Selesai urusan tersebut, dia lazimnya akan pulang dan melakukan tugas-tugas seperti mengemas, mencuci lantai dan membasuh pinggan mangkuk sebelum menuju ke pejabat Persatuan Penyakit Parkinson Malaysia yang terletak di Jalan Klang Lama.

Rutin itu dilakukan Zainal Abidin sejak dua tahun kebelakangan ini setelah kesihatannya beransur pulih dari penyakit Parkinson yang dialaminya sejak tiga tahun lalu.

Di premis tersebut dia menjalankan tugas sukarelawan dengan menjadi kumpulan sokongan untuk membantu rakan-rakan senasib seperti urusan permohonan status orang kelainan upaya dan aktiviti pemulihan.

Sebelum itu, setahun lamanya bapa kepada dua cahaya mata menghadapi kemurungan sehingga pada satu peringkat dia enggan keluar bertemu orang ramai.

“Hendak gerakkan kaki dan berjalan pun susah. Pergerakan jadi terlalu lambat. Segala-galanya perlu dibantu. Lebih teruk lagi saya hilang kerja. Saya rasa seperti orang tidak berguna. Pernah saya minta isteri berdoa agar saya segera dijemput Tuhan.

“Tetapi dua anak lelaki saya yang ketika itu berusia 14 dan 17 tahun beri dorongan. Mereka papah saya bawa pergi berjalan di taman. Dari situ saya mendapat kekuatan untuk menjalani rawatan di Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Melaka selama enam bulan.

“Di sana saya dapati ada pesakit lain yang lebih teruk keadaannya. Ia menyuntik semangat untuk saya menjalani program pemulihan,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! pada Taklimat Kesedaran Parkinson anjuran Hospital ReGen Rehabilition di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Mengimbau kenangan lalu, Zainal Abidin yang dahulunya bertugas di bahagian gudang sebuah syarikat penerbitan di Shah Alam, Selangor selama 20 tahun bercerita, dia bertanggungjawab mengurus logistik penghantaran buku di seluruh Malaysia.

Sebagai seorang yang komited dengan kerja, otaknya sentiasa ligat berfikir bagaimana memastikan urusan penghantaran buku dan bahan bacaan yang diterbitkan syarikat mengikut jadual operasi yang ditetapkan.

Simptom awal

“Dari aspek beban fizikal yang meletihkan memang tiada. Tapi itulah saya banyak fikir. Soal kerja kadangkala terbawa-bawa dalam sembahyang dan pernah juga sampai termimpi-mimpi.

“Simptom awal yang dialami selama bertahun-tahun sebelum masalah sebenar diketahui ialah lenguh di bahagian tulang belikat. Sekarang saya lebih menghargai kesihatan. Setelah hilang upaya saya mendapat pencen ilat (hilang upaya kekal),” kongsinya.

Parkinson terjadi apabila satu sel kimia di otak yang dipanggil dopamin berkurangan. Pengurangan dopamin akan menyebabkan gangguan pada pergerakan fizikal manusia.

Antara simptom yang dialami pesakit ialah seperti menggeletar bradikinesia atau pergerakan ambat dan kelemahan otot-otot di bahagian mulut. Ia turut boleh memberi kesan yang lain seperti sukar bercakap, mengunyah dan menelan makanan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perubatan ReGen Rehabilition, Dr. Lydia Abdul Latif berkata, pengambilan ubat-ubatan hanya mampu membawa perubahan terhad kepada pesakit berbanding rehabilitasi.

Begitupun, pengetahuan tentang manfaat program rehabilitasi, cara-cara dan bagaimana ia boleh membantu memulihkan fungsi badan belum meluas dalam kalangan masyarakat. Justeru, sesi rehabilitasi bagi pesakit Parkinson jarang dibicarakan berbanding rehabilitasi bagi pesakit strok.

“Senaman merupakan asas bagi rawatan Parkinson. Antara aspek yang diperhatikan ialah cabaran yang dihadapi individu, senaman yang boleh dibuat dan bagaimana rehabilitasi menyasarkan kesukaran-kesukaran tersebut untuk membantu pesakit berdikari semula,” ujarnya.

Bagi Pengarah Terapi Hospital ReGen Rehabilition, Chelvi Muniandy, senaman boleh merangsang penghasilan dopamin di dalam otak yang menghantar isyarat pergerakan kepada sel otak.

Katanya, tindak balas menggeletar yang sering berlaku terhadap pesakit Parkinson disebabkan penghantaran mesej oleh dopamin tidak sampai ke otak, seterusnya membuatkan pergerakan tersekat sekali gus menghasilkan gegaran.

“Parkinson membuatkan pesakit berada dalam situasi kesukaran bergerak malah ia mendatangkan risiko pesakit terjatuh. Melalui fisioterapi atau senaman, pesakit boleh memperbaiki postur badan, mengawal pergerakan dan merangsang pengeluaran dopamin dalam jangka masa panjang.

“Mereka disyorkan bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari sama ada di pusat rehabilitasi atau di rumah. Mungkin ada yang menganggap latihan yang disarankan tidak sesuai dengan fizikal pesakit tetapi ada beberapa kaedah berbeza untuk membantu mereka,” tuturnya.

Kajian

Dalam pada itu, Pakar Terapi Fizikal dan Neurologi Klinikal dari Amerika Syarikat, Dr. Claire McLean berkata, menerusi beberapa siri kajian dilakukannya, pesakit yang mengikuti program senaman tertentu berupaya mempertingkatkan pergerakan masing-masing.

“Merujuk kepada keberkesanan senaman mengawal penyakit Parkinson, saya memperkenalkan dua jenis program berbeza seiring dengan penyelidikan yang dilakukan, iaitu aerobik dan senaman berasaskan kemahiran.

“Senaman aerobik berupaya meningkatkan aliran darah ke otak seterusnya membekalkan nutrisi baik diperlukan otak, manakala senaman berasaskan kemahiran seperti bermain alat muzik, sukan atau mempelajari bahasa membuatkan perubahan positif berlaku dalam otak,” katanya.

Tambahnya, hasil daripada dua program tersebut menunjukkan maklum balas positif bagi fungsi otak dan pergerakan serta postur pesakit. Namun, keputusan yang diperoleh turut bergantung kepada penerimaan pesakit sepanjang menjalani sesi rawatan.

“Kita menetapkan tempoh antara satu hingga enam bulan bagi menyaksikan perkembangan pesakit yang melakukan senaman atau program secara rutin kerana ia adalah proses berpanjangan.

“Misalnya, ada pesakit saya berumur 71 tahun yang didiagnosis dengan Parkinson pada tahun 2009. Ketika mula-mula menyertai program senaman pada tahun 2016, dia tidak boleh melompat melepasi tali.

“Hasil latihan konsisten, dalam tempoh setahun dia mampu melompat tali selama 15 kali tanpa berhenti. Postur tubuhnya lebih stabil dan seimbang berbanding dahulu,” tambahnya.