Bagaikan drama di saluran televisyen tempatan, wanita bernama Rahimah Mohamed, 39, itu meraung dan merayu supaya tidak ditinggalkan.

Dia takut untuk menghadapi dunia luar tanpa kehadiran suami.

Hatinya gusar memikirkan nasib dua anak kembarnya, Raudhatul Sakinah dan Raudhatul Umairah.

Kembar comel hasil persenyawaan in-vitro (IVF) itu baru berusia setahun dua bulan ketika itu.

Namun, tiada siapa peduli. Malah, Rahimah dihalau dari rumah banglo yang dibina hasil titik peluhnya sendiri selama bertahun-tahun.

Keluarlah dia bersama anak-anak dari kediaman mereka di Batu Kikir, Negeri Sembilan ke kampung halamannya di Melaka.

Bergelar ibu tunggal pada usia 31 tahun, Rahimah berada dalam situasi kemurungan hampir sebulan lamanya.

Namun benarlah kata orang, cinta seorang ibu terhadap anak mengatasi segala-galanya.

Dia seakan-akan tersedar daripada tempoh ‘berkabung’ setelah melihat wajah polos anak-anak yang semakin membesar.

Tidak boleh bersifat pentingkan diri, Rahimah perlu melakukan sesuatu bagi menanggung kehidupan mereka anak-beranak.

Cabarannya pada ketika itu agak berat. Ini kerana graduan Diploma Perakaunan dari Universiti Teknologi Mara di Lendu, Melaka itu tidak pernah mempunyai pengalaman bekerja.

Sebaik sahaja tamat pengajian, dia terus berkahwin.

Satu-satunya pengalaman pekerjaan yang dimiliki adalah mengusahakan perusahaan pakaian terpakai dan telekung sulaman bersama bekas suaminya.

 

Ejen jualan

Perniagaan telekung sulaman dari rumah itu dilakukan selepas mengikuti latihan kemahiran jahitan seni kreatif di Pusat Latihan Kraftangan Epal pada tahun 2007.

Dia turut membeli sebuah mesin jahit dan mesin sulam jenama Janome daripada Epal untuk perusahaan telekung itu.

Namun, perniagaan itu terhenti hampir enam bulan selepas rumah tangga mereka bergolak.

“Saya mulakan kembali perniagaan dengan menjahit dan menyulam 10 pasang telekung bersama beg telekung menggunakan kain yang masih ada dalam simpanan untuk perniagaan dahulu.

“Dengan kudrat yang ada, saya mencari ejen dan menjual di sekolah, pejabat serta membuka gerai pada pelbagai program yang mampu mempromosikan telekung jahitan saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di butik Puncak Hallaj Enterprise di Alor Gajah, Melaka baru-baru ini.

Mengimbau detik kebangkitan perniagaan telekung sulaman itu, Rahimah berkata, dia turut menghubungi semula pelanggan yang pernah membeli telekungnya untuk mencari peluang pasaran baharu.

“Lucunya pada ketika itu, telekung saya masih tidak dinamakan sehinggalah saya mahu membuat promosi di laman Facebook.

“Akhirnya saya menamakan produk telekung itu sebagai Hallaj bersempena nama Ibnu Hallaj, seorang pendidik terkenal dalam bidang tasawuf,” ujarnya yang sentiasa ditemani pasangan anak kembar menginjak usia lapan tahun pada tahun ini.

Promosi demi promosi tanpa mengenal penat yang dilakukan akhirnya membuahkan hasil.

Dia yang pada mulanya bekerja berseorangan mula menggaji empat orang pembantu yang terdiri daripada golongan wanita susah dan ibu tunggal di sekitar Sungai Udang, Melaka.

Rahimah turut mengajar mereka menjahit dan menyulam serta memberikan mesin jahitan untuk mereka bekerja dari rumah.

Berkat usaha membantu ramai orang yang berada dalam kesusahan, rezekinya kian bertambah.

Pada tahun 2010, dia yang pernah mengikuti Program Latihan Pembentukan Usahawan Mara berjaya mendapatkan bantuan pinjaman daripada Mara sebanyak RM40,000 untuk mengembangkan perniagaan.

 

Kedai fizikal

Wang itu digunakan untuk menyewa sebuah premis di Cheng, Melaka bagi memudahkan operasi jualan.

“Kewujudan kedai fizikal sangat penting bagi saya. Dari situ, saya lebih fokus sehingga berjaya menambah beberapa produk baharu seperti kelengkapan umrah termasuk jubah dan jubah berseluar,” ujarnya.

Selain itu, Puncak Hallaj yang kini berpindah ke Sungai Petai, Alor Gajah turut menawarkan khidmat menjahit sulaman pada busana, telekung mahupun barangan lain milik pelanggan mengikut corak pilihan masing-masing atau lebih dikenali sebagai kaedah custom made.

Ketika ditanya apakah kelebihan produk itu terutamanya telekung, Rahimah berkata, ia bukan sahaja cantik dan disulam kemas tetapi selesa dipakai, sejuk serta patuh syariah.

Menggunakan kain kapas berkualiti tinggi dan tidak berbulu apabila dibasuh selain aplikasi kain boleh laras pada bahagian muka, telekung itu tampak kemas apabila dipakai.

Faktor itu menyebabkan telekung Hallaj berjaya mendapat permintaan tinggi, terutamanya dalam kalangan bakal jemaah haji dan umrah.

Bermula dengan 10 pasang telekung, Rahimah mampu mengeluarkan sehingga 800 pasang telekung sebulan.

Tambah membanggakan, pada tahun 2015 iaitu kira-kira enam tahun selepas Hallaj beroperasi, anak kedua daripada sembilan adik-beradik itu telah diangkat sebagai pemenang Program Rural Business Challenge anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Program yang kini dikenali sebagai CEO Desa itu melayakkan Rahimah memenangi geran sebanyak RM750,000.

Berbekalkan wang tersebut, dia membuka sebuah kilang menjahit telekung Hallaj di Simpang Ampat, Melaka yang akan beroperasi pada Ogos depan.

Kilang itu yang bakal menggaji lebih 30 orang pekerja dijangka mampu mengeluarkan lebih 2,500 pasang telekung dalam masa sebulan.

Selain itu, ia turut membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat yang ingin menceburkan diri dalam bidang seni jahitan.

Rahimah turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Cemerlang 3K (Keluarga, Kerjaya dan Kemasyarakatan) oleh Persatuan Seni Jahitan Kreatif pada Mac lalu, sekali gus membolehkannya diangkat sebagai inspirasi kepada wanita, terutamanya golongan ibu tunggal.

Tiada apa yang mampu diucapkan Rahimah selain terima kasih tidak terhingga kepada Mara dan Pusat Kraftangan Epal yang memberi latihan serta membantu kejayaannya pada hari ini.

“Saya tidak pernah lupa diri dan sentiasa mengingatkan anak-anak tentang pentingnya memiliki ilmu perniagaan serta kemahiran.

“Tidak rugi menuntut ilmu kerana kita tidak tahu apa yang akan ditempuhi suatu hari nanti. Apabila berjaya, kongsilah ilmu dan rezeki itu bersama mereka yang memerlukan,” ujarnya yang aktif membekalkan telekung untuk diwakafkan ke masjid dan surau di seluruh Melaka.

Terbaharu, Rahimah menyelesaikan projek 1,000 Telekung sepanjang bulan Ramadan lalu.

Pada projek itu, Rahimah bersama kumpulannya berkampung di kawasan tumpuan awam seperti di Mydin MITC Melaka bagi mengajak orang ramai menginfaqkan harta melalui pembelian telekung kepada masjid serta surau terpilih.

Ia juga bagi menggalakkan budaya sedekah, terutamanya pada bulan Ramadan yang penuh kemuliaan.

Antara masjid penerima wakaf itu ialah Masjid Sakinah dan Masjid Al-Mokhsinin di Tanjung Keling, Melaka.