Khairul Shazwali Taib, 33, disahkan menghidap penyakit buah pinggang pada usia muda.

“Pada awalnya, saya pergi mengambil darah untuk pemeriksaan penyakit gout, kemudian saya diminta melakukan ujian darah di hospital bagi memeriksa keadaan buah pinggang.

“Hasil daripada pemeriksaan mendapati saya menghidapi penyakit buah pinggang tahap akhir,” ceritanya kepada Pesona baru-baru ini.

Tambahnya, hasil pemeriksaan kesihatan yang kerap dilakukannya pada tahun-tahun sebelum itu menunjukkan tiada apa-apa masalah dengan buah pinggangnya.

Begitu pun, Khairul Shazwali tetap melakukan pemeriksaan darah setiap minggu. Selepas konsultasi dengan doktor, dia akur untuk menjalankan rawatan dialisis air.

“Rawatan dialisis dilakukan sebanyak empat kali sehari. Setiap hari saya berulang-alik dari pejabat ke rumah untuk melakukan dialisis kedua yang dilakukan pukul 2 petang.

“Saya memberitahu ahli keluarga mengenai keadaan saya dan selepas setahun, saya mendapat buah pinggang baharu apabila abang saya mendermakan buah pinggangnya,” ujar lelaki itu yang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat swasta.

Kini, Khairul Shazwali tidak perlu lagi melakukan dialisis dan hanya menjalani pemeriksaan lanjutan mengikut jadual yang ditetapkan.

Di Malaysia, seramai 40,000 pesakit buah pinggang sedang menjalani rawatan dialisis, manakala 20,000 pesakit sedang menunggu buah pinggang baharu, menurut data daripada Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF).

Kurang penderma

Justeru, badan itu mengadakan siri forum yang dinamakan Community Organ Donation Drive (CODE:Life) untuk menyebarkan kesedaran dan kefahaman mengenai pemindahan buah pinggang sewaktu hidup.

Menurut Ketua Program CODE:Life, Dr. Nor Fadhlina Zakaria, setiap tahun hanya 40 hingga 50 pembedahan buah pinggang berjaya dilakukan.

“Keadaan ini disebabkan tidak ramai orang yang mendaftar sebagai penderma, walaupun daripada kalangan ahli keluarga sendiri.

“Terdapat dua jenis penderma buah pinggang iaitu penderma hidup dan penderma selepas kematian,” katanya.

Jelasnya, kurang pendedahan dari segi hukum agama menjadi halangan kepada orang ramai untuk mendaftar sebagai penderma.

“Pada tahun lalu, CODE:Life telah mengadakan tiga program di sekitar Lembah Klang dan kami merancang untuk melaksanakan enam program pada tahun ini termasuk di luar Lembah Klang.

“Golongan sasaran kami ialah pesakit buah pinggang dan keluarga mereka, staf profesional dan pelajar universiti bagi membangkitkan minat mereka untuk mendaftar sebagai penderma organ,” katanya sambil memberitahu, setiap program yang dijalankan CODE:Life berjaya mendaftarkan antara 30 hingga 50 penderma baharu.

Kehidupan normal

Berkongsi pengalaman, seorang penderma buah pinggang, Padli Saed, 50, berkata, kehidupan tidak banyak berubah selepas mendermakan organ kepada adik iparnya yang disahkan menghidap penyakit buah pinggang pada tahun 2014.

“Sebelum itu, dia sangat sihat, kami terkejut melihat keadaannya ketika dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Kami selaku ahli keluarga memikirkan apa yang boleh dibuat untuk membantunya dan tahun berikutnya kami merancang untuk melakukan pemindahan buah pinggang yang berjaya dilakukan pada 2017,” ujarnya yang merupakan penjawat awam.

Katanya, sebagai penderma, dia menerima pandangan doktor dan melalui beberapa proses untuk mendapatkan kelulusan pemindahan.

“Dari segi aspek kehidupan, tidak banyak perkara yang berubah. Saya masih boleh melakukan aktiviti fizikal, manakala dari segi pemakanan juga tidak ada pantang larang spesifik selain nasihat umum berkaitan kesihatan,” katanya