Ketika itu, Sarimah Jantan menjual buah-buahan seperti rambutan, manggis dan langsat apabila di gerai berhampiran rumahnya di Sungai Kandis, Shah Alam, Selangor.

Kepetahannya berinteraksi dan memujuk pelanggan menyebabkan jualannya sentiasa laris.

Niatnya berniaga ketika itu tidak lebih sekadar suka-suka mahu mencari wang saku tambahan untuk membeli kelengkapan sekolah.

Namun, minatnya dalam bidang perniagaan terpaksa dilupakan bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran.

Selepas menamatkan pembelajaran di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia, Sarimah berkhidmat sebagai guru tabika.

Perkhidmatan wanita berkaca mata itu sebagai pendidik bertahan selama lebih sedekad sebelum dia mengambil keputusan untuk berhenti.

“Saya berhenti pada tahun 1996. Ketika itu, gaji guru tabika sedang meningkat. Kalau berhenti, orang-orang sekeliling cakap sangat rugi.

Kemahiran

“Namun, saya tetap dengan pendirian mengundurkan diri kerana berasa terlalu bosan dengan rutin pekerjaan berkenaan,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di rumahnya di Sungai Kandis.

Pilihan yang diambil oleh ibu kepada lima cahaya mata itu ternyata tepat apabila kini dia berjaya bergelar usahawan wanita berjaya.

Kejayaan yang diraih Sarimah bertitik tolak daripada perniagaan biskut, roti dan kuih tradisional yang diusahakannya iaitu Hidayah Cookies Sdn. Bhd. (Hidayah Cookies).

Sebaik berhenti kerja sebagai guru tabika, dia menggilap kembali potensinya dalam perniagaan menerusi khidmat jahitan.

Menurut Sarimah, perniagaan itu ternyata berjaya. Dia berjaya menjana pendapatan sekitar RM300 hingga RM1,000 sebulan.

Memandangkan perniagaan tersebut memerlukan komitmen tinggi dan tenaga yang banyak, dia akhirnya terpaksa memberhentikan operasi menjahit.

“Saya terbaca sebuah artikel dalam majalah mengenai kejayaan seorang usahawan yang menjalankan perniagaan biskut.

“Dari situ, saya mengambil keputusan untuk mencuba nasib dalam perniagaan biskut secara kecil-kecilan,” imbau Sarimah sambil merenung deretan balang biskut di kedainya.

Bagaimanapun, niat Sarimah untuk membuka perniagaan tersebut tertangguh seketika memandangkan dia tidak mempunyai kemahiran membuat biskut.

Justeru dia terpanggil untuk menyertai kelas membuat biskut dan kek di Ampang, Selangor dengan bayaran sebanyak RM250.

“Saya memulakan perniagaan ini secara kecil-kecilan sekitar tahun 2000. Pada masa itu, saya menjual biskut, roti, kek dan dodol.

“Modus operandi saya ketika itu adalah menjual dari rumah ke rumah di sekitar taman perumahan di Seksyen 24, Shah Alam,” ujar usahawan gigih itu.

Dia terpaksa membuang perasaan malu dan menguatkan semangat semata-mata untuk memastikan semua produk jualannya habis.

Ujar Sarimah, dia juga tidak malu berkunjung ke rumah rakan-rakan gurunya untuk menjual produk.

“Pada awal dahulu, saya tidak nafikan perniagaan agak perlahan. Jadi saya terpaksa tipu sunat kawan-kawan, cakap produk sangat laris dan tinggal beberapa saja lagi dalam kereta. Akhirnya mereka membeli biskut,” katanya.

Sambutan baik yang diterima mendorong Sarimah membina bengkel memproses di Sungai Kandis dan beroperasi di sana pada tahun 2002.

Berbekalkan modal sebanyak RM30,000, dia membeli peralatan dan ketuhar serta menubuhkan syarikat di bawah penjenamaan Hidayah Cookies.

Bantuan

Bermula tahun 2004, operasi perniagaannya terus berkembang melalui penerimaan bantuan yang diberikan oleh Jabatan Pertanian sebanyak RM10,000.

“Dana ini digunakan untuk membeli beberapa buah lagi ketuhar, peralatan lain seperti meja dan peti dingin beku,” katanya.

Pada masa sama, Hidayah Cookies turut menerima bantuan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, Sirim, Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga, Lembaga Pertubuhan Peladang dan Majlis Amanah Rakyat.

Bantuan diberikan berbentuk peralatan, kursus meningkatkan kemahiran dan pendapatan, pinjaman, tapak-tapak promosi dan penambahbaikan dalam pembungkusan.

Situasi ini juga membolehkan Hidayah Cookies mempelbagaikan pilihan biskut seperti coklat, kacang, koko, oreo, strawberi dan almond.

Memandangkan kuantiti pengeluaran kian bertambah, dia bersama suaminya, Mohamad Sukri Othman, 58, terpaksa keluar mengadakan promosi dan jualan ke sekolah, jabatan kerajaan, kolej dan tabika.

Jelasnya, dia akan mengadakan demonstrasi membuat biskut dan kek secara percuma di tempat-tempat tersebut dengan harapan mereka berminat mengadakan lawatan ke kilangnya.

“Sewaktu lawatan di kilang mereka berpeluang melihat proses pembuatan produk. Mereka juga akan membeli untuk dibawa pulang sebagai buah tangan,” jelasnya Hidayah Cookies boleh menghasilkan 300 balang biskut sehari.

Sarimah memberitahu, biskut serta dodol merupakan antara produk yang mendapat permintaan tinggi sepanjang tahun.

Bagi produk biskut coklat cip, ramai pelanggan menggemarinya kerana rasa dan kerangupannya.

Sementara dodol yang dihasilkan syarikatnya pernah beberapa kali menerima penganugerahan pada sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan tahun 2008 dan 2009 serta program Hari Selangor Ria.

Maka tidak hairanlah, permintaan kedua-dua tersebut meningkat dua kali ganda menjelang sambutan Aidilfitri dan Aidiladha.

“Ketika ini, saya mempunyai lapan orang pekerja yang bertugas setiap hari di kilang dari pukul 9 pagi hingga 5 petang.

“Menjelang hari raya, kami tidak menang tangan kerana tempahan sangat banyak. Ada waktunya sampai kena tolak,” jelasnya.

Dalam perniagaan pasti ada pasang surutnya, begitu juga Hidayah Cookies. Menurut Sarimah cabaran utama dalam perniagaan tersebut ialah persaingan.

Jelasnya, semakin banyak pengusaha yang menawarkan produk serupa dalam pasaran sekali gus menyebabkan jualan produknya menjadi tidak menentu.

“Saya sedar persaingan sangat hebat. Jadi, saya perlu mencari pasaran yang kurang pesaing iaitu sekolah.

“Di sekolah ini susah sedikit kerana perlu membuat permohonan terlebih dahulu. Kalau tidak bernasib baik boleh kena halau dengan pihak pengurusan,” jelasnya.

Walaupun terpaksa berdepan cabaran, namun dia masih menyimpan hasrat untuk memperluaskan pasaran produknya ke seluruh negara pada masa depan.