Di Malaysia, kanser paru-paru menduduki tangga ketiga menjadi ancaman selepas kanser payudara dan usus besar.

Pakar Bedah Kardiotorasik Pusat Perubatan Sunway, Dr. Anand Sachithanandan berkata, menurut Laporan Pendaftaran Kanser Kebangsaan, ia mewakili 19.8 peratus daripada sebab kematian akibat kanser yang disahkan secara perubatan.

“Biasanya, kebanyakan pesakit didiagnosis menghidap kanser tersebut apabila penyakit mereka berapa pada tahap yang tidak dapat diubati lagi.

“Ia menjadikan kadar kematian disebabkan kanser paru-paru agak tinggi sekitar 75 peratus dengan pesakit cenderung telah berada pada peringkat III atau IV,” katanya dalam kenyataan akhbar kepada Kosmo! baru-baru ini.

Antara simptom kanser paru-paru ialah batuk atau batuk yang tidak hilang, sakit di bahagian dada, bahu dan belakang berpanjangan dan lebih sakit jika menarik nafas panjang.

Selain itu, nafas berbunyi, sesak nafas, suara serak, batuk berdarah, bengkak di bahagian leher atau muka, hilang selera makan, susut berat badan, berasa terlalu letih dan lemah selain bentuk hujung jari tangan atau kaki berubah serta membonjol.

Ujian

Berdasarkan simptom, doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal dan diikuti ujian lanjutan antaranya pemeriksaan darah, kahak, X-ray atau bronkospi atau prosedur tiub berkamera untuk melihat salur pernafasan di samping ujian paru-paru untuk mengukur fungsi pernafasan seseorang.

Tambahnya, pada tahap kritikal antara opsyen rawatan yang boleh diberi ialah terapi paliatif. Terapi tersebut melibatkan rawatan secara penjagaan kejururawatan untuk mengurangkan kesengsaraan pesakit dan bukanlah rawatan penyembuhan.

Tujuan utamanya ialah melegakan simptom pesakit termasuk mengurangkan rasa sakit, sesak nafas, menenangkan pesakit daripada berasa cemas, memudahkan tidur dan rawatan kemurungan.

“Dalam hal ini, telah diperakui individu yang mempunyai ahli keluarga yang didiagnosis dengan kanser terdedah dengan risiko mendapat penyakit yang sama.

“Begitupun, selain faktor genetik, tabiat merokok dikaitkan dengan risiko utama kanser paru-paru. Data tempatan mencadangkan sebanyak 92 peratus pesakit kanser paru-paru lelaki mempunyai sejarah merokok yang ketara.

“Selain itu, ia cenderung berlaku kepada lelaki berusia lebih 50 tahun dengan kes melibatkan individu berumur di bawah 40 tahun adalah lebih rendah kira-kira lima peratus,” tuturnya.

Anand berpendapat, hakikat bahawa merokok menjadi penyebab penyakit yang membawa kematian mungkin boleh dielakkan dengan mempertimbangkan saringan awal.

Katanya, saringan kanser paru-paru meningkatkan kemungkinan diagnosis awal sekali gus memudahkan intervensi awal yang berkesan.

Justeru, adalah perlu mendepani cabaran untuk mengenal pasti kumpulan berisiko di Malaysia serta menentukan secara tepat siapakah yang perlu disaring.

“Pemeriksaan awal tidak bertentangan dengan usaha mempromosikan kempen berhenti merokok. Program saringan yang komprehensif dapat menyelamatkan banyak nyawa dan pembiayaan perubatan dalam jangka panjang,” tuturnya.