang dialami itu merupakan tanda awal diserang gastrik.

“Selalunya, saya akan makan ubat apabila diserang gastrik. Pada masa sama, saya turut mencuba kaedah alternatif dengan mengamalkan minuman air halia dan bawang putih.

“Bagaimanapun, kekangan tugas harian ditambah dengan anak yang semakin membesar menyebabkan saya tidak sempat untuk menyediakan air rebusan itu secara konsisten,” luah anak kelahiran Jerantut, Pahang itu ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Selepas anak tunggalnya, Muhammad Adam Daniyal, 3, atau lebih mesra dipanggil Daniyal berusia beberapa bulan, Marlia memutuskan untuk berhenti kerja sebagai seorang pereka hiasan dalaman bagi menjadi suri rumah sepenuh masa.

Wanita itu kemudiannya memilih untuk berniaga produk kesihatan berasaskan bahan semula jadi secara online di bawah pautan Leeya Marlia Ramli dan Daniyal Mom Shop.

Ketika sedang melayari akaun Facebook lebih tujuh bulan lalu, dia terjumpa artikel berkaitan produk Bawang Putih Crispy dan Serunding Halia Berempah keluaran Ibusue.

Selepas mencuba produk Bawang Putih Crispy dan Serunding Halia Berempah dia begitu menggemarinya.

“Sebagai seorang yang menggemari halia, walaupun ia sudah diproses menjadi serunding rasanya tetap sama seperti halia segar.

“Kepada mereka yang kurang menggemari halia, serunding yang dicampurkan dengan sedikit perisa ini memberikan rasa berbeza.

“Bagi saya, ia cukup enak dan sesuai dijadikan snek yang boleh dimakan pada bila-bila masa saja,” ujar wanita yang menetap di Cheras, Kuala Lumpur itu.

Menurut Marlia, disebabkan keluarganya turut menggemari Bawang Putih Crispy dan Serunding Halia Berempah, dia kemudiannya mendaftarkan diri untuk menjadi ejen jualan produk Ibusue.

Dalam tempoh tujuh bulan menjadi ejen dia mendapat banyak tempahan ulangan daripada para pelanggan yang mengamalkan serunding halia tersebut ketika tempoh berpantang.

Pengasas produk Ibusue yang didaftarkan di bawah syarikat Sk Combination Sdn. Bhd., Datin Shamsuriya Abdullah, 51, memberitahu, penglibatannya dalam perniagaan itu bermula secara tidak sengaja.

“Suami saya mengalami komplikasi jantung dan menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) dua tahun lalu.

Komersial

“Lantas, saya mula memikirkan diet yang efektif bagi menjaga pemakanannya,” ujarnya sewaktu ditemui Kosmo! di kilang Ibusue di Rawang, Selangor baru-baru ini.

Setiap hari, Shamsuriya akan menyediakan halia bakar untuk suaminya.

Ternyata, pengambilan herba itu menyegarkan tubuh suaminya.

Selain mengamalkan makan halia secara konsisten dalam diet harian, pasangan suami isteri itu bersama tujuh anak mereka turut mengamalkan pengambilan bawang putih. Setiap ahli keluarganya akan makan tiga ulas bawang putih setiap hari yang dipelbagaikan cara masakannya sama ada dibakar, ditumis, direbus atau digoreng.

“Umum mengetahui bahawa halia baik untuk membuang angin di dalam badan.

“Bawang putih pula mengandungi komponen biologi aktif yang dikenali allicin,” kongsi wanita yang mempunyai pengalaman menguruskan spa dan produk kecantikan selama lebih dua dekad itu.

Berpuas hati dengan perubahan positif kesihatan suaminya, Shamsuriya atau lebih mesra dengan panggilan Ibu Sue kemudiannya terpanggil untuk memasarkan produk berasaskan halia dan bawang putih secara komersial.

Niatnya supaya agar orang ramai mendapat manfaat terutamanya wanita yang melahirkan anak kerana ia mengandungi lada hitam.

Buka kilang

Menurut Ibu Sue, bekalan halia dan bawang putih diimport dari China yang dihantar pembekal setiap pagi serta diproses pada hari semua.

“Berbekalkan resipi yang ada, saya meminta khidmat nasihat daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) mengenai pendekatan terbaik untuk memasarkan produk tersebut.

“Namun, pada masa yang sama, ia sangat praktikal kerana boleh dimakan segera dan sesuai untuk semua peringkat usia.

“Kami telah melakukan penyelidikan agar kualiti bawang putih goreng dan serunding halia yang dihasilkan menepati kualiti serta piawaian agensi itu.

“Selain itu, ia juga mampu bertahan sehingga enam bulan,” kata anak kelahiran Kuala Selangor, Selangor itu.

Bertitik tolak dari situ, Shamsuriya akhirnya berjaya membuka kilang perusahaan sendiri di Rawang, Selangor untuk memproses halia dan bawang putih goreng di bawah jenama Serunding Halia Berempah serta Bawang Putih Crispy pada bulan Mac 2016.

Selain itu, dia juga mengeluarkan produk Popia Simpul Halia terutamanya mereka yang tidak biasa dengan rasa asli halia dan bawang putih.

Dalam sebulan, kilang yang melibatkan tenaga kerja seramai tujuh orang itu mampu menghasilkan Serunding Halia Berempah serta Bawang Putih Crispy sebanyak 3,000 hingga 5,000 botol dengan isian seberat 180 gram (g).

“Kami memproses kira-kira 300 hingga 400 kilogram halia dan bawang putih sehari yang akan dihantar oleh pembekal pada setiap pagi bagi menjamin kesegarannya.

“Bekalan mentah itu akan dibasuh, dibuang kulit, dikisar atau dicincang menggunakan mesin, dikeringkan, dicampur dengan ramuan lain sebelum digoreng dan ditos minyak,” terang ibu kepada tujuh orang cahaya mata itu.

Mengulas tentang perancangan masa hadapan, Ibusue bakal mengeluarkan produk terbaharu iaitu Kuih Bangkit Tradisional menggunakan kelapa muda dan biskut mentega mengikut resipi turun-temurun.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan itu menggunakan laman sosial Facebook untuk memasarkan produknya.

Selain dipasarkan secara online, produk Ibusue juga boleh diperoleh menerusi 45 orang ejen dan di kesemua 12 premis rangkaian barangan kelengkapan ibu serta bayi iaitu butik Tateh di seluruh negara.

Pembantu Pembelian Syarikat Babymama Trading Sdn. Bhd., yang merupakan ibu pejabat bagi butik Tateh, Noor Adila Ramli, 31, berkata, pihaknya menerima pertambahan permintaan daripada pelanggan sehingga enam kali ganda sejak mula memasarkan produk Ibusue pada bulan Jun lalu.

“Pada awalnya, kami hanya menempah 50 botol untuk diagihkan ke semua 12 cawangan, namun kini ia bertambah menjadi 300 botol.

“Walaupun sudah habis tempoh berpantang, ramai golongan ibu yang pernah mencubanya serunding halia ini datang kembali untuk mendapatkan bekalan bagi dinikmati seisi keluarga,” kongsi ibu kepada tiga orang anak yang menetap di Semenyih, Selangor itu.