Setiap kali kapas yang disapu menyentuh bulu dan kulit tubuhnya yang terdedah, kucing tersebut akan mengiau cemas dan meronta-ronta kesakitan. Ia juga menjadi agresif, menggigit dan mencakar sesiapa sahaja yang cuba mendekatinya.

Keadaan itu membuatkan Pengerusi Sahabat Kucing Jalanan (SKJ), Mohd. Rosli Ariffin yang lebih mesra disapa Jebat sudah beberapa kali menitiskan air mata dalam tempoh tiga minggu merawat Combi di Rumah Perlindungan Kucing Jalanan SKJ terletak di Dengkil, Selangor.

“Combi jadi begini kerana disimbah minyak panas. Seorang daripada rakan kami menemuinya di Petaling Jaya. Ketika itu, telinga kanannya hampir putus akibat sering digaru.

“Doktor juga tidak boleh melakukan sebarang veterinar pembedahan atau memberi apa-apa suntikan kerana ia sedang bunting. Apa yang boleh kami lakukan ialah menyapu tiga jenis ubat setiap hari untuk mempercepatkan proses penyembuhan luka.

“Bulu-bulunya turut gugur kerana tekanan yang dialami. Justeru, Combi ditempatkan bersendirian di dalam ruang yang paling besar terdapat di sini supaya ia berasa selesa.

“Selepas tiga minggu, keadaannya kian bertambah baik. Luka-lukanya sudah kering dan telinga yang hampir putus itu telah bercantum seperti sedia kala. Bulunya turut tumbuh kembali,” ujarnya ketika ditemui Kosmo! di rumah perlindungan tersebut baru-baru ini.

Lain pula kisahnya dengan seekor lagi kucing bernama Romeo yang menghidap penyakit jangkitan fungus dikenali sebagai Sporotrichosis. Si bulu oren itu ditemui Jebat di kawasan Rehat dan Rawat Tapah ketika dalam perjalanan ke Pulau Pinang sebulan yang lalu.

Fungus tersebut berpotensi menjangkiti kulit, sistem pernafasan, tulang dan otak. Ketika ditemui, ia sudah banyak merebak ke bahagian kepala haiwan itu.

“Ketika itu, saya telah memasukkan Romeo ke dalam kotak. Tetapi ia tiba-tiba melompat keluar dan menghilangkan diri. Lebih sejam saya mencarinya tetapi tidak jumpa dan terpaksa meneruskan perjalanan.

Klinik bergerak

“Pada hari berikutnya, ketika dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, saya pergi semula ke R&R itu untuk mencarinya dan akhirnya dapat membawanya pulang,” imbau pengusaha pusat servis dan spa kenderaan itu yang aktif dalam kerja sukarela sejak tahun 2004.

Pencinta kucing tegar itu turut menggerakkan usaha melancarkan klinik bergerak untuk membantu kucing-kucing yang menjadi mangsa banjir di Kelantan baru-baru ini yang turut mendapat kerjasama Pertubuhan Penyelamat dan Komunikasi Kelantan (Res’K).

Sementara itu, Pengasas SJK Marzita Mohamad menjelaskan, pertubuhan tersebut memberi tumpuan kepada kucing jalanan yang sakit, cedera, teraniaya, bunting di samping kucing tua dan anak-anak kucing yang kehilangan ibu.

Menurutnya, Rumah Perlindungan Kucing Jalanan kini menempatkan kira-kira 50 ekor kucing. Bangunan dua tingkat itu dibina di atas sebidang tanah wakaf yang disewa daripada Perbadanan Wakaf Selangor.

Tambah Marzita, 47, SKJ turut mempunyai misi membantu dan memberi sokongan kepada penyelamat-penyelamat kucing jalanan yang bergerak secara bersendirian.

Penjawat awam itu berkata, membuang kucing tidak ubah seperti menjatuhkan hukuman mati terhadap makhluk Tuhan itu. Baginya, agak mustahil kehidupan kucing jalanan dapat berakhir dengan kegembiraan kerana ia terdedah dengan pelbagai ancaman termasuk manusia.

Dia sendiri memelihara lebih 15 ekor kucing jalanan di rumah teres miliknya di Bangi, Selangor dan menjadi pencetus penubuhan SKJ sejak dua tahun lalu.

