Sebagai seorang penggiat industri layar teater, peluang berkunjung ke Serambi Karya yang terletak di Jalan Bellamy, Kuala Lumpur itu membuka lembaran baharu dalam perjalanan kariernya.

Menurut jejaka berkulit cerah itu, perasaannya seakan-akan hilang di awang-awangan buat seketika tatkala memasuki rumah lama yang mempunyai empat buah bilik dan dicat semula dengan warna krim lembut tersebut.

“Pohon-pohon merimbun dan reka bentuk rumah yang masih mengekalkan ciri tradisional menaikkan lagi pesona serta mencipta ketenangan di tempat ini.

“Kedamaian yang tercipta itu membuatkan saya berasakan Serambi Karya begitu sesuai buat penggiat seni melahirkan ekspresi mereka menerusi cabang masing-masing seperti tarian, nyanyian atau lakonan,” katanya ketika ditemui Kosmo! pada majlis pelancaran Serambi Karya baru-baru ini.

Serambi Karya diasaskan oleh Yayasan Rizqah yang diterajui Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin selain turut mendapat kerjasama daripada Pergerakan Puteri UMNO Malaysia.

Rumah budaya itu bakal menjadi platform terbaik buat anak-anak muda yang meminati bidang seni kreatif tanpa mengira agama dan bangsa untuk mengembangkan lagi bakat yang dianugerahkan kepada mereka.

Masalah

Jelas anak kelahiran Kuala Lumpur itu, sebelum ini penggiat seni terutamanya mereka yang terlibat dalam bidang teater sering berdepan dengan masalah untuk memilih lokasi berlatih sebelum mengadakan persembahan kepada umum.

“Bagaimanapun, dengan kewujudan Serambi Karya ini, saya berasakan masalah kekurangan tempat untuk berlatih atau berkarya dapat diselesaikan sebaiknya.

“Rumah seni ini boleh diibaratkan seperti Rumah Persatuan Penulis Nasional atau lebih dikenali sebagai Pena yang menjadi lokasi buat penulis berkumpul serta berkarya. Bezanya, tempat ini terbuka kepada semua aktiviti seni kreatif,” ujarnya.

Sementara itu, Pengurus People of Remarkable Talent (PORT), Zamari Muhyi menjelaskan, idea untuk menubuhkan Serambi Karya dibuat selepas Mas Ermieyati melawat organisasi seni kreatif milik mereka di Ipoh, Perak kira-kira dua tahun lalu.

“PORT yang ditubuhkan pada tahun 2011 itu merupakan sebuah organisasi yang menyediakan platform bagi menggilap bakat anak-anak muda Ipoh untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

“Jadi, konsep yang diguna pakai di PORT dijadikan garis panduan dalam memperkenalkan Serambi Karya.

“Diharapkan institusi ini dapat terus berkembang dalam usaha melahirkan bakat-bakat seni meliputi segenap aspek seperti pelukis, penyanyi dan pemuzik bertaraf antarabangsa,”kongsinya.

Sementara itu, Pengelola Serambi Karya yang juga Pengerusi Biro Pembangunan Kreatif Pergerakan Puteri UMNO, Dira Abu Zahar memberitahu, selain menganjurkan pameran seni visual oleh kumpulan artis wanita Loket, pihaknya juga merancang untuk mengadakan pesta buku yang menghimpunkan penulis tempatan.

“Saya juga begitu teruja untuk mengalu-alukan rakan-rakan seni lain berkumpul di Serambi Karya dan meneruskan usaha menghasilkan produk-produk kesenian yang hebat,” katanya.