Syeikh Ibnu ‘Atha’illah rhm., menghuraikan ia merupakan penyakit yang tersembunyi dalam amalan taat dan menyifatkannya sebagai penyakit yang paling besar serta bahaya.

“Kemungkinan perasaan riyak (iaitu sifat menunjuk-nunjuk ) masuk ke dalam hatimu daripada (amalan-amalan rahsia yang kamu lakukan) di tempat kamu tidak dilihat oleh makhluk,” katanya.

Antara tanda-tanda riyak ialah seseorang itu menuntut dengan hatinya agar manusia menghormati, mengagungkan dan mengetengahkannya dalam pelbagai majlis di samping segera menunaikan hajat-hajat mereka.

Apabila seseorang itu cuai pada hak yang dia berasakan berhak diperoleh pada pandangan dirinya, dia mempersalahkan serta mengingkari perbuatan tersebut.

Dia juga berasakan perbezaan antara memuliakannya dan memuliakan orang lain serta antara menghinanya dan menghina orang lain, sehingga kadangkala sebahagian orang menzahirkan perasaan itu, maka mereka mengugut orang yang mencuaikan hak mereka segera mendapat balasan Allah.

Dendam

Kononnya Allah tidak akan membiarkan sehingga menolong mereka dan membalas dendam bagi pihak mereka.

Apabila seseorang hamba mendapati tanda-tanda ini ada pada dirinya, maka hendaklah dia ketahui bahawa dirinya seorang yang riyak dengan amalannya meskipun dia menyembunyikan amalan tersebut daripada mata manusia lain.

Diriwayatkan daripada Saidina Ali bin Abi Talib yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT berfirman kepada golongan fakir pada hari kiamat: “Tidakkah harga barang telah dimurahkan untuk kamu? Tidakkah orang lain segera memberi salam kepadamu? Tidakkah segala hajat telah ditunaikan orang untuk kamu?”

Maksudnya dalam hadis lain disebut: “Tiada lagi pahala bagi kamu. Sesungguhnya kamu telah mendapat pahala secukupnya (di dunia dahulu).”

Sebahagian Ariffin (mereka yang arif dan mendapat makrifat daripada Allah) mengatakan: “Antara sebesar-besar riyak adalah sesiapa yang melihat pemberian, halangan pemberian, kemudaratan dan manfaat datang daripada makhluk.”

Sebahagian ulama pula mengutarakan pandangan: “Jenis-jenis riyak ada tiga. Semuanya adalah kecacatan yang boleh merosakkan agama. Jenis pertama yang merupakan jenis terbesar iaitu seseorang itu berniat dengan amalannya kerana makhluk. Iaitu kalau mereka tiada nescaya, dia tidak akan beramal.

Allah berfirman: “Sesiapa yang mahukan kemuliaan (maka hendaklah ia berusaha mencarinya dengan jalan mematuhi perintah Allah) kerana bagi Allah jualah segala kemuliaan.

“Kepada Allah jugalah naiknya segala perkataan yang baik (yang menegaskan iman dan tauhid untuk dimasukkan ke dalam kira-kira balasan). Amalan yang soleh pula diangkatnya naik (sebagai amal yang makbul yang memberi kemuliaan kepada yang melakukannya).

“Sebaliknya orang yang merancang kejahatan (untuk mendapat kemuliaan) adalah bagi mereka azab seksa yang berat. Rancangan jahat mereka itulah yang akan rosak binasa.” (surah Fathir 35:10).

Dalam pada itu, Syeikh Yusuf bin al-Husain ar-Razi rhm., berkata: “Benda yang paling mulia dan sukar didapati di dunia ini ialah keikhlasan. Betapa banyak saya berusaha untuk menggugurkan riyak daripada hatiku. Seolah-olah riyak tumbuh lagi dalam hatiku dalam warna yang lain pula.”

Semoga Allah kurniakan kepada kita keikhlasan dalam semua amalan termasuk semua perkara dalam kehidupan kita. Amin.