“Rumah perlindungan kami diuruskan oleh seorang pekerja yang bertugas secara sepenuh masa selain dibantu ahli jawatankuasa SKJ yang akan membuat lawatan dari semasa ke semasa. Kos operasinya mencecah RM5,000 sebulan.

“Kini kami mempunyai kira-kira 50 ahli yang merupakan penyelamat kucing, kebanyakan daripada kami turut memelihara puluhan ekor kucing di rumah masing-masing.

Kariah masjid

“Tujuan kita menggabungkan penyelamat perseorangan dalam satu pertubuhan supaya usaha yang dijalankan lebih memberi impak kepada masyarakat di samping bekerjasama dalam menyelaraskan inisiatif membantu kucing jalanan,” jelasnya.

Marzita memberitahu, dia teringat pada satu insiden hari raya kedua Aidilfitri lalu. Dia pergi ke pasar berdekatan rumah untuk menghantar makanan kepada kucing yang banyak terdapat di situ kerana mendapat tahu pasar itu ditutup sempena cuti perayaan.

“Kebetulan ketika itu hujan lebat dengan guruh berdentum-dentum. Saya lihat ada beberapa ekor kucing berlari tidak tentu arah dalam keadaan ketakutan di kaki lima pasar.

“Ada seekor kucing yang terjun ke dalam longkang yang dipenuhi air kerana terlalu panik. Saya tidak sempat mengambilnya kerana ia hilang begitu sahaja di dalam longkang yang gelap,” imbaunya.

Seorang lagi anggota SKJ yang berkongsi pengalaman unik berbakti kepada kucing jalanan, Mohd. Hashim, 57, bercerita, dia turut menguruskan sebuah rumah kucing di masjid di Subang Jaya, Selangor tempatnya bertugas sebagai tok siak sejak dua tahun lalu.

“Rumah kucing itu terletak di luar kawasan masjid dengan perbelanjaan kucing itu disumbangkan kariah masjid. Pernah saya menjaga sehingga 60 ekor kucing pada satu-satu masa. Kebanyakannya sengaja dibuang oleh individu tidak bertanggungjawab.

Menurut Mohd. Hashim, kucing-kucing di bawah jagaannya dilepas bebas tetapi tidak dibiarkan mengotori kawasan masjid dan akan dipanggil masuk ke dalam rumah pada waktu malam.

“Sejak zaman kanak-kanak saya dididik arwah emak untuk merawat kucing jalanan yang sakit. Pernah sekali emak bawa balik anjing yang cedera ke rumah kerana terlalu kasihan. Maklumlah sekitar 1970-an dan 1980-an khidmat veterinar tidak meluas seperti sekarang,” ujarnya.

Dia turut meluahkan rasa kesal terhadap segelintir pemilik kucing yang bersifat pilih kasih dan hanya menyukai kucing hanya apabila haiwan itu masih sihat dan cantik. Sedangkan, kucing jalanan juga boleh menjadi cantik dan bijak jika dilatih dengan baik.

Dalam pada itu, Siti Uzira Nur Nordin, 37, dari Seremban, Negeri Sembilan berpendapat, dengan menyertai pertubuhan seperti SKJ, anggota dapat berkongsi pengetahuan dan saling tolong menolong mengenai penjagaan kucing jalanan.

Tambahnya, memelihara kucing jalanan dapat memupuk sifat bersyukur dan kasih sayang sesama makhluk terutamanya dalam kalangan generasi muda. Ibu kepada dua cahaya mata yang bekerja sebagai jururawat itu berkata, secara peribadi dia menganggap 12 ekor kucing yang dipelihara di rumah dianggap seperti keluarga sendiri.

“Saya tidak pernah beli atau biakkan baka kucing. Kesemuanya saya jumpa di tepi jalan dan bawa pulang ke rumah. Selalu saya ingatkan anak-anak supaya meneruskan amal kebajikan terhadap haiwan seperti kucing ini apabila mereka dewasa kelak.

“Saya sendiri membahasakan diri sebagai ummi apabila bercakap dengan kucing-kucing saya. Saya juga melihat anak-anak menjadi lebih empati dan tidak kedekut berkongsi rezeki dengan mana-mana kucing yang mereka temui di luar.

“Aktiviti menjaga kucing dapat melatih sikap berlemah lembut dan rasa tanggungjawab dalam kalangan anak-anak,” tuturnya